Wednesday, November 08, 2006

Indeks Rasuah Malaysia Merudum Lagi

Kelmarin, Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon V Navaratnam melaporkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang baru dikeluarkan jatuh ke kedudukan ke-44 tahun ini berbanding tempat ke-39 tahun lalu daripada 163 negara yang terbabit dalam kajian berkenaan. Catatan CPI ini merosot 5.0 mata tahun ini berbanding 5.1 tahun lalu.
Berikutan kemerosotan itu, kedudukan Malaysia di Asia Pasifik berada pada kedudukan ke-10, mengatasi negara serantau lain seperti Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia. Walaupun kedudukan Malaysia lebih baik berbanding negara berkenaan tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan kerana pada hakikatnya tahap rasuah di negara kita makin membimbangkan. Lebih memalukan jiran kita, Singapura kekal berada di kedudukan ke-5, sama seperti tahun sebelumnya dan negara-negara yang kurang ternama seperti Luxembourg, Barbados, Estonia, Malta & Slovenia (sekadar beberapa nama) adalah lebih baik daripada kita.
Top 10 masih lagi kekal negara yang sama seperti tahun lepas kecuali tempat ke-10 dirampas oleh Netherlands, bertukar tempat dengan Austria yang turun satu kedudukan. Finland, Iceland dan New Zealand mengungguli carta berkongsi kedudukan pertama. Lain-lain negara mengikut kedudukan adalah Denmark, Singapura, Sweden, Switzerlands, Norway, Australia dan Netherlands.
Persoalannya, kenapa Malaysia menjadi lebih teruk dari tahun-tahun sebelumnya sedangkan Pak Lah ketika mengambil alih pentadbiran negara dari Che Det meletakkan agenda memerangi rasuah adalah keutamaan beliau dan kabinetnya. Persidangan Dewan Rakyat yang mula bersidang semalam hangat memperdebatkannya, yang pasti CPI 2006 menjadi modal utama pihak pembangkang diketuai Lim Kit Siang.
Jawapan Menteri di JPM, Datuk Nazri seolah-olah bersikap "berlepas tangan" dengan menyatakan kes-kes rasuah tersebut adalah kes-kes lama yang baru terbuka pekongnya menyebabkan CPI negara merudum. Secara politiknya menggambarkan di era Pak Lah usaha memerangi rasuah adalah lebih telus dan tulus berbanding era sebelumnya. Seterusnya BPR diminta melakukan kajian berkaitan CPI tersebut bagi mengenalpasti puncanya (diharapkan BPR tidak diikat tengkoknya).
Cuma aku tidak bersetuju dengan pendapat Datuk Nazri yang mengatakan impak atas usaha memerangi rasuah ini tidak dapat dilihat dalam masa setahun dua tetapi memerlukan jangka masa yang lebih panjang. Kenapa tidak boleh... caranya amat mudah - berikan kuasa sepenuhnya kepada BPR melakukan siasatan dan pendakwaan. Disamping itu perketatkan setiap polisi dan prosedur di mana-mana sahaja dengan kaedah yang lebih telus. Dan yang lebih penting tanamkan sifat ikhlas, amanah dan tegas dalam diri setiap orang terutama di kalangan pihak atasan termasuk ahli kabinet. Insya Allah dalam masa terdekat semuanya akan dapat dilihat hasilnya malah lebih baik daripada negara-negara Top 10 di atas.
UM 10/11 - Menurut Perdana Menteri, andaian boleh dibuat bahawa kajian tersebut adalah kajian persepsi semata-mata dan dengan itu mungkin berbeza daripada realiti. Tambah beliau lagi, ‘‘Kita sebenarnya tidak perlu orang lain untuk memberitahu kita tentang keadaan di dalam negara sendiri".
Pak Lah juga seolah-olah berlepas tangan dengan berkata, ‘‘Apabila isu ini dibangkitkan selalunya kritikan ditujukan kepada Perdana Menteri yang kononnya dituduh tidak serius untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah. Namun ini adalah urusan mahkamah dan saya menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes tersebut".
Fikirkanlah sendiri rasionalnya.
Telaah dan renungilah sejarah pentadbiran negara tokoh-tokoh tersohor Islam antaranya Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal adilnya, tak sampai 1 tahun dah terasa ketelusan kerajaannya yang jauh lebih luas jajahannya dari Malaysia. Ataupun lebih afdhal lagi ambil iktibar dari pemerintahan RasuluLlah SAW dan imami setiap gagasan yang dikeluarkannya. Kalau terasa tak mampu, selusuri kaedah yang dilakukan oleh negara Top 10 dan laksanakan di negara kita.
8) Rasuah... cegah sebelum parah...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home