Thursday, November 09, 2006

Gempar - Model Mongolia Diletup

Satu kisah yang amat menyayat hati dan amat tidak berperi-kemanusiaan, mungkin lebih dahsyat dari kisah kekejaman tentera Israel di Palestine. Pihak polis memaklumkan seorang model bangsa Mongolia, Anna Ana Ang atau Altantuya Sharibuu @ Aminah, 28 tahun telah dibunuh sebulan lalu dan mayatnya telah diletupkan dengan beberapa bom tangan di Hutan Simpan Puncak Alam di Shah Alam. Hasil siasatan sepasukan 45 anggota Unit Forensik Bukit Aman dan doktor dari Hospital Kuala Lumpur menjumpai tulang berselerakan di kawasan 250 meter tetapi tiada cebisan daging dan pakaian ditemui.
Ekoran daripadanya, empat orang termasuk seorang cif inspektor, lans koperal wanita dan konstabel sudah ditahan sejak seminggu lalu untuk membantu siasatan. Kelmarin, penganalisis politik terkenal tanah air, Abdul Razak Baginda (menurut UM) telah ditahan atas tujuan yang sama. Dikatakan penganalisis berkenaan mempunyai hubungan dengan model berkenaan sehingga melahirkan anak di tahun ini (dikatakan telah bernikah di sana). Altantuya telah datang ke Malaysia pada 06/10 lalu untuk bertemu "suaminya" bagi urusan pembedahan anaknya yang menghidap 'Hidrocephalus’ iaitu lebihan cecair di kepala. Kehilangannya disedari oleh sepupunya pada 09/10 lalu dan telah dilaporkan ke Konsulat Mongolia di Bangkok dan juga Balai Polis Jalan Travers dan Balai Polis Brickfields.
Sekali dengar rasa macam tak percaya, betapa kejamnya manusia apabila telah dirasuk syaitan. Masih diingat lagi kekejaman yang dilakukan oleh Mona Fandey dan pembantunya, Juraimi lebih 10 tahun lalu, kerana runtunan ilmu pembomohan sanggup membunuh seorang ahli politik dan mengeratnya 14 bahagian sebelum ditanam. Begitulah jadinya kiranya iblis dan syaitan dijadikan rakan - jika diukur mengikut akal yang waras, tak sanggup rasanya untuk dilakukan. Inilah peranan iman... hati tanpa iman akan gersang dan mudah kecundang mengikut hasutan syaitan dan akan terus hilang pedoman.
8/ NauzubiLlah
News Update
BH 10/11 - Seorang penyiasat persendirian & seorang bekas polis ditahan menjadikan 6 orang ditahan untuk menbantu siasatan.
BH 12/11 - Bapa Altantuya, Sharibuu yang datang ke Malaysia yakin anaknya masih hidup selagi ujian DNA tidak membuktikannya.
BH 16/11 - Jabatan Kimia Petaling Jaya mengesahkan ujian DNA ke atas tulang2 berkenaan adalah dari jasad Altantuya.
Bernama 16/11 - Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Beliau didakwa melakukan kesalahan bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, anggota Unit Tindakan Khas Bukit Aman membunuh Altantuya antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Okt lepas di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang. Penyiasat persendirian dan seorang anggota polis wanita dilepaskan dari sabitan. Azilah dan Sirul telah didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 15/10/2006 di bawah Seksyen 302.
UM 24/11 - Mahkamah Tinggi bebaskan Abdul Razak setelah tidak mengaku bersubahat dengan jaminan bon RM 1 juta tanpa cagaran tunai dengan syarat jaminan 2 ahli keluarga, serah pasport dan lapor diri setiap minggu di IPP Brickfields. Jika ingkar lapor diri & tidak hadir mahkamah, penjamin perlu bayar RM100,000. Mengikut Seksyen 302, tiada ikat jamin dibenarkan kecuali atas budi bicara mahkamah. Beliau dibebaskan atas faktor kesihatan. Jaminan tersebut sehingga ianya disebut semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Dis 2006 bersekali tertuduh lain. Datuk Shafee Abdullah mengetuai barisan pembela dan Karpal Singh sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.
Harakah 07/12 - Timb. Presiden Keadilan meminta siasatan telus, dikhuatiri ada ahli politik/ VIP yang terlibat kerana UTK di bawah kuasa PM & TPM & brg letupan dari jenis terbaru bawah kawalan ketat.
Bernama 14/12 - Mahkamah melanjutkan jaminan bon Abdul Razak dengan memerintahkan Abdul Razak mendepositkan serta-merta jaminan bon RM1 juta dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 05/01/2007. Peguam pemerhati, Bayar Budragchaa terkejut dengan keputusan mahkamah kerana kes seumpamanya sepatutnya tidak boleh dijamin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home