Friday, December 22, 2006

Wukuf Jumaat Haji Akbar

Bertuahlah mereka yang mengerjakan ibadat haji pada tahun ini kerana berpeluang berwukuf pada hari Jumaat, sekaligus meraih keberkatan Haji Akbar.
Berikut petikan dari Bernama Online 22/12/2006
MEKAH, 22 Dis (Bernama) -- Jemaah haji untuk musim 1427 Hijrah disaran mengambil peluang keemasan berikutan hari Wukuf kali ini yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat, 29 Dis ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji merangkap ketua pakar rujuk ibadah haji 1427 Hijrah, Datuk Haji Hassan Ahmad berkata jemaah haji musim ini cukup bertuah dan mempunyai kelebihan yang jarang diperoleh jemaah haji sebelum ini.
Beliau berkata jemaah haji perlu banyak memohon keampunan daripada Allah dan memperbanyakkan ibadah.
Antara fadilat Wukuf pada hari Jumaat atau disebut-sebut di kalangan jemaah Malaysia sebagai haji akbar ialah mempunyai kelebihan lebih afdal dari 70 kali menunaikan haji.
Bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan musim haji kali ini, Hassan, yang juga Mufti Pulau Pinang, berkata jemaah haji patut merebut peluang keemasan ini kerana ia mungkin datang cuma sekali seumur hidup.
"Saya sendiri tidak pernah mengalaminya. Ini kali pertama saya berpeluang berwukuf di padang Arafah pada hari Jumaat," kata beliau.Rabu lalu, Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi membuat pengisytiharan itu bahawa tarikh berwukuf di padang Arafah ditetapkan pada hari Jumaat, 29 Dis.
Ini bermakna hari wukuf tinggal lagi tujuh hari dan Aidiladha di tanah suci disambut pada Sabtu, 30 Dis.
Kali terakhir jemaah haji berwukuf pada hari Jumaat adalah 10 tahun lepas.
-- BERNAMA

Wednesday, December 20, 2006

Banjir Besar di Selatan Tanah Air

Kawasan di sekitar Wisma Persekutuan, Johor Bahru digenangi air - Foto Utusan Malaysia
Dalam musim tengkujuh melanda Pantai Timur Semenanjung di mana Kelantan, Terengganu dan Pahang sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, tiba-tiba dikhabarkan negeri-negeri yang terletak di selatan Semenanjung terutama Johor habis ditenggelami air. SubahanaLlah... itulah kuasa Allah SWT.
Keadaan banjir di Kampung Laut, Skudai - Foto The Star
Hujan yang turun tanpa henti selama 24 jam menyebabkan banyak sungai yang melimpah seterusnya menenggelamkan hampir keseluruhan negeri Johor, termasuk juga sebahagian besar negeri Melaka dan Negeri Sembilan. MB Johor, Datuk Abdul Ghani Othman meminta rakyat Johor sentiasa berwaspada kerana hujan dijangkakan akan berterusan sehingga beberapa hari lagi. Kawasan paling teruk adalah Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakkal di Kempas yang dinaiki air setinggi 8.5 meter. Manakala Balai Polis Plentong dan Kampung Laut di Skudai ditenggelami air sedalam 2 meter.
Menurut Abdul Ghani, Johor biasanya menerima purata taburan hujan sebanyak 2,500 milimeter setahun. Bagaimanapun, dalam tempoh 24 jam yang lalu (18hb), di daerah Johor Bahru sahaja telah mencatatkan purata hujan sebanyak 400 milimeter dan Segamat 350 milimeter. Ini adalah fenomena luar.
Sehingga malam tadi kira-kira 10,000 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan dikatakan bencana banjir ini adalah paling teruk sejak 100 tahun dahulu.
8) Teringat tahun lepas, negeri Perlis dan sebahagian negeri Kedah mengalami nasib yang sama
News Update
Pemandangan udara Bandar Segamat selepas 4 hari dinaiki air - Foto BH
Bernama 21/12 - Banjir makin buruk. Sehingga jam 06:00 pagi tadi, seramai 44,577 mangsa di Johor membabitkan 8,977 keluarga dari 183 kawasan yang terjejas ditempatkan di 274 buah pusat pemindahan sementara yang dibuka dengan daerah Muar mencatatkan jumlah tertinggi itu 9,634 orang, Kluang 9,539 orang, Johor Bharu 8,340, Segamat 5,245, Batu Pahat 4,708, Kota Tinggi 4,114, Pontian 2,762 dan Mersing 235. Di Melaka, daerah Melaka Tengah semakin teruk, mencatatkan perpindahan kira-kira 3,937 orang, dikuti Jasin seramai 970 orang dan Alor Gajah 735 orang. Manakala di Negeri Sembilan seramai 415 orang dipindahkan dari Daerah Gemas, Gemenceh & Tampin. Di Rompin dan Kuantan, Pahang 1,077 orang dipindahkan.
Bernama 22/12 - Sehingga tengah malam tadi seramai 67,053 orang telah dipindahkan di Johor, Melaka, Kelantan dan Pahang. Banjir meragut 3 nyawa di Segamat dan 2 lagi di Kluang. 57, 477 orang telah dipindahkan di Johor. Segamat dan Kota Tinggi terputus hubungan dan elektrik serta air. Muar mencatat angka pindah paling tinggi dengan 16,284 orang dan paling rendah Mersing seramai 442 orang. Di Melaka seramai 7,103 orang dipindahkan dan seramai 1,960 di Pahang dari Rompin, Maran dan Kuantan. Di Gua Musang, Kelantan seramai 594 orang berada di pusat pemindahan.
BH 23/12 - Di Johor keadaan banjir semakin buruk di mana 62,594 orang dipindahkan sehingga petang semalam dengan daerah Kota Tinggi dan Segamat masih tidak boleh dihubungi melalui jalan raya manakala daerah Tangkak pula mula dinaiki air. Keadaan di Melaka Tengah dan Jasin bertambah buruk semalam apabila mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 12,051. Di PAHANG, 3,719 orang dipindahkan petang semalam berbanding 1,627 orang kelmarin. Banjir di Kelantan, Terengganu & Negeri Sembilan semakin pulih.
BM 24/12 - Keadaan banjir semakin buruk. Jumlah mangsa dipindah ke pusat pemindahan sementara di seluruh negara terus meningkat kepada 95,988 orang dengan 77,636 orang di Johor, Melaka 12,654, Pahang 5,111, Negeri Sembilan 327 dan Terengganu 260. Banjir di Muar dan Batu Pahat makin teruk kerana air di Empangan Sembrong di Kluang, Empangan Bekok di Segamat dan Empangan Machap terpaksa dilepaskan secara perlahan2 kerana telah melepasi paras bahaya.
Bernama (pagi) 26/12 - Keadaan bertambah baik. Di Johor, 40, 593 mangsa masih di pusat pemindahan dengan Batu Pahattertinggi, seramai 27,204, diikuti Kota Tinggi (5,529), Segamat (3,922), Muar (1,984), Pontian (865), Mersing (618) dan Kluang (471). Jumlah korban adalah 8 orang. Di Pahang angkanya meningkat kepada 2,688 orang berbanding 2,009 orang malam tadi iaitu 1,146 orang di Rompin dan 1,542 orang di Pekan. Di Melaka berkurangan kepada 4,200 orang berbanding 4,438 malam tadi iaitu 3,785 orang di Jasin dan 415 orang di Melaka Tengah . Di Kelantan dan Terengganu semua mangsa telah pulang ke rumah.

Monday, December 18, 2006

Mufti Perlis : Henti Intai Pasangan Khalwat

Mufti Perlis yang baru dilantik, Dr. Mohd Asri pada hujung minggu lalu menimbulkan kontroversi dengan meminta jabatan agama menghentikan tindakan mengintai pasangan yang disyaki berdua-duaan tanpa ikatan sah untuk ditahan atas kesalahan berkhalwat, dibimbangi tersilap tangkap samada pasangan suami isteri atau pasangan bukan Islam. Ini boleh memalukan Islam kerana dikatakan melanggar hak asasi individu dan menyerupai tindakan menceroboh.
Katanya lagi, prinsip amar makruh nahi mungkar hanya boleh dilaksanakan apabila kesalahan dan jenayah dilakukan secara terbuka tetapi menceroboh hak individu lain bertentangan ajaran Islam. Tambah beliau, kalau nak dilakukan juga, maka mereka yang tak sembahyang dan menaiki kereta (menumpang) secara berdua-duaan juga patut juga ditangkap.
Bagai yang dijangka, kenyataan beliau ini meresahkan banyak pihak. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata tindakan pasangan Islam berdua-duaan di dalam bilik rumah atau hotel tidak boleh disifatkan sebagai hak persendirian tetapi lebih bersifat bersembunyi daripada diketahui orang lain dengan tujuan membuat dosa. Ahli Kehormat Utama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang pula berkata meskipun Islam memberi hak individu kepada umatnya, ia perlu dikawal oleh masyarakat bagi memastikan maksiat tidak berleluasa. Tambah beliau, mengintai yang dimaksudkan dalam kes menahan pasangan berkhalwat tidak boleh disamakan dengan mengintai untuk keburukan seperti mengintai orang mandi, sebaliknya ia bertujuan menegakkan kebenaran dan memelihara kesucian Islam.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, Enakmen Tatacara Jenayah negeri menyatakan secara jelas prosedur yang harus diikuti pegawai penguat kuasa ketika melakukan serbuan mencegah maksiat. Antara lain, ia menyatakan perlu ada aduan daripada orang ramai dan ada bukti munasabah pasangan itu disyaki melakukan maksiat. Serbuan itu bukan untuk mengaibkan pasangan berkenaan tetapi untuk mencegah maksiat. Pemuda PAS juga mempertikaikannya kerana seolah-olah memberi lesen kepada pasangan untuk berbuat maksiat, malah meminta Dr. Mohd Asri sepatutnya lebih proaktif dalam menanggani gejala maksiat yang semakin parah dalam masyarakat. Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mustafa Abdul Rahman akan bermuzakarah dengan beliau akan rasionalnya kerana prosedur penangkapan pasangan berkhalwat sekarang dianggap memadai.
Cuba kita renungi apakah soal pokok yang ditimbulkan... Apakah berdua-duaan tanpa ikatan yang sah itu dibenarkan dalam Islam sehingga boleh dilabelkan ianya hak asasi pelaku maksiat? Setakat manakah kebolehpercayaan kaedah pencegahan maksiat yang dilakukan sekarang? Berapa banyakkah kes salah tangkap berlaku sehingga menimbulkan malu besar terhadap agama Islam?
Kita pasti bersetuju, soal berkhalwat adalah tetap haram dalam Islam walaupun tanpa pengetahuan orang lain. Setiap umat Islam yang beriman sepatutnya prihatin dan berusaha mencegahnya samada melalui tangan (kuasa), mulut ataupun selemah-lemah iman dengan hatinya. Jadi pokoknya adalah kaedah pencegahan dan penguatkuasaan mungkin kurang efisien dan mungkin boleh menimbulkan keraguan, maka yang itulah yang patut diperhalusi dan dipertingkatkan, bukannya dihentikan.
Secara personal, aku merasakan tindakan "salah tangkap" tidaklah banyak mana berbanding "sah tangkap". Malah kes salah tangkap ini jika dilihat dari perspektif lain menunjukkan bahawa masyarakat sekitar amat prihatin akan perbuatan mungkar tersebut dan pihak berkuasa agama bertindak pro aktif, tak secara langsung menimbulkan ketakutan pada pasangan-pasangan yang berhajat melakukan maksiat tersebut.
8) Amal ma'aruf nahi mungkar tugas dakwah setiap umat Islam
News Update
UM 20/12 - Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury berkata purata 7 - 8 pasangan Islam ditangkap berkhalwat setiap bulan di hotel2 di Perak. Bertambah tinggi lagi apabila diadakan konsert hiburan sempena perayaan, misalnya sewaktu sambutan Hari Kebangsaan ke-49 pada 31 Ogos lalu, JAIP berjaya menangkap 25 pasangan berkhalwat.

Friday, December 15, 2006

Islam Terserlah di Doha 2006

Sukan Asia di Doha, Qatar bakal melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung sejak 09hb. Disember lalu. Acara sukan berprestij mengabungkan penyertaan hanya di kalangan negara-negara Asia ini jelas menunjukkan bahawa acara sukan sememangnya tiada sekatan sempadan, politik dan ideologi. Lihat sahaja negara yang menyertainya seperti Iran, Iraq, Bahrain, Kazakhtan, Korea Selatan, Jepun, China, Indonesia dan lain-lain termasuk negara kita Malaysia.
Sepanjang acara sukan dilangsungkan, aku kurang mengikutinya secara dekat dan teliti kerana sememangnya aku kurang minat melihat penyertaan kaum wanitanya yang tiada segan silunya mendedahkan aurat terutama pada acara padang, gelanggang dan juga di kolam air, bukan sekadar berseluar pendek dan ketat tetapi turut mendedahkan bahagian perut dan dada (tutup pun ala kadar aje).
Akan tetapi tiba-tiba aku dikejutkan dengan penyertaan seorang atlit wanita dari Bahrain, Rugaya bagi acara padang dengan memakai baju lengan panjang, berseluar panjang dan berstoking serta bertudung mampu melepasi acara saringan, seterusnya bersaing sehingga ke peringkat akhir acara 100 meter dan 200 meter. Walaupun sekadar meraih pingat gangsa bagi acara 100 meter tetapi dengan kekuatan semangatnya mampu menebus kekecewaannya dengan meraih pingat emas dalam acara 200 meter. TAHNIAH...
Lihatlah dan bukalah mata dan minda semua... bukanlah pakaian yang menentukan kecemerlangan seseorang dalam sesuatu acara sukan. Yang penting adalah kekuatan semangat individu itu sendiri disamping sokongan dari semua yang terlibat. Sebagai seorang Islam wajib mematuhi suruhan agama termasuk dalam berpakaian, cuma sesuaikan dengan sebaiknya dengan setiap acara sukan yang diikuti.
Di Malaysia fenomena ini seolah-olah tidak dipedulikan kecuali oleh segelintirnya sahaja. Masih belum kelihatan para atlit wanita yang sanggup berpakaian menutup aurat di padang/ gelanggang. Bagi lelaki tuntutannya lebih mudah, cukup sekadar memakai seluar panjang menutupi dari pusat ke bawah lutut tetapi itupun tak ramai yang mampu melakukanya. Dalam acara hoki, Nor Saiful Zaini menjadi pencetusnya dan kini ramai yang mengikutinya.
8) Sedarlah wahai saudaraku... jadikanlah Rugaya dan Nor Saiful sebagai model

Thursday, December 14, 2006

Tol Naik Lagi...

Itulah hakikatnya yang bakal dialami pengguna lebuhraya mulai 01 Januari 2007 nanti. Beberapa minggu lalu telah diwar-warkan tapi semalam pengesahannya dengan kadar kenaikannya sekali iaitu antara 30 sen hingga RM 1.00.
5 lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie. Kadar baru bagi LDP ialah RM1.60 (naik 60 sen), Lebuhraya Shah Alam RM2.20 (naik 70 sen), Lebuhraya Cheras-Kajang (Batu 9) RM1 dan (Batu 11) 90 sen (kedua-duanya naik 30 sen), Lebuhraya KL-Karak (Gombak) RM5 (naik RM1) dan (Bentong) RM3 (naik 50 sen) dan Lebuhraya Koridor Guthrie RM1.40 (naik 40 sen). Kadar ini adalah untuk kereta yang diklasifikasikan sebagai Kelas 1. Untuk tahun 2008 pun telah diumumkan, beberapa lebuhraya selain di atas akan turut sama merasai kenaikan kadar tolnya.
Seperti biasa alasan yang diberikan oleh Menteri Tol 8) @ Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu sama seperti sebelum-sebelum ini - ianya adalah keputusan kabinet, kenaikan mengikut perjanjian konsesi tetapi kerajaan masih mengawalnya, kadar tol di negara kita paling rendah dan akhir sekali jika nak guna kemudahan selesa kenalah sanggup bayar.
Entahlah nak kata apa... dalam masa terdekat ni dah macam-macam benda naik... antaranya minyak & gas serta tarif air. Natijahnya walau berbuih mulut kerajaan meminta barang2 lain tak dinaikkan dengan pelbagai amaran tapi tiada kesannya, harga barangan tetap naik juga... Alasan mereka, kesan kenaikan tu merugikan mereka, takkan untungnya syarikat koperat yang dapat tapi beban ruginya penjual yang tanggung. Betul cakap mereka tu... Kini bila tol naik, percayalah barangan lain seperti tambang bas, sayur dan lain2 barangan pengguna akan turut naik. Tunggu dan lihat saja... kerana itulah yang selalunya terjadi.
Ada yang berseloroh (mungkin ada benarnya) bila dah dekat-dekat pilihanraya nanti barulah tak ada apa-apa kenaikan... tol ke, air ke, letrik ke, petrol ke dan lain-lain.. sebab masa tu pak-pak menteri dan ahli-ahli politik kena turun padang... nak sejuk kan balik hati pengundi... ye ke lagu tu?
Hujung tahun ni aku rancang nak balik Terengganu sempena Raya Haji @ Eidil Adha melalui Lebuhraya KL-Karak... nampaknya masa balik (30/12/2006) kena kadar lama RM6.50 (RM4.00 + RM 2.50) tapi bila balik ke KL (02/01/2007) dah kena kadar baru, RM8.00 (RM5.00 + RM3.00)... adakah itu pengorbanan namanya?
8) Nampaknya kena korban (sembelih?) sempena Raya Korban
Berikut alasan akan keprihatinan kerajaan yang dikeluarkan oleh Menteri Kerja Raya seperti dipetik dari BERNAMA
Datuk Seri S. Samy Vellu ketika mengumumkan demikian Khamis berkata jika kerajaan membenarkan kesemua pemegang konsesi menaikkan kadar tol mengikut perjanjian, beban kepada pengguna adalah lebih berat, iaitu di LDP kenaikan mencecah RM2.10, Lebuhraya Shah Alam RM2.40, Lebuhraya Cheras-Kajang (Batu 9) RM1.20 Batu 11 RM1.10 dan Lebuhraya KL-Karak (Gombak) RM8.80 dan (Bentong) RM3.70.
Bagi kelas lain, kadar baru tol di LDP, yang dibina pada harga RM1.5 bilion, ialah RM3.60 bagi kenderaan Kelas 2, RM5.40 (Kelas 3), 90 sen (Kelas 4) dan RM1.80 (Kelas 5). Pengguna Lebuhraya Shah Alam, yang dibina pada kos RM1.3 bilion, perlu membayar RM3.30 (Kelas 2), RM4.40 (Kelas 3), RM1.10 (Kelas 4) dan RM1.70 (Kelas 5). Bagi Lebuhraya Cheras Kajang yang dibina pada kos RM330 juta, pengguna di Batu 9, perlu membayar RM2 (Kelas 2 dan 3), 50 sen (Kelas 4) dan RM1 (Kelas 5). Tol di Batu 11 pula ialah RM1.80 (Kelas 2 dan 3), 50 sen (Kelas 4) dan 90 sen (Kelas 5).
Di Lebuhraya Koridor Guthrie, yang dibina pada harga RM862 juta, pengguna perlu membayar RM2.80 (Kelas 2), RM4.20 (Kelas 3), 70 sen (Kelas 4) dan RM1.40 (Kelas 5). Di Lebuhraya KL-Karak yang menelan belanja RM500 juta, penggunanya di Gombak perlu membayar RM10 (Kelas 2), RM15 (Kelas 3), RM2.50 (Kelas 4) dan RM5 (Kelas 5). Di Bentong, pengguna perlu membayar RM6 (Kelas 2), RM9 (Kelas 3), RM1.50 (Kelas 4) dan RM3 (Kelas 5).
Kelas 1 adalah untuk kereta, Kelas 2 bagi lori kurang daripada satu tan, Kelas 3 lori besar dan treler; Kelas 4 teksi dan Kelas 5 bas.

Profil Sultan Mizan Zainal Abidin


> Diputerakan pada 2 Januari 1962
> Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman diikuti Sultan Menengah Sultan Sulaiman
> Melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar School di Melbourne, Australia
> Mengikuti kursus tentera selama tiga bulan di Kem Karah, Port Dickson pada 1981
> Mengikuti kursus Pegawai Kadet Pre SMC (E) di Army School of Languages dan menyambung kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, sehingga 9 Disember 1983
> Melanjutkan pelajaran di US International University-Europe di London dan menerima ijazah Sarjana Muda dalam jurusan hubungan antarabangsa pada 1988
> Sepanjang kerjayanya, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah, Pegawai Tadbir Tanah Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu dan Unit Perancangan Ekonomi negeri
> Mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Nur Zahirah pada 28 Mac 1996
> Dikurniakan empat cahaya mata, Tengku Nadhirah Zahrah 10; Tengku Muhammad Ismail, 8; Tengku Muhammad Mua’az, 6 dan Tengku Fatimatuz Zahra', 4.
> Menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu ketika usia 36 tahun pada 1998
> Aktif dalam sukan berkuda lasak dan pernah menjuarai acara Wilga 80 km Endurance Ride, dan pertandingan berkuda di Harris River Ride, di Australia pada 2004
> Kesungguhan dan inisiatif baginda juga menyaksikan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah sukan lumba kuda lasak `World Endurance Championship’ di Lembah Bidong, Terengganu, tahun depan
> Menubuhkan Yayasan Diraja Sultan Mizan pada 19 Julai 2005 bersempena hari ulang tahun ke-43 keputeraan baginda bagi menganjur dan membiayai pelbagai penyelidikan, perhutanan, sains teknologi dan inovasi, pertanian, perikanan serta kemasyarakatan

Sultan Mizan Ditabalkan YDP Agong Ke-13

SULTAN Mizan Zainal Abidin melafazkan sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, semalam. – Gambar Bernama.
Sedutan berita dari Utusan Malaysia 14/12/2006
KUALA LUMPUR, 13 Dis. Sultan Terengganu Darul Iman, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah hari ini telah melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
Dengan pengisytiharan itu, Seri Paduka yang berusia 44 tahun menjadi antara Yang di-Pertuan Agong termuda dalam sejarah negara selepas ayahanda Yang Dipertuan Agong sebelum ini yang dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong ketika berusia 41 tahun.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah mempunyai empat cahaya mata yang masih kecil iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, 10; Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, 8; Tengku Muhammad Mua’az, 6, dan Tengku Fatimatuz Zahra’, 4.
Turut melafazkan sumpah memegang jawatan ialah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Kedua-duanya dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-208 (Khas) di Istana Negara pada 3 November lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini. Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Upacara hari ini bermula pada 11.50 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda. Mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balairong Seri dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Pemangku Imam Besar Masjid Negara, Abdul Rahman Yusof dan diikuti dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Engku Ibrahim Engku Ngah menyembah surat sumpah jawatan kepada Sultan Mizan.
Sultan Mizan, selepas melafazkan sumpah jawatan, menandatangani surat sumpah jawatan itu, diikuti dengan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sebagai saksi. Ini diikuti upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah dengan diikuti Sultan Kelantan dan Sultan Selangor sebagai saksi.
Mesyuarat Majlis Raja-raja itu ditangguhkan dan diikuti dengan istiadat menandatangani surat-surat perisytiharan memegang jawatan yang ikuti dengan persembahan surat-surat itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru dan timbalannya untuk ditandatangani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Mizan telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
8) Daulat Tuanku... moga kesejahteraan mewarnai pemerintahan Tuanku. Amiin.

Wednesday, December 13, 2006

Yang Dipertuan Muda Terengganu

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah bersama Tengku Muhamad Ismail berangkat selepas Majlis Istiadat Pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu semalam
Sedutan dari Berita Harian 13/12/2006
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, 8, telah dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Terengganu berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Istiadat pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail, yang diputerakan pada 1 Mac 1998, berlangsung di Istana Maziah di sini semalam, serentak dengan upacara Pelantikan Majlis Penasihat Pemangku Raja. Pelantikan Tengku Muhammad Ismail dipersetujui dalam mesyuarat Dewan Pangkuan Diraja Terengganu mengikut Syarat (1) Fasal 17 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Kedua), berkuat kuasa 12 Januari lalu. Sempena pelantikan itu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud Shah berkenan mengurniakan Bintang Darjah Kebesaran, Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia (DKI) kepada anakanda keduanya itu.
Sultan Mizan turut berkenan melantik adinda ketiganya, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman sebagai Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, yang turut dianggotai ayahanda saudara baginda, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja bertujuan menyempurnakan urusan tugas Sultan Mizan ketika baginda menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis pemasyhuran itu. Anakanda sulung baginda, Tengku Nadhirah Zaharah turut berangkat. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Istiadat yang berlangsung dengan penuh adat istana itu hening seketika apabila Sultan Mizan sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan titahnya. Sebelum mengakhiri titahnya, suara baginda tersekat-sekat dan terpaksa berhenti beberapa kali sebelum menyambung untuk menamatkan titah. Pada satu ketika, baginda kelihatan mengesat air mata dengan tisu yang diberikan Sultanah Nur Zahirah. Suasana sayu pada istidat itu turut dirasakan semua tetamu sehinggalah istiadat tamat dengan bacaan doa Mufti negeri, Datuk Ismail Yahya.
Dalam titahnya, Sultan Mizan berpesan kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya dan menjaga nama baik majlis berkenaan. “Sungguhpun dari segi fizikal beta jauh, tetapi hilang di mata di hati jangan dan hakikatnya beta akan sentiasa tetap berada dalam lubuk sanubari rakyat Terengganu Darul Iman. “Beta doakan supaya Terengganu sentiasa diberkati Allah dan rakyat beta sentiasa hidup dalam keadaan keamanan, sejahtera dan bersatu padu semasa ketiadaan beta,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah, pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja perlu kerana baginda akan meninggalkan takhta Terengganu buat sementara bagi menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.Dalam keadaan itu, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu membolehkan baginda melantik puteranya, Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja untuk melaksanakan tugas baginda di Terengganu. “Oleh kerana Pemangku Raja masih belum mukallaf maka Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu menghendaki beta melantik satu Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk melaksanakan tugas Pemangku Raja,” titah baginda.
PROFILTengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin
> Putera kedua daripada empat adik beradik
> Diputerakan pada 1 Mac 1998 dan dimasyhurkan Pemangku Sultan selaras Syarat (1) Fasal 16AA, Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua)
> Pelantikan Pemangku Raja Putera termuda pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan
> Memulakan persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar
8) Ampun Tuanku Kecil... usianya sama dengan anak perempuanku

Monday, December 04, 2006

Menarik Luar Negara Tentang Islam

Berikut beberapa sedutan berita menarik menyentuh Islam dan umat Islam di luar negara dalam Berita Harian dalam minggu ini.
Ahli Kongres mahu angkat sumpah guna al-Quran (BM 03/12/2006)


WASHINGTON: Keith Ellison yang bakal menjadi ahli Kongres Islam pertama bulan depan mempertahankan hasratnya untuk menggunakan kitab suci al-Quran dan bukannya Injil dalam majlis angkat sumpah.
Keputusan Ellison dari parti Demokrat itu untuk menggunakan kitab suci Islam berkenaan menggantikan Injil mendapat kritikan penulis kolum, Dennis Prager melalui halaman web beliau, Townhall.com minggu ini. Kritikan Prager bertajuk “Amerika, Bukan Keith Ellison menentukan kitab yang digunakan seseorang ahli kongres ketika angkat sumpah.”
Beliau juga menyifatkan penggunaan al-Quran pada majlis berkenaan sebagai menjejaskan peradaban Amerika. “Setakat ini seseorang ahli kongres mengangkat sumpah untuk berkhidmat dengan Amerika dan meneruskan nilai mereka. Amerika hanya menggunakan satu kitab iaitu Injil. Jika anda tidak boleh mengangkat sumpah menggunakan kitab itu jangan berkhidmat untuk Kongres.”
Bekas perisik Russia Muslim (BM 03/12/2006)
MOSCOW: Misteri yang menyelubungi kematian Alexander Litvinenko semakin mendalam apabila sebuah stesen radio Russia melaporkan bekas pengintip KGB itu sudah memeluk Islam. Stesen radio Ekho Moskvy melaporkan seorang imam masjid di London dijemput membacakan surah Yaasin dan doa ketika Litvinenko sedang nazak di hospital ibu negara Britain berkenaan.
Pihak Scotland Yard pula memandang serius dakwaan berkenaan. Ekho Moskvy, stesen penyiar bebas popular yang dibiayai syarikat gas Gazprom, menyatakan Litvinenko akan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di London. Stesen berkenaan memetik kenyataan Chechenpress, agensi berita Chechnya. Artikel kiriman pejuang Chechen dalam laman web Chechenpress mendakwa Litvinenko memeluk Islam secara sukarela dan ikhlas.
Undang-undang Syariah dapat tempat di Britain (BH 30/12/2006)
LONDON: Undang-undang Syariah semakin mendapat tempat di Britain malah sudah dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam walaupun ia tidak mempunyai status undang-undang di negara itu.
Program Law in Action terbitan Radio 4 Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) membentangkan bukti ia digunakan oleh sebahagian umat Islam negara itu sebagai alternatif kepada undang-undang jenayah Inggeris. Ia merujuk kepada kes tikaman membabitkan sekumpulan remaja Somalia yang dibenarkan ikat jamin selepas keluarga mangsa meyakinkan polis kes itu boleh diselesaikan di luar mahkamah. Komuniti itu mewujudkan mahkamah sendiri dan penyerang diarah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa dan meminta maaf di atas kesalahan mereka.
Sebahagian peguam mengalu-alukan pelaksanaan hukum hakam Islam. Pensyarah kanan undang-undang di Universiti Queen Mary, Dr Prakash Shah, berkata tribunal seumpama itu ‘mungkin lebih efektif berbanding sistem perundangan rasmi.’ Dalam bukunya yang bertajuk Islam in Britain, Pengarah Institut Pengajian Islam dan Kristian, Patrick Sookhdeo, berkata terdapat ‘alternatif yang selari dengan sistem perundangan’ yang beroperasi di kalangan komuniti Islam atas dasar sukarela. “Mahkamah syariah kini beroperasi di kebanyakan bandar raya besar dengan kumpulan mazhab dan etnik berbeza,” katanya.
Polis elit ambil warga Islam (BH 29/12/2006)
MADRID: Kerajaan Sepanyol buat kali pertama memutuskan mengambil penduduk Islam negara itu menyertai Guardia Civil, pasukan polis elit yang berfungsi sebagai tentera dan orang awam. Sehingga 50 penduduk Islam Sepanyol yang berkelayakan akan menyertai pasukan itu, dianggap antara pasukan keselamatan paling penting dan bersejarah di Sepanyol, sejak tahun 1844 apabila diasaskan oleh Ratu Isabel II.
Keputusan kerajaan itu menjadi tajuk utama akhbar tempatan Ahad lalu dengan kebanyakan akhbar melaporkan ia memberikan suntikan baru kepada unit polis yang dikaitkan dengan mendiang diktator, Francisco Franco, yang memerintah negara itu sejak tahun 1939 hingga 1975. Beberapa kolumnis berkata, langkah itu akan memberi idea baru kepada Guardia Civil. “Membabitkan penganut agama lain membuktikan toleransi Guardia Civil dan akan memberikan imej moden dan berbeza kepada jabatan polis. “Langkah itu, sebenarnya, menunjukkan keterbukaan dan pelbagai budaya di Sepanyol yang dibawa oleh pendatang,” tulis kolumnis Alberto Matia.
Kajian oleh institut kajian sosial Metroscopia menunjukkan majoriti penduduk Islam Sepanyol bergaul baik dengan masyarakat setempat dan berkongsi nilai kebebasan dan toleransi negara itu.
Pope mahu pulih hubungan (BH 29/12/2006)
ANKARA: Pemimpin Vatican Pope Benedict memulakan lawatan kontroversi ke Turki yang didiami ramai penduduk Muslim semalam dengan harapan gesaannya supaya usaha persefahaman antara agama Islam dan Kristian diwujudkan yang sekali gus dapat memadamkan kenyataan lalunya yang menghina Islam.
Perdana Menteri Tayyip Erdogan menyambut ketibaan Pope dan mengadakan perbincangan singkat sebelum berlepas untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Riga. Kawalan keselamatan diperketatkan sempena lawatan pertama Pope ke dunia Islam dengan barisan penembak tepat berkawal di bumbung bangunan ketibaan dan askar mengawal lapangan terbang. Seramai 3,000 anggota pasukan keselamatan dikerah berjaga di ibu negara Turki bagi mengelak sebarang tunjuk perasaan. “Skop lawatan ini adalah dialog, persaudaraan dan komitmen memahami perbezaan budaya, agama demi perdamaian,” kata pemimpin Vatican itu kepada wartawan sebelum berlepas ke Turki.
Pope berusia 79 tahun itu menyatakan lawatannya bagi memulihkan hubungan antara pihak Muslim dan Kristian Ortodoks. Malah dia juga bakal menjejakkan kaki Masjid Biru Istanbul. – Reuters
Imam tuntut syarikat penerbangan minta maaf (BH 29/12/2006)
WASHINGTON: Sekumpulan imam, menteri dan seorang ulama semalam melakukan demonstrasi bersolat di Lapangan Terbang Reagan, Washington dan meminta US Airways memohon maaf kepada mereka kerana menghalang enam orang Islam daripada menaiki pesawat dari Minneapolis ke Phoenix minggu lalu.

Pemimpin agama berkenaan juga menggesa ditamatkan profil perkauman yang disifatkan sebagai tidak dapat diterima di Amerika Syarikat. Imam Omar Shahin, salah seorang daripada enam imam yang ditahan Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa St Paul, Minneapolis berkata bahawa mereka tidak berkelakuan mencurigakan. Kumpulan imam terbabit yang dalam perjalanan pulang dari persidangan agama bersolat di atas sejadah di lapangan terbang terbabit sebelum menaiki pesawat. Ketika menaiki pesawat, seorang penumpang menyerahkan satu nota kepada krew penerbangan menyebabkan keenam-enam mereka diarahkan keluar dari pesawat, digari dan disoal siasat.
Jurucakap AU Airways Group Inc, Andrea Rader berkata, solat bukan menjadi isu kerana katanya, penumpang terbabit terdengar kenyataan anti-Amerika Syarikat dan lelaki terbabit berlegar-legar di sekitar pesawat. “Kami kesal dengan masalah yang dihadapi imam terbabit tetapi kami juga berpendapat krew berkenaan membuat keputusan yang betul,” katanya. Isnin lalu, Shahin dan beberapa imam lain bersolat di Terminal A berhampiran kaunter tiket US Airways. Ketua agama Yahudi dan Kristian juga dikatakan bersembahyang. Siasatan Jabatan Pengangkutan berkata syarikat penerbangan tidak boleh bertindak memindahkan penumpang hanya disebabkan latar belakang agama dan etnik. – AP