Monday, November 14, 2005

Celik ICT Isi Rumah Rendah

Foto dari laman web MyGfl - Wanita Kg. Sungai Gulang-Gulang, Hulu Selangor sedang belajar menjahit baju kurung berpandukan laman web.
Satu berita menarik dalam halaman Berita Komputer, Berita Harian minggu lepas menyentuh tentang kadar celik ICT di kalangan ahli perniagaan semakin meningkat tetapi agak rendah di kalangan isi rumah.
Menurut CEO Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Md Zubir Ansori Yahaya, penggunaan PC di kalangan ahli perniagaan di Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berada pada kadar 66 peratus. Peratusan ini lebih tinggi daripada di Korea (61 peratus) dan Taiwan (58 peratus) tetapi masih rendah berbanding di Singapura (82 peratus) dan Hong Kong (70 peratus), katanya dalam penerbitan bulan Oktober MDV, Wavelength.
Menurut beliau lagi, PKS di Malaysia dijangka membelanjakan kira-kira RM6.78 bilion pada tahun ini dan RM7.5 bilion dalam 2006 untuk teknologi maklumat (IT) saja berbanding dengan RM6.4 bilion pada tahun lepas. “Dengan itu, kami mahu melihat PKS kita memasuki rantaian bekalan global, khususnya dalam aktiviti pengeluaran produk mewah dan bernilai tambah yang tinggi,” katanya. Mengenai penembusan PC di kalangan isi rumah Malaysia, beliau berkata ia kini dicatatkan pada kadar 17 peratus daripada kira-kira lima juta isi rumah di mana Hong Kong, Singapura dan Australia telah mencatatkan lebih 50 peratus.
Walaupun kesedaran tentang pentingnya penggunaan ICT pada golongan koperat dan semi-koperat semakin meningkat, namun penggunaannya di kalangan isi rumah terutama penduduk luar bandar masih lagi di takuk lama. Terdapat beberapa faktor, antaranya keutamaan sosio ekonomi, rabun ICT, kurang/tiada kemudahan prasarana ICT dan sokongan/galakan sekerat jalan. Kedaifan isi rumah sudah pasti tidak memungkinkan mereka akan melabur untuk ICT. Musykilnya bagi yang berkemampuan tidak berminat untuk mendapatkannya disebabkan oleh kurangnya kesedaran kepentingan ICT dalam kehidupan (peliknya Plasma TV dan ASTRO sanggup bergolak bergadai) dan mungkin juga disebabkan kemudahan prasarananya tiada untuk disambung ke dunia luar. Di samping itu sokongan dan galakan yang diberikan tidak berpanjangan yang menyebabkan mereka terkapai-kapai sendirian, akhirnya terus melupakannya.
Tidak dinafikan pelbagai cara, kaedah dan program yang telah dilancarkan oleh kerajaan tetapi akhirnya berkubur begitu sahaja. Ini kerana sokongan dari kebanyakan pihak luaran samada syarikat-syarikat korporat, ahli-ahli politik dan pemimpin setempat dilakukan secara bermusim. Tiada langkah yang bersungguh-sungguh diberikan bagi memastikan kelompok yang dilatih akan membiak bagi melahirkan para pelapis dan generasi celik ICT yang akhirnya membentuk komuniti penguna ICT yang membanggakan negara. Masih belum terlambat untuk berubah, semuanya bergantung atas daya usaha dan kesedaran kita semua termasuk di pihak pemerintah.
8) Dunia global hanya di hujung jari, sekelip mata berita boleh ditatapi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home