Zoo Negara Kekal di Hulu Klang
Zoo Negara yang telah dibuka sejak tahun 1963 (43 tahun lalu) akan tetap kekal di tempat sekarang, Hulu Klang walaupun kawasan di sekitarnya semakin giat membangun dengan pelbagai projek perumahan dan industri yang tumbuh bagaikan cendawan. Itulah keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet walaupun telah banyak pandangan diutarakan oleh pelbagai pihak terutama penduduk setempat, pengunjung dan juga Sahabat Alam Sekitar (NGO).
Pada bulan Disember 2004, isu pindah Zoo Negara ini pernah diketengahkan di Dewan Rakyat untuk dipertimbangkan, pada waktu itu Kabinet telah putuskan dengan kata putus yang sama. Apa yang menghairankan selepas 2 tahun isu yang sama diketengahkan semula, seolah-olah ada udang disebalik batu atau ada "tangan ghaib" yang masih berusaha menukar status tanah seluas 40 hektar itu (hanya 24 hektar digunakan kini) kepada "sesuatu yang lebih menguntungkan" (nilai tanah di Hulu Klang amat tinggi).
Pengerusi Persatuan Zoologikal, Datuk Ismail Hutson telah kerap kali menegaskan akan keputusan kabinet tersebut. Sekali lagi Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah dalam akhbar pada hujung minggu lalu mengulanginya sambil menyatakan rasional disebalik keputusan yang telah diambil iaitu dibimbangi kira-kira 80% (3,200 ekor) haiwan peliharaan akan mati sekiranya dipindahkan ke habitat baru.
"Haiwan akan "mengamuk" dan mati jika dipindahkan kerana perpindahan itu sebenarnya mengganggu habitat yang sudah lama mereka diami. Keputusan muktamad Kabinet untuk mengekalkan tapak zoo itu adalah yang terbaik, malah kita akan mempertingkatkan kemudahan prasarananya,” kata Dr. Mohamad kepada para wartawan selepas majlis penerimaan cek berjumlah RM5,000 sumbangan O’Bon International. Sumbangan itu adalah untuk seekor kura-kura Aldabran, iaitu yang kedua terbesar di dunia dan berusia hampir 100 tahun.
Perkara pokok yang sering diwar-warkan adalah persekitaran zoo kini pesat membangun dengan hutan batu yang berceracak naik dan pencemaran udara dari persekitaran amat tidak bersesuaian dengan dunia haiwan yang sinonim dengan hutan yang menghijau dan udara yang segar. Malah kerajaan negeri Selangor sendiri telah beberapa kali menawarkan tanah seperti di Batang Kali dan Dengkil untuk tujuan perpindahan tersebut. Pernah juga terdengar ura-ura untuk dipindahkan ke Putrajaya.
Menurut Dr. Mohamad, hutan batu bukan isunya kerana kebanyakan zoo-zoo utama di seluruh dunia terletak di bandar-bandar utama seperti di Singapura, New York, London dan Paris. Memang benar, kedudukan zoo di bandar lebih memudahkan para pelancong untuk berkunjung kerana lebih senang dan selesa untuk dimasukkan ke dalam agenda lawatan.
Zoo Negara adalah amat istimewa bagi aku. 27 tahun dahulu, bersama rombongan sekolah rendah kami singgah melawat Zoo Negara, suatu tempat yang menjadi idaman pelawat (hingga kini). 10 tahun yang lalu jodohku bersama isteriku yang tinggal di Hulu Klang, tidak jauh dari Zoo Negara mendekatkan diriku dengannya. Kini anak-anakku amat menghargai kehidupan haiwan di Zoo Negara kerana selama ini mereka hanya mampu sekadar melihatnya di kaca TV atau di dalam buku-buku hatta sekadar seekor ayam, itik, kambing dan lembu yang semakin susah ditemui di sekitar Kuala Lumpur.
Untuk Zoo Negara apa yang penting adalah menambah prasarananya agar lebih menarik untuk dikunjungi serta menggunakan lebihan kawasan yang ada dengan bijak bukan sahaja menampung habitat haiwan tetapi juga keselesaan pengunjung. Selebihnya adalah sokongan dari semua terutama agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam membangunkannya yang memerlukan peruntukan yang amat besar.
8) Moga tiada lagi suara sumbang seumpamanya
0 Comments:
Post a Comment
<< Home