Monday, November 21, 2005

Cuti Sekolah - Boringnya...

Itulah luahan, mimik muka dan lenggok badan yang ditunjukkan oleh anak-anakku yang sedang bercuti panjang sekarang ni. Dia orang 3 beradik ni memang tak dibenarkan keluar merayap ikut kawan-kawan lain, malah mereka sendiri pun tak suka... AlhamduliLlah. Banyak masa mereka dihabiskan di rumah, bermain apa sahaja permainan yang ada dengan gaya dan daya imaginasi sendiri, baca buku-buku cerita, tengok video dll. Kat rumah tak ada video game, playstation dan seumpamanya... memang tak dibelikan, bagi aku benda2 tu hanya membuang masa dan menjadikan mereka malas belajar.
Untuk mengurangkan rasa bosan, ada kala dihantar ke rumah sepupu mereka di Keramat - bermain dan tidur di sana, mengikuti kelas kemahiran di Little Khalifah Wangsa Maju dll. Hujung minggu pula bawa mereka keluar beraya di rumah sanak saudara dan rakan taulan. Hujung minggu ni pula Insya Allah akan pulang seminggu bercuti ke rumah atuk & nenek mereka di Terengganu.
Dari pemerhatian aku, ramai kanak-kanak merasa amat bosan apatah lagi setiap hari hanya memerap di rumah sahaja. Bagi yang kurang pengawasan, mulalah panjang langkah tambahan pula setiap hari ibu bapa sibuk bekerja. Justeru itu tidak hairanlah kita lihat di shopping complex, ramai remaja dan kanak-kanak melepak di sana-sini, adakalanya dengan aksi-aksi yang menjolok mata.
Memandangkan banyak masa kanak-kanak terbuang tanpa faedah, dicadangkan pihak kerajaan dan jawatankuasa penduduk setempat sewajarnya mengambil inisiatif untuk mengadakan kegiatan-kegiatan yang boleh menguntungkan mereka, sekaligus menghindarkan mereka daripada gejala sosial yang merugikan. Antara kegiatan yang boleh dijalankan adalah kelas penguasaan Bahasa Inggeris, kelas pemantapan Fardhu Ain & bimbingan Al-Quran, bengkel Memasak & Kraf Tangan, bengkel penulisan, pertandingan sukan dan lain-lain. Disamping itu program lawatan secara ilmiah, antaranya tempat-tempat bersejarah dan berunsur pendidikan baik sekali jika diadakan. Perpustakaan sekolah seeloknya dibuka untuk para pelajar walaupun sekadar membaca atau meminjam buku cerita dan elok juga jika diadakan program untuk mereka.
Dengan adanya kegiatan dan program yang berfaedah ini, proses pembelajaran anak-anak tidak terhenti setakat itu sahaja. Apa yang penting adalah para pengendali program (Non Profit Individual/Organisation)perlu ikhlas dan bersemangat kental, bukan untuk mengejar sanjungan dan habuan tetapi untuk memastikan anak-anak tidak terjerumus dalam kancah sosial yang tidak sihat, sekaligus melahirkan masyarakat yang berilmu.
8) Melentur buluh biarlah dari rebung

0 Comments:

Post a Comment

<< Home