Monday, November 06, 2006

Bahasa Melayu - MB Johor Menentang Arus

Isu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang diperkenalkan oleh mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad 3 tahun lepas (2003) tidak pernah padam. Pelbagai pihak seperti DBP, NGO Melayu, pembangkang, ahli akademik dan tak terkecuali ahli veteran UMNO sendiri bertegas agar ianya diajar kembali mengikut acuan Bahasa Melayu. Resolusi berkaitan kerap kedengaran selepas sesuatu kongres berkaitan bangsa dan bahasa Melayu diadakan dari masa semasa untuk membincangkan usaha-usaha kearah memperkasakannya tetapi sehingga kini nampaknya masih lagi tidak diendahkan oleh pemerintah.
Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dalam Konvensyen UMNO Johor berucap menentang arus kerajaan dengan meminta pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diajar kembali dalam Bahasa Melayu. Ungkapan kata beliau agak keras dan perlu diteliti akan kebenarannya, malah statistik yang dikeluarkan jelas menggambarkan betapa parahnya natijah yang timbul dari peminggiran penggunaan Bahasa Melayu dan kemungkinan yang akan terjadi kiranya ianya dibuat tak kisah.
Star 07/11 - TPM, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak & Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn berkata, kaedah sekarang akan dikekalkan sehingga tahun 2008, selepas itulah kajian akan dilakukan kerana ianya baru sahaja dilaksanakan.
UM 10/11 - PM, Pak Lah bertegas ianya dikekalkan, menurutnya ia mampu meningkatkan prestasi pelajar Bumiputera.
Berikut petikan dari Utusan Malaysia bertarikh 05/11/2006.
Kata beliau, "Pendekatan ini sebenarnya amat menyulitkan pelajar Melayu kerana ia adalah cara paling buruk untuk belajar bahasa Inggeris dan cara paling buruk juga untuk belajar Matematik dan Sains".
Jelas beliau, alasan pelaksanaan sistem tersebut hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah di kalangan orang Melayu adalah satu hujah yang lemah.
‘‘Kalau kita sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mengubah kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains ke bahasa Inggeris, sama ada buku teksnya, rujukannya, latihan gurunya, mengapa semua itu tidak dibelanjakan untuk peningkatan mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, jika pelajar menggunakan 38 peratus bahasa Inggeris dalam pembelajarannya di tingkatan tiga, jumlah tersebut akan meningkat hampir sekali ganda iaitu 64 peratus di tingkatan empat dan lima serta mencecah 80 peratus penggunaan di kalangan pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.
‘‘Di peringkat universiti, hanya kursus sastera dan pengajian Islam di ajar dalam bahasa Melayu... lalu di mana yang mendorong anak Melayu untuk kekal dengan bahasa ibundanya,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, lebih menyedihkan, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu akan terbantut kerana segala usaha mencipta istilah baru mengikut keperluan bahasa akan terhenti.
‘‘Sia-sialah segala kerja beratus-ratus pakar dalam bidang-bidang tertentu mencipta istilah yang sudah pun mencecah satu juta istilah dalam ratusan bidang ilmu termasuk yang terkini iaitu aeroangkasa.
Katanya lagi, barangkali dengan gembar-gembur bahawa syarikat swasta kini memerlukan pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, bahasa Melayu hanya menjadi bahasa ketiga selepas bahasa Inggeris dan Mandarin.
8) Syabas Datuk...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home