Friday, November 25, 2005

Pantai Timur Dilanda Banjir

Banjir telah mula melanda negeri2 di Pantai Timur; Pahang, Terengganu dan Kelantan. Semalam dilaporkan 2 kematian melibatkan kanak-kanak di Dungun dan Setiu, Terengganu. Sehari sebelum itu telah dilaporkan 3 kematian di Kelantan dan Terengganu. Begitulah keadaannya, setiap kali banjir melanda ketiga-tiga negeri tersebut, ada sahaja yang menjadi mangsa, kebanyakannya berpunca daripada keseronokan berpesta mandi-manda. Tak dinafikan kebanyakannya pandai berenang tetapi kelajuan dan pusaran arus air banjir berlainan daripada air sungai biasa, akibatnya nahas yang menanti.
Teringat aku di zaman kanak-kanak dahulu, setiap kali banjir melanda, setiap pagi, tengahari & petang aku akan ke sebuah kolam yang bersambung terus dengan sungai (tak jauh dari rumah) untuk melihat setakat mana air dah naik. Biasanya aku akan cacakkan kayu penanda untuk memantau perkembangannya. Air meningkat naik adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu. Apabila air melintasi jalan, maka aku dan rakan sekampung (termasuk orang dewasa) akan bermain dan bermandi-manda ibarat satu pesta. Apabila air makin naik mencecah halaman rumah, ibu-bapa mula risau apatah lagi kebanyakan rumah kampung tiangnya rendah-rendah aje. Banyak barang-barang di tempat rendah diangkat ke tempat lebih tinggi, juga bersedia sekiranya air makin meningkat lebih tinggi. Kanak-kanak pula sibuk membuat rakit dan bot mainan dari batang pisang. Amat seronok sekali... dan mungkin itu juga yang dirasai oleh kanak-kanak sekarang apabila banjir menyapa.
Insya Allah esok aku akan bertolak balik ke Terengganu, cuti seminggu sempena cuti sekolah, tambahan pula raya baru-baru ni aku tak ambil cuti panjang, hanya beraya di Lembah Kelang aje... Diharapkan perjalanan kami sekeluarga pergi dan balik lancar tanpa adanya penutupan jalan dan perkara tak diingini di jalanan. Amiin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home