Mat Rempit oh.. Mat Rempit
Mat Rempit atau kaki lumba motorsikal kapcai kini menjadi perhatian umum sehingga turut sama disentuh secara khusus oleh PM dan TPM malah oleh MB Kelantan. Saban hari media massa menyiarkan angkara mat rempit yang menimbulkan pelbagai kerenah antaranya kemalangan sesama sendiri dan kematian samada mat rempit atau insan yang dilanggar. Malah mat rempit ini juga dikatakan terlibat dalam banyak kes-kes jenayah lain antaranya dadah, ragut, mencuri, vandalisme serta perlakuan yang tidak bermoral. Dengan kata lain golongan ini dikategorikan sebagai sampah masyarakat.
Mat Rempit ini bukan sahaja kedapatan di bandar-bandar malah telah menular ke kawasan perkampungan. Tanpa rasa takut dan gentar mereka memecut motorsikal menderum laju cuba mengatasi saingan mereka terutama di waktu yang lenggang di waktu pagi hari di hujung minggu. Adakalanya secara suka-suka dan kerap juga kerana ganjaran mewah yang dijanjikan termasuk wanita sebagai taruhan.
Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi nampaknya tidak berkesan. Akhir-akhir ini kedengaran pula minat parti-parti politik untuk menarik remaja bermasalah ini untuk menyertai kumpulan mereka. Secara peribadi ianya perlu disokong tetapi mestilah dengan tujuan untuk merubah mereka kepada cara hidup yang lebih baik dan berfaedah tanpa bermotifkan sokongan peribadi atau pilihanraya semata-mata.
Mat Rempit juga adalah manusia seperti kita. Mereka mempunyai perasaan dan naluri untuk dikasihi dan dikagumi. Sebaiknya aturkan program yang berfaedah dan terancang untuk mereka selari dengan minat dan kegilaan mereka tetapi dalam acuan yang betul dan mengikut lunas perundangan. Sebagai contoh, kumpulkan mereka dalam persatuan yang sah dan anjurkan program yang mereka gemari. Pada masa yang sama secara tak langsung selitkan kepentingan menjadi insan yang berguna kepada diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan negara. Bagi yang beragama Islam seharusnya diterapkan nilai-nilai murni dalam beragama dan penekanan kewajiban seorang Muslim.
Penglibatan NGO terutama yang mempunyai biro/lujnah belia amat dialu-alukan sebagai wadah untuk mereka berinteraksi sesama mereka. Usah pinggirkan mereka tetapi dekatilah mereka dengan penuh hikmah dan penuh kasih sayang. Insya Allah tidak mustahil mereka mampu menjadi penggerak dan contoh dalam masyarakat.
8) Mat Rempit mampu berubah menjadi Mat Tabligh... Insya Allah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home