Monday, October 30, 2006

Sengketa Pak Lah - Che Det.. Entah Le..

Kepada pemerhati politik tanah air, pertelagahan antara PM, Pak Lah dan bekas PM, Che Det adalah cerita lama, tiada siapa yang pasti bilakah ianya akan berakhir. Satu persatu isu ditimbulkan oleh Che Det, semuanya seolah-olah memperlekehkan stail pemerintahan Pak Lah. Dari isu berbentuk nasional dan hubungan kenegaraan sehinggalah hal-hal peribadi dan keluarga Pak Lah disentuh secara sinis. Apa motif sebenar Che Det menyerang Pak Lah hanya dia sahaja yang tahu. Tapi mengikut katanya, tiada tujuan lain selain menegur kerajaan dan Pak Lah apa yang tidak betul pada pandangannya semata-mata untuk kepentingan negara, bangsa dan agama.
Menjelang sambutan Eidil Fitri baru-baru ini (22/10/2006), Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat BN (Mubarak) telah mengambil inisiatif menganjurkan "pertemuan 4 mata" dengan tujuan menyelesaikan persengketaan dan mendamaikan mereka. Tak sampai 24 jam selepas pertemuan tersebut, Che Det melancarkan serangan seterusnya, antaranya menganggap negara ini diselubungi iklim ketakutan, dengan kata lain "negara ini negara polis" kerana tindakan akan diambil kiranya PM dikritik. Katanya, beliau mengkritik kerajaan dan PM kerana tiada siapa berani mengkritik terutama di kalangan ahli kabinet, ahli politik dan juga media massa utama.
Pak Lah yang terkenal dengan sikap coolnya nampaknya kali ini naik angin dan turut menyerang balas Che Det terutama atas dakwaan syarikat milik anaknya, Kamaluddin, Scomi Berhad banyak dianugerahkan projek kerajaan. Katanya, projek yang diperolehi oleh anak-anak Che Det sewaktu Che Det jadi PM dulu lebih besar/banyak berbanding apa yang Scomi dapat sekarang. Dan sehari dua ni para menteri, MB dan ahli2 politik UMNO rata-ratanya menemplak Che Det agar menutup mulut dari mengkritik, ada juga yang meminta jawatan2 bersangkutan agensi kerajaan yang dipegang Che Det (ie. penasihat Petronas, Proton & LADA) dilucutkan dan juga dilucutkan keahliannya dalam UMNO. Menariknya ada juga yang mendakwa pemerintahan Che Det dulu lebih teruk dan autokrat berbanding era Pak Lah sekarang yang lebih terbuka (Pelik.. kenapa dulu tak ditegurnya...).
BH 02/11 - Che Det kata terserah kepada pimpinan UMNO nak ambil tindakan apa atasnya tapi untuk letak jawatan tidak sekali.
BH 03/11 - Mesyuarat MT UMNO putuskan tiada tindakan diambil ke atas Che Det - beliau kekal sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan dan kekal ahli UMNO.
Lihatlah... akibat percakaran pemimpin-pemimpin besar, sedikit demi sedikit terbuka pekong yang asalnya tidak diketahui umum malah apa yang sering diperkatakan oleh pembangkang dahulu seolah-olah ada kebenarannya. Kiranya benarlah segala dakwaan yang dikeluarkan sama ada oleh Pak Lah atau Che Det serta penyokong2 mereka, maka terbukti amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan sokongan kerana kuasa dan harta telah mendarah daging serta membarah dalam masyarakat. Tak hairanlah amalan seumpamanya menjadi budaya yang tak pernah padam dalam pentadbiran dan pengurusan agensi kerajaan dan swasta.
Secara peribadi, Che Det berhak membuat kritikan tetapi tidak perlu dihebohkan melalui akhbar, cukup sekadar bersemuka dengan Pak Lah dan jelaskan ketidakpuasan hati beliau. Dan Pak Lah pula seharusnya menerima secara terbuka dan kiranya ada kebenaran laksanakan dengan bijaksana. Dan terlebih baik lagi, Che Det tak payahlah dok mengkritik dan menegur, diamkan aje... biarkanlah Pak Lah dan barisan kabinetnya menguruskan pemerintahan negara dengan cara mereka sendiri kerana kuasa kini telah berpindah tangan. Jika tidak, makin banyak spekulasi tidak sihat akan timbul yang lebih menjurus kepada merosakkan imej beliau sebagai negarawan.
8/ Tun... penuhilah usia lanjut untuk mengingati Allah SWT

0 Comments:

Post a Comment

<< Home