Harimau Malaya
Begitulah nama Jersi Kebangsaan yang julung-julung kali dilancarkan semalam oleh TPM, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Pemilihan warna yang diadaptasi daripada Harimau Malaya yang menjadi Jata Negara benar-benar menimbulkan perasaan gah dalam diri pemakainya, bersesuaian dengan si harimau belang yang terkenal dengan sifat juang yang tinggi dan semangat kental ketika bertarung.
Diharapkan semangat peserta negara akan sentiasa membara dengan satu matlamat, hanya kemenangan yang dicitakan. Itu yang didambakan terutama daripada para atlit negara ke Sukan SEA di Filipina dari 27 November hingga 05 Disember ini yang menjadi kumpulan perintis yang akan memakai jersi baru ini. Kita tidak mahu ianya sekadar semangat bermusim atau dengan kata lain hangat-hangat tahi ayam - nanti kita ditertawakan orang, kokok berdegar-degar tak sedar ekor terpalit tahi.
Seperkara lagi yang perlu ditekankan adalah setiap perjuangan terutama di peringkat serantau atau antarabangsa mestilah disertai semangat dan tekad untuk melonjakkan maruah negara bukannya mengejar atau mengharapkan habuan. Contohilah para pejuang sukan veteran yang terkenal dengan semangat juang yang tiada tolak bandingnya dalam memartabatkan negara di persada dunia, antaranya Datuk Dr. Jegathesan, Mokhtar Dahari, Ghani Minhat, Rabuan Pit dan Hanafiah Nasir (sekadar beberapa nama).
Namun tuah Sdr Zulkefli Abd Aziz siapa tahu. Atas kreativiti beliau menjadikan Jersi Harimau Malaya ini menjadi kenyataan, mengatasi 4,645 penyertaan lain dalam Pertandingan Mereka Cipta dan Mewarna Jersi Kebangsaan anjuran KBS bersama 59iCONS. Tahniah Sdr Zul. Lebih betuah lagi hadiahnya agak lumayan; duit RM10 000, kereta nasional Gen 2, tiket penerbangan pergi balik ke London, penginapan empat hari tiga malam di hotel Holiday Villa London, set teater rumah dan sebuah komputer peribadi.
8) Biar putih tulang jangan putih mata...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home