Sultan Terengganu YDP Agong Ke-13
Daulat Tuanku... Tahniah dari patik rakyat Tuanku di perantauan.
Berikut petikan dari Bernama. KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Dis ini. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata dalam satu kenyataan bahawa pelantikan Sultan Mizan, bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan oleh Majlis Raja-raja dalam mesyuarat khasnya yang ke-208 di Istana Negara hari Jumaat. Mesyuarat itu juga bersetuju mengisytiharkan pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga untuk tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Mesyuarat Majlis Raja-raja itu, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, telah dihadiri oleh semua sultan kecuali Sultan Pahang dan Sultan Johor. Sultan Mizan yang diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekarang. Baginda pertama kali dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 ketika Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Yang di-Pertua Agong ke-11. Kali kedua baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 12 Dis 2001 berikutan kemangkatan Sultan Salahuddin pada 21 Nov tahun itu. Bagi Sultan Kedah pula, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5 dari 12 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975. Sejak Merdeka, semua Raja Melayu dari sembilan negeri di Semenanjung telah berpeluang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama dari 3 Ogos 1957 hingga 1 April 1960. Ini disusuli oleh Sultan Selangor Almarhum Tuanku Hishamuddin Alam Shah Alhaj yang mangkat beberapa jam sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1 Sept 1960. Yang di-Pertuan Agong ketiga ialah Raja Perlis Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, yang juga ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang. Ia disusuli oleh Sultan Terengganu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah (nenda kepada Sultan Mizan), Sultan Kedah, Sultan Kelantan Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (ayahanda kepada sultan sekarang), dan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar. Selepas itu jawatan Yang di-Pertuan Agong disandang pula oleh Sultan Johor Tuanku Mahmood Iskandar Al-Haj, diikuti Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Sultan Selangor Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (ayahanda kepada Sultan Selangor sekarang). Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 13 Dis 2001 akan tamat tempohnya pada 12 Dis ini.-- BERNAMA
0 Comments:
Post a Comment
<< Home