Friday, November 03, 2006

Kerja Haji Dalam Tempoh Seminggu

Kerjakan haji dalam tempoh seminggu. Begitulah cadangan yang telah diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md Zin beberapa hari yang lalu. Bunyinya agak menarik, ibarat satu pakej pelancongan terutama kepada yang tak suka berlama-lamaan di tempat orang atau kesuntukan masa dalam menguruskan urusan harian. Secara praktikal tempoh sekarang dilihat agak panjang sehingga menjangkau purata 40 hari dari awal bertolak hingga kembali ke tanah air.
Persoalannya adakah ianya praktikal dan dapat dilaksanakan? Ramai juga yang menyampuk - ada yang bersetuju dan nampaknya ramai yang melahirkan kekhuatiran samada ianya dapat dilakukan kerana tempohnya amat pendek. Tak dinafikan untuk mengerjakan rukun dan wajib haji hanya mengambil masa 4 hari sahaja bermula wukuf di Arafah pada 9hb. Zulhijjah hinggalah tawaf dan saei di Mekah pada 10hb. Zulhijjah, ditambahi pula kembali ke Mina untuk melontar pada 11hb. dan 12hb. Zulhijjah.
Pendapat umumnya mengatakan ianya boleh dilaksanakan hanya untuk mereka yang berduit dan mempunyai urusan penting untuk dilakukan seperti para pemimpin negara dan ahli korporat. Itupun mungkin tidak dapat dilakukan dalam tempoh seminggu kerana kerenah logistik yang tak dapat dielakkan lebih-lebih lagi lapangan terbang di Jeddah ditutup untuk penerbangan haji bermula 3hb. Zulhijjah.
Antara persoalan yang ditimbulkan adalah :-
1. Apakah kesemua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna?
2. Apakah jemaah haji akan berpuas hati berada di tanah suci dalam tempoh yang begitu singkat?
3. Apakah pihak berkuasa di Jeddah dapat menguruskan kemasukan serentak sejumlah 26,000 jemaah haji dari Malaysia, dan pada masa yang sama menguruskan kemasukan jemaah-jemaah haji lain dari seluruh dunia?
4. Apakah urusan penerbangan jamaah Malaysia dapat dilakukan dalam masa yang singkat?

5. Apakah urusan logistik lain seperti khemah di Arafah, Mina, hotel penginapan dan sebagainya dapat diuruskan?
6. Apakah tiada lagi aktiviti ziarah tempat-tempat bersejarah Islam, makam Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah dan mengerjakan solat 40 waktu di Masjid Nabawi di Madinah?
7. Apakah ianya telah dilakukan kajian terperinci?

Secara peribadi saya bersetuju jangkamasa 40 hari tersebut dipendekkan, mungkin maksima 25 hari sahaja kerana jangkamasa yang agak panjang juga menyebabkan para jamaah merasa gelisah kerana kebanyakkannya tidak biasa meninggalkan kampung halaman dan keluarga tercinta dalam jarak masa yang lama. Boleh juga dilakukan melalui pilihan pakej; 2 minggu, 3 minggu mahupun sebulan.
Segala persoalan yang timbul seharusnya ditangani dengan baik agar ibadat wajib ini benar-benar dapat dihayati dan mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah SWT. Tambahan pula inilah peluang yang julung-julung kali yang termampu diperolehi oleh para jemaah yang kurang berkemampuan untuk menjejaki kaki ke bumi para anbiya', Mekah dan Madinah yang penuh barakah ini. Bagi yang berkemampuan, terserahlah pada mereka.
8) AlhamduliLlah dah daftar...



0 Comments:

Post a Comment

<< Home