Rufaqa' Corp. Jelmaan Al-Arqam?
Rufaqa' Corp, satu nama yang mungkin asing bagi sebilangan orang tiba-tiba meletup menjadi buah mulut ramai berikutan penahanan kira-kira 100 orang termasuk kanak-kanak oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika mendengar ceramah oleh seorang "Sheikh" di sebuah rumah kedai di Seksyen 13, Shah Alam pada petang Sabtu lalu. Mereka didakwa cuba menghidupkan semula amalan dan kegiatan Al-Arqam yang telah diharamkan pada tahun 1994 lalu malah dikatakan lebih merbahaya daripada dahulu sehingga menganggap "Abuya" Ashaari Muhammad seorang yang bertaraf wali atau sahibul zaman (itu yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil).
Rufaqa' Corp. Sdn Bhd adalah satu pertubuhan dikatakan dianggotai oleh bekas orang-orang kuat Al-Arqam dahulu berpusat di Bandar Country Homes, Rawang amat aktif dalam menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang antaranya pasaraya, restoran, pusat motivasi, penjualan peralatan elektrik dan pusat ternakan. Kesemua premis perniagaan ini biasanya menggantung poster besar Ashaari iaitu Ketua Eksekutif Rufaqa' Corp.. Rufaqa' juga mempunyai rumah banglo dikenali Rumah Tamu di Nilai Spring yang dikatakan diduduki oleh Ashaari dan keluarganya serta menjadi tempat berkumpul pimpinan Rufaqa' dan juga untuk majlis-majlis tertentu.
Fahaman Rufaqa' dianggap menyeleweng kerana mempercayai Ashaari mendapat ilmu secara langsung daripada Rasullullah SAW manakala pengasas ajaran Aurad Muhammadiyah, Syeikh Muhammad as-Suhaimi dianggap sebagai Imam Mahdi. Kenyataan ini disokong oleh beberapa orang bekas pimpinan Al-Arqam dengan pelbagai dakwaan baru, antaranya majlis "penghapusan dosa", tauliah ijazah Aurad dan mampu berdialog dengan malaikat. Sementara itu sebuah buku bertajuk Abuya Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya yang ditulis isteri pertama bekas pemimpin Al-Arqam itu, Khadijah Aam sedang beredar di pasaran sejak 4 bulan lalu. Kebanyakan negeri (didahului Selangor) telah mengeluarkan fatwa memutuskan ajaran pengikut pertubuhan Rufaqa’ sebagai haram kerana mempunyai persamaan dengan Aurad Muhammadiah pegangan kumpulan al-Arqam yang diharamkan pada 1994.
Teringat aku akan buku karangan bekas pimpinan Al-Arqam, Zabidi Mohamad, Tersungkur Di Pintu Syurga yang menceritakan akan kepura-puraan (lakonan) pimpinan Al-Arqam bertaubat setelah ditahan di bawah ISA disiarkan di media massa. Apatah lagi Al-Arqam bukannya asing bagi aku kerana mempunyai ramai teman di kalangan mereka sewaktu belajar dahulu dan pernah beberapa kali menyertai program yang dianjurkan terutama ketika di Terengganu (bukannya menyertai jamaah mereka). Cara pakaian berjubah gelap dengan serban tebal bagi lelaki dan berpurdah bagi perempuan menjadi trade mark bagi jamaah Al-Arqam. Tambahan pula rangkaian perniagaan dan perusahaan yang menekankan soal halal-haram menjana ekonomi jamaah terbabit terutama di tengah-tengah komuniti Islam.
Sewaktu di Shah Alam, kaset nasyid kumpulan Nada Murni (kini ramai anggotanya dalam Rabbani & Hijjaz) dan The Zikr (kini Raihan) menjadi koleksi utama aku. Ramai ahli politik, para artis dan para profesional menyertainya, antaranya Datuk Tamrin Ghaffar (Baba), penyanyi Sahara Yaacob, SN Shahnon Ahmad dan penulis Nora. Kaedah dakwah mereka di peringkat awal sebelum tercemar dengan amalan Aurad Muhamadiyyah (selepas 1986) amat berkesan lebih-lebih lagi ditengah-tengah masyarakat yang kurang kemas pegangan agamanya, sudah pasti senang menjadi ikutan serta muncul sebagai model terbaik untuk diikuti.
Secara peribadi aku harap pihak berkuasa agama terutama JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Mufti dapat bersemuka dan bermuzakarah dengan pimpinan Rufaqa' bagi mencari mana silapnya mereka dan perbetulkan setiap ketelanjuran mereka. Adalah tidak adil menjatuhkan hukum sekadar mendengar cakap-cakap orang kerana mungkin yang bercakap menyimpan "rasa hati" kepada Rufaqa'.
8) Rasional secara islamik dalam menjatuhkan hukum
News Update
BH 01/12 - Polis akan campur tangan jika jabatan agama minta bantuan. Jabatan agama negeri pantau setiap kegiatan perniagaan rangkaian Rufaqa'.
Bernama 01/12 - JAIS tahan 2 pemimpin kanan Rufaqa' selepas sidang media menafikan penglibatan Rufaqa' dalam cubaan menghidupkan Al-Arqam di Dewan Motivasi Harmoni, Bdr Country Homes.
BH 03/12 - Dipercayai orang kanan Rufaqa' putar belitkan kenyataan Ashaari diketika beliau kini menghadapi masalah serangan angin ahmar pelbagai (multi stroke). KP JAKIM kata Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat 2 bulan lepas dah putuskan ajaran Rufaqa' adalah menyeleweng (pelik, kenapa tak diwartakan 2 bulan lepas?).
BH 04/12 - Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), didapati tiga syarikat Rufaqa' memiliki aset tetap bernilai RM51,780 dan aset semasa sebanyak RM524,507 dengan pendapatan operasi mencecah lebih RM9.8 juta. Syarikat itu adalah Rufaqa Corporation Sdn Bhd (Rufaqa Corporation) yang diperbadankan sebagai syarikat perniagaan secara umum, Rufaqa Technologies Sdn Bhd (Rufaqa Technologies) dan Rufaqa Ternak Sdn Bhd (Rufaqa Ternak).
BH 05/12 - Ashaari nafi hidupkan Al-Arqam kerana dah insaf dan serik. Beliau dakwa ada pihak membenci beliau. Rufaqa' ditubuh semata-mata untuk memajukan ekonomi umat Islam. Ashaari kecewa JAKIM seolah-olah cuba mengkuburkan usaha beliau dengan alasan berusaha menghidupkan Al-Arqam, tidak seperti KKDN yang faham akan aktiviti beliau. KP JAKIM akan berjumpa Ashaari dalam masa terdekat.
BH 06/12 - Banyak pihak mendakwa Ashaari cuba mengabui pihak berkuasa dan bersikap tidak jujur, antaranya Datuk Abu Hassan Din AlHafiz, Mufti Perlis Dr. Mohd Asri & Penasihat Agama PM Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.
BH 14/12 - Bekas Penasihat Undang2 Al-Arqam, Zabidi Mohamad dedahkan VCD ceramah didakwa pengikut kanan Rufaqa' akan amalan karut antaranya Ashaari boleh berunding terus dengan Allah bagi menangguhkan kematian pengikutnya. Ashaari juga didakwa boleh menukar ajal seseorang kepada pengikut yang lain, Ashaari akan menjawab soalan kubur untuk pengikutnya dan juga dakwaan tiada ibadat yang lebih besar pada zaman ini selain menjadi pengikut Abuya (Ashaari). Selain itu, sesiapa yang duduk dalam majlis yang dihadiri Abuya (Ashaari) adalah bersamaan 40 kali mengerjakan haji.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home