Wednesday, December 13, 2006

Yang Dipertuan Muda Terengganu

Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah bersama Tengku Muhamad Ismail berangkat selepas Majlis Istiadat Pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja di Istana Maziah, Kuala Terengganu semalam
Sedutan dari Berita Harian 13/12/2006
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, 8, telah dimasyhurkan sebagai Pemangku Raja Terengganu berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Istiadat pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail, yang diputerakan pada 1 Mac 1998, berlangsung di Istana Maziah di sini semalam, serentak dengan upacara Pelantikan Majlis Penasihat Pemangku Raja. Pelantikan Tengku Muhammad Ismail dipersetujui dalam mesyuarat Dewan Pangkuan Diraja Terengganu mengikut Syarat (1) Fasal 17 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Kedua), berkuat kuasa 12 Januari lalu. Sempena pelantikan itu, Sultan Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud Shah berkenan mengurniakan Bintang Darjah Kebesaran, Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia (DKI) kepada anakanda keduanya itu.
Sultan Mizan turut berkenan melantik adinda ketiganya, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman sebagai Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, yang turut dianggotai ayahanda saudara baginda, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman. Pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja bertujuan menyempurnakan urusan tugas Sultan Mizan ketika baginda menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis pemasyhuran itu. Anakanda sulung baginda, Tengku Nadhirah Zaharah turut berangkat. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Istiadat yang berlangsung dengan penuh adat istana itu hening seketika apabila Sultan Mizan sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan titahnya. Sebelum mengakhiri titahnya, suara baginda tersekat-sekat dan terpaksa berhenti beberapa kali sebelum menyambung untuk menamatkan titah. Pada satu ketika, baginda kelihatan mengesat air mata dengan tisu yang diberikan Sultanah Nur Zahirah. Suasana sayu pada istidat itu turut dirasakan semua tetamu sehinggalah istiadat tamat dengan bacaan doa Mufti negeri, Datuk Ismail Yahya.
Dalam titahnya, Sultan Mizan berpesan kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja supaya melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya dan menjaga nama baik majlis berkenaan. “Sungguhpun dari segi fizikal beta jauh, tetapi hilang di mata di hati jangan dan hakikatnya beta akan sentiasa tetap berada dalam lubuk sanubari rakyat Terengganu Darul Iman. “Beta doakan supaya Terengganu sentiasa diberkati Allah dan rakyat beta sentiasa hidup dalam keadaan keamanan, sejahtera dan bersatu padu semasa ketiadaan beta,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah, pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja perlu kerana baginda akan meninggalkan takhta Terengganu buat sementara bagi menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.Dalam keadaan itu, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu membolehkan baginda melantik puteranya, Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja untuk melaksanakan tugas baginda di Terengganu. “Oleh kerana Pemangku Raja masih belum mukallaf maka Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu menghendaki beta melantik satu Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk melaksanakan tugas Pemangku Raja,” titah baginda.
PROFILTengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin
> Putera kedua daripada empat adik beradik
> Diputerakan pada 1 Mac 1998 dan dimasyhurkan Pemangku Sultan selaras Syarat (1) Fasal 16AA, Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua)
> Pelantikan Pemangku Raja Putera termuda pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan
> Memulakan persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar
8) Ampun Tuanku Kecil... usianya sama dengan anak perempuanku

0 Comments:

Post a Comment

<< Home