Tuesday, November 08, 2005

Ulu Kelang dan Lemang Raya

Bagi pengguna MRR2 dari Ampang ke Gombak pada musim raya setiap tahun pasti akan mengalami kesesakan apabila menghampiri Batu 7 & Batu 8, Ulu Kelang. Tidak terkecuali di tahun ini. Puncanya banyak kereta berhenti di tepi jalan, laluan 3 lorong menjadi 2 lorong di samping sikap prihatin para pemandu yang sengaja memperlahankan kenderaan untuk meninjau apa yang berlaku. Rupa-rupanya di pinggir jalan kira-kira 500m jaraknya dipenuhi gerai-gerai jualan lemang, ketupat dan rendang/serunding, itulah yang menjadi tumpuan pembeli samada untuk santapan keluarga, buah tangan atau pelengkap rumah terbuka. Antara yang popular sejak berzaman adalah Lemang Pak Ali, Lemang Pak Din, Lemang Pak Akob dll.
Akan tetapi, untuk tahun ini para pengemar lemang pasti tercari-cari kemana perginya Lemang Pak Ali yang sinonim dengan bangsal kecilnya yang beroperasi sepanjang tahun, sedangkan pengusaha lemang lain masih kekal di tapak masing2. Rupa-rupanya telah pun berpindah tempat ke kawasan perumahan AU5 Taman Keramat, tidak jauh dari PETRONAS dan ESSO. Puncanya, keseluruhan penempatan di sekitar bangsal lemang lama (MRR2) telah dirobohkan untuk tujuan pembangunan dan dengar khabar kawasan berkenaan adalah penempatan setinggan bandar yang terlibat dengan usaha dan kempen Selangor Maju 2005, "Setinggan Sifar". Tapi yang peliknya, kenapa Lemang Pak Ali tidak turut sama memeriahkan pinggiran jalan MRR2 seperti tahun-tahun sebelumnya kerana tidak semua pengemar lemang yang tahu lokasi baru lemang tersohor tu... apa2 pun itu kena tanya Pak Ali le...
Fenomena jam di Ulu Kelang kerana lemang ni sebenarnya bermusim, hanya 2 kali setahun aje, waktu perayaan Eidil Fitri dan Eidil Adha sahaja. Jualannya bukan sahaja pada waktu siang, malah ada yang beroperasi sehingga 24 jam (yang aku kata 24 jam tu sebab bila pergi masjid Subuhnya, masih kedapatan khemah lemang yang masih bercahaya terang dengan penjaganya sekali, tak tahu le kalau dibuka jam 5:00 pagi).
Itulah penangan lemang terutama di musim perayaan ni... walaupun meja penuh dengan kuih-muih raya dengan pelbagai bentuk dan nama (adakala rasanya lebih kurang aje..), namun kehadiran lemang masih lagi diperlukan malah kemeriahan raya akan lebih terasa, apatah lagi diserikan sama dengan ketupat dan rendang. Jika tidak pasti suasana akan kelihatan hambar dan terasa ada yang tak kena/ kurang serinya.
OK le, selamat berhari raya dan kepada yang buat open house, jangan lupa sediakan sekali juadah lemang dan rendang, pasti kemeriahan majlis akan lebih terasa dan menjadi kenangan abadi.
ps. Foto - Pak Ali di gerai lemangnya di AU5
(dipetik dari theStar Online, 03/11/2005)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home