Wednesday, July 26, 2006

Pancaroba Sebelum Ke Adelaide

Dua hari lepas dapat makluman dari UKM, tiket penerbangan ke Adelaide yang ada hanya pada 31/07/2006 malam, itupun kena transit kat Sydney sebelum berlepas ke Adelaide. Untuk transit flight mengambil masa kira2 12 jam sedangkan direct flight 8 jam. Tak ape le... setelah pelbagai karenah dan kesusahan (serta kesilapan & kekeliruan) yang berlaku, Insya Allah hajat dan hasrat tercapai juga. Mengikut perancangan, isteriku akan menyambung pelajarannya selama setahun di Flinder's University, Adelaide, South Australia dalam sub-course Rehabilatation. Kalau diikutkan jadualnya beliau dah terlewat 2 minggu - kelasnya bermula pada 24/07/2006 lalu dan seminggu sebelum itu adalah Induction Week. Semalam dapat call dari penyelianya di Flinder's kerana tiada sebarang khabar berita dan langsung tak muncul2.
Perancangan untuk menyambung pelajaran telah lama dibuat, dijangkakan bermula awal tahun 2007. Tiba-tiba bulan Mac baru-baru ni dapat tawaran dari visiting lecturer di Australia untuk buat attachment (belajar sambil kerja), jadi terus buat keputusan masuk belajar Julai 2006. Peperiksaan IELTS diambil di British Council (pass 7.0 Band), ulang lagi sekali untuk tingkatkan band di IDP Kelana Jaya dengan masuk kelas sekali, dapatlah 8.0 Band. Terbang le RM 1,000 untuk kedua-dua exam tu (itulah investment namanya). Pada akhir May 2006, ikuti program anjuran Biro Tata Negara di Tg Rhu, Sepang selama hampir seminggu.
Onak durinya mula terasa apabila permohonan visa mula dilakukan. Kedutaan Australia hanya bagi sekeping kertas mengandungi makluman berkaitan, tiada lagi manual visa, semuanya perlu dilakukan secara online.
Pagi 05/06/2006 - Kami sekeluarga ke Jabatan Imigresen di Pusat Bdr Damansara untuk buat passport. Tiba di Imigresen jam 09:15 am - no. giliran jaraknya 200 - proses buat passport dan pembayaran sekejap aje tapi menunggunya jenuh... jam 02:30 baru dapat giliran - 5 jam menunggu giliran, AlhamduliLlah anak2 cool aje... Kesemua passport diambil petang 12/06/2006, prosesnya sekejap aje. Pada masa yang sama abah dan mak mohon passport untuk mereka yang akan ke Adelaide akhir Ogos nanti, bergilir jaga bebudak tu kerana cuti aku hanya untuk 2 bulan aje. Urusan passport mereka juga cepat kerana berurusan di kaunter warga emas.
Pagi 23/06/2006 - Bersama anak-anak ke HUKM untuk ambil x-ray dan turun ke Pusat Perubatan Primer HUKM, BTS untuk ambil darah dan buat urine test. Anak-anak melarikan diri mengelak dari diambil darah. Hanya ibu dan Imran sempat diambil darah (itupun menangis Imran dibuatnya). Rupa-rupanya semuanya itu tiada gunanya kerana medical check up perlu dilakukan secara online dan hanya panel-panel yang dilantik oleh Kedutaan Australia sahaja yang diperakui. Alahai... buang masa dan tenaga aje, anak2 terpaksa ponteng dan aku kena keluar opis. Satu hal lagi, rupa-rupanya hanya ibu sahaja yang perlu diambil darah. Anak-anak hanya perlu lakukan pemeriksaan kesihatan biasa sahaja. Manakala bapa kena ambil x-ray dan buat urine test serta pemeriksaan kesihatan biasa.
Petang 10/07/2006, medical checkup untuk ibu dan Imran dilakukan di Life Care Diagnolisis Sdn Bhd di Jln Barat, Petaling Jaya. Untuk ke sana kami menaiki LRT dari Tmn Setiawangsa ke Tmn Jaya. Urusan di Life Care ambil masa agak lama (01:00 pm - 06:00 pm), bukan kerana pemeriksaannya tapi cubaan untuk selesaikan pelbagai masalah awal dan sampingan yang timbul, antaranya cuba hubung dan daftarkan permohonan e-visa aku dengan isteri dan Imran agar boleh bertolak sekali - tak dapat untuk gabungkan. Jadi pemeriksaan kesihatan aku perlu ditangguhkan. Juga isteriku cuba elakkan pengambilan x-ray kerana baru 2 minggu lepas ambil x-ray (2 kali) di HUKM kerana dengan x-ray menyebabkan sel-sel dalaman mati. Apa nak buat terpaksa juga kerana micro-filem yang dibawa dari HUKM tak dapat dibuka. Disamping itu ambil darah, buat urine test dan pemeriksaan kesihatan umum. Isteriku terpaksa ulang urine test keesokan harinya kerana hasil ujiannya tak clear, mungkin kerana kepenatan dan stress.
Disamping itu anak2 yang berumur 5 tahun ke atas diwajibkan mendaftar sekolah di sana dahulu barulah boleh dimulakan proses permohonan visa. Jadi terpaksa le kami (ibu, ayah dan Imran) ke Adelaide dahulu tanpa Iddin, Nisha dan Le'ah untuk selesaikan masalah penempatan keluarga dan pembelajaran mereka - dirancangkan mereka akan bertolak ke Adelaide pada akhir cuti persekolahan bulan Ogos nanti (jangkaan 26/08/2006).
Insya Allah ketemu lagi. Jika ada kesempatan untuk update blog ini akan dilakukan dari bumi kanggaroo - Australia.
8) Moga perjalanan kami diberkati dan sentiasa di bawah lindunganNya. Amiin.

Kumpulan Artikel 11 Mencabar Islam

Semalam PM terpaksa memberi amaran keras kepada golongan atau kumpulan tertentu yang sedang berusaha menganjurkan perbincangan terbuka tentang agama di mana agendanya lebih menjurus kepada menyerang agama Islam. Kumpulan terbabit lebih dikenali sebagai Kumpulan Artikel 11 yang terdiri daripada 13 NGO termasuk Sister in Islam dan Majlis Peguam yang sedang menjalankan kempen seluruh negara bagi mendapat sokongan untuk meminda Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang Mahkamah Sivil daripada mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Dilaporkan Pak Lah berkata, ‘‘Hentilah (perbincangan agama), jangan buat apa-apa. Isu agama cukup sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu perkauman. Jika ia tidak dibendung, dikawal secara berhati-hati, akan lahir situasi tentangan di kalangan rakyat".
Ujar beliau lagi, "Jika perbincangan (agama) yang berjalan itu tidak dibendung, tidak dikawal dengan perasaan berhati-hati, maka apa yang berlaku ialah ketegangan antara rakyat yang menganuti agama berlainan’’.
Usaha kumpulan ini mula menonjol setelah kes Allahyarham Sarjan Morty @ Muhammad Abdullah di mana pihak JAWI berjaya mendapatkan hak pengebumiaannya. 13 NGO tersebut dengan dikepalai oleh Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha dan Sikh telah mengambil inisiatif dan mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Amat malang sekali, diberitakan ramai Ahli Parlimen Islam yang menyokongnya, antaranya Datuk Nazri Aziz, Datuk Azalina Othman dan Datuk Zaid Ibrahim, juga beberapa orang yang dikenali umum seperti Marina Mahathir dan Nori Abdullah.
Perdana Menteri berkata, ‘‘Yang meneruskan perdebatan agama itu ialah kumpulan yang mahukan IFC. Saya katakan IFC sangat sensitif". ‘‘Mengenai IFC, saya sendiri minta tangguh, jika tangguh ia tak perlu diadakan perbincangan lagi. Bila dilaksanakan, inilah jadinya. Dulu tiada masalah, sekarang dah jadi masalah".
Pertemuan pertama kumpulan NGO tersebut telah berlangsung di sebuah hotel di Pulau Pinang pada bulan lepas dan diikuti perjumpaan kedua di Johor Bahru, Johor pada 22 Julai lalu. Majlis di Pulau Pinang telah mendapat tentangan perkumpulan NGO yang dikenali BADAI yang menyebabkan polis terpaksa memberhentikannya. Ini menyebabkan Datuk Nazri marah dan mengatakan para penentang adalah orang "bodoh". Akan tetapi majlis di Johor Bahru tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan dari Pemuda UMNO dan Pemuda PAS serta NGO Islam.
Pelbagai pihak telah menganjurkan majlis-majlis ceramah, forum dan seminar semata-mata untuk membangkitkan kesedaran pada umat Islam peri bahayanya gerakan dan percaturan yang sedang dilakukan oleh kumpulan berkenaan dan sekutu-sekutunya. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islam Malaysia (JIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Front Menentang Anti Murtad (FROKAD), Persatuan Peguam Pembela Islam (PPI) dan banyak lagi NGO lain bersatu menentangnya.
Yang terbaru pada Ahad lepas bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan KL telah dilangsungkan Forum Islam dan Cabaran yang dilaporkan telah dihadiri 10,000 orang dengan jemputan utamanya SS Datuk Mufti Perak, Datuk Seri Harussani. Diakhir majlis telah dikeluarkan resolusi bersama meminta pihak berkuasa bertegas membela kesyumulan Islam dari diganggu gugat oleh mereka yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melakukannya.
Dirasakan Kumpulan Artikel 11 tak akan berdiam diri, akan ada langkah susulan yang akan diambil samada dalam diam atau secara terang-terangan. Bagi mereka suara Perdana Menteri tiada apa ertinya kerana mereka bukan sahaja mendapat sokongan dari kalangan VIP Malaysia tetapi juga pemerhati-pemerhati luar negara yang sudah pasti mencari ruang untuk menyerang agama Islam.
8) Ayuh, kita bersatu mempertahankan Islam.

Monday, July 24, 2006

AQ Musim Pertama Hampir Ke Kemuncaknya

Tanggal 27 Julai 2006 bakal mencatat sejarah setelah rancangan realiti TV berbentuk keagamaan, Akademi Al-Quran (AQ) musim pertama terbitan TV9 sampai ke kemuncaknya dalam pencarian qari/qariah terbaik tanah air. Ianya akan dilangsungkan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam jam 08:30 malam.
Setelah melalui perit jerih perjuangan, penjurian dan pentarbiyahan yang ketat, 6 peserta telah terpilih ke peringkat akhir walaupun di peringkat awalnya hanya 3 peserta sahaja yang dirancang bersaing di peringkat akhir. Menariknya kesemua peserta rata-rata mendapat pendidikan membaca Al-Quran secara formal samada dari para ilmuan di maahad tahfiz, universiti mahupun dari ibu bapa yang diiktiraf kepakaran mereka dalam pengajian Al-Quran. Nampaknya mereka yang sekadar mampu membaca dengan baik tetapi tidak mendalami ilmu qiraat dan tarannum tersingkir sedari awal lagi.
Yang lebih menariknya hanya seorang sahaja peserta wanita yang berjaya ke peringkat akhir, sekuntum bunga di kalangan 5 kumbang. Beliau adalah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman berusia 24 tahun, pelajar jurusan kewangan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang belajar membaca Al-Quran dari bapanya dan menjadi peserta qariah dalam Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan selama lima tahun termasuk tahun ini. Lima lagi finalis adalah Abdullah Fahmi Abdullah, 22, Amirahman Abas, 24, Anuar Hasin, 22, Azraie Abdul Hak, 25, dan Mohd. Shukri Ali, 24.
Kita tunggu 27hb... siapakah antara mereka berenam yang bakal bergelar juara. Hadiahnya agak lumayan, tempat pertama wang tunai berjumlah RM30,000 serta pakej mengerjakan umrah, tempat kedua wang tunai RM20,000 manakala tempat ketiga pula akan menerima RM10,000.
Sedia maklum, Sdr Abdullah Fahmi telah berjaya mengatasi pesert-peserta lain & dengar khabar akan berangkat menyambung pelajaran ke Asia Barat dalam masa terdekat. Tahniah. Sememangnya beliau adalah calon favourite aku kerana caranya yang low profile.
Akan tetapi bukan itu yang seharusnya menjadi matlamat... ikhlaskan hati, pemartabatan Al-Quran sebagai kalam Allah SWT itulah yang sepatutnya diutamakan. Moga dengannya terbuka hati setiap insan berugama Islam untuk mendalami ilmu Al-Quran serta mengamalkan suruhannya. Moga yang mempunyai niat yang baik bakal menjuarainya.
8) Cemerlang Islam dan Umatnya Dengan Al-Quran

Israel Makin Melampau

Hanya Tinggal Kubah... Serangan udara Israel memusnahkan bangunan Fatima al-Zahra yang terdiri daripada sebuah perpustakaan, sekolah dan masjid di bandar Sidon, selatan Lebanon semalam.
Yahudi Israel dengan sokongan Amerika semakin menonjolkan sikap bongkaknya ke atas Lubnan dengan berleluasa melanggar undang-undang kemanusiaan sewaktu peperangan. Rumah-rumah penduduk awam malah masjid dibedil dan dibom hampir setiap malam. Semalam telah masuk hari ke-13 serangan membabi-buta dilakukan oleh rejim pengganas Israel atas alasan yang amat dangkal, kononnya memberi tekanan ke atas Hizbullah agar membebaskan 2 askarnya yang ditawan tetapi rakyat awam kini telah mencecah hampir 400 orang telah dibunuh tanpa belas kasihan.
Amerika yang sentiasa mendabik dada sebagai polis antarabangsa yang kononnya berfungsi menjaga keamanan dunia dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa vetonya atas cadangan Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan gencatan senjata bagi mengatasi konflik di Asia Barat tersebut. Tindakan ini sekaligus memberi ruang Israel melanjutkan serangan sekurang-kurangnya seminggu lagi. Beberapa hari yang lalu tentera Israel telah melintasi sempadan Lubnan dan tidak mustahil Lubnan akan cuba ditawan atas alasan melumpuhkan penentangan "pengganas" Hizbullah yang mempertahankan negaranya (adakah itu definisi pengganas?).
Dikebanyakan negara termasuk juga di Amerika, Australia, Britain dan juga di Malaysia, berbondong-bondong rakyat keluar ke jalan raya meluahkan bantahan di atas kekejaman Israel. Lihatlah... mereka yang berlainan kepercayaan dan agama pun nampak jelas akan kezaliman yang dicetuskan oleh Israel tapi malangnya negara-negara Arab sendiri (lebih dikenali negara (umat) Islam) bertelagah dalam memberikan sokongan mereka malah ada yang menyalahkan Hizbullah. Malang sungguh umat Islam mempunyai pemimpin seumpamanya.
Kini Syria telah memberi amaran, sekiranya Israel menghampiri negaranya, mereka akan bertindak menyerang balas. Begitu juga Iran, sebuah negara yang amat lantang bersuara menentang Israel dan sekutu-sekutunya sedari awal lagi telah mengeluarkan amaran yang serupa, sekiranya Syria diserang, maka Israel akan menerima padahnya. Tabik hormat untuk kedua-dua negara ini yang betul bersifat anak jantan berbanding lain-lain negara yang nampak bacul dan pengecut.
Mengikut sejarah, pernah seorang wanita Islam dimalukan di sebuah pasar oleh seorang kafir. Perlakuan ini telah sampai ke pengetahuan seorang penguasa Islam, tanpa berlengah lagi terus menghantar pasukan tentera menyerang negeri berkenaan. Begitulah tingginya kehormatan umat Islam di dalam Islam.
Nah... jika begitu keadaannya, apakah sumbangan kita seorang insan yang mengaku beragama Islam ke atas umat Islam yang dimalu dan dihina di bumi Lubnan, Palestine dan Gaza dan juga di negara-negara lainnya, antaranya Iraq, Kashmir, Afghanistan, Guantanamo Bay, Chennya dan Selatan Thailand (sekadar beberapa negara) ? Tanamlah dalam sanubari kita, kita mampu membantunya. Jika tiada daya dengan tenaga menggalas senjata, cukuplah mengikut kemampuan kita... menyertai perarakan aman, memboikot barangan (dan cara hidup) Barat, sumbangan wang ringgit ataupun sebaris doa yang ikhlas dan penuh pengharapan moga umat Islam di mana jua dikurniakan kekuatan dan kemenangan.
8) Ya Allah, menangkanlah Islam dan umat Islam. Amiin.

Friday, July 21, 2006

Datuk Baru Di Era Baru

Di Malaysia terdapat 13 negeri, saban tahun Sultan dan Yang Dipertuan Besar akan mempunyai slot penganugerahan pingat kebesaran kepada yang terpilih sewaktu Hari Keputeraan mereka. Antara yang menjadi idaman adalah sekurang-kurangnya darjah Datuk.
Semalam adalah Hari Keputeraan Al-Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang ke-44. Terdapat 2 perkara menarik :-
1. Tiada pemimpin pembangkang dianugerhi Datuk
Fenomena ini tak seperti sewaktu pemerintahan PAS dahulu, pemimpin UMNO masih ada disenaraikan terutama di kalangan ADUN. Kenapa perlu ada double standard ? Adakah pemilihan ini atas pilihan Sultan (dan Majlis Diraja) sendiri atau senarainya ditentukan oleh Menteri Besar? Entah le...
2. Jean Todt dianugerahi Datuk
Jean Todt, 58 tahun, pengurus pasukan F1 Ferrari yang mempunyai hubungan intim dengan bintang filem dunia kerakyatan Malaysia, Datuk Michele Yeoh dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk. Berita ini tidaklah menghairankan jika kita tahu apa kisah disebaliknya. Secara ringkas, MB Terengganu, Datuk Idris Jusoh dikatakan amat rapat dengan Todt dan telah kerap menjemput dan menaja beliau datang ke Terengganu, kononnya tak secara langsung meningkatkan industri pelancongan tempatan sebagai duta pelancongan. Yang menariknya, Todt berhasrat menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya dan ini terbukti dengan pengumumannya untuk membina 2 buah rumah di Terengganu, salah sebuah sedang rancak dibina di Kelab Teluk Warisan, Pulau Duyung. Alangkah mudahnya orang luar yang kaya raya mendapat tanah di pulau tradisi yang rata-rata penduduknya berpendapatan sederhana, pulak tu dianugerahi gelaran Datuk. Alahai...
Dalam hal penganugerahan pingat ini, suka aku bagi pandangan sikit... Sultan dan Ahli Majlis Penganugerahan Diraja sepatutnya mempunyai kuasa penuh dalam pemilihan dan MB hanya sekadar salah seorang dari ahli majlis sahaja. Disamping itu kuota pingat yang membawa anugerah juga perlu dihadkan kepada mereka yang mempunyai prestasi kerja yang sedia terserlah dan dibanggakan di peringkat negeri, bukannya didominasi oleh ahli-ahli politik dan ketua-ketua agensi kerajaan yang muncul bagaikan cendawan selepas hujan dan adakalanya mempunyai track record yang meragukan. Malah tidak menghairankan sering terdengar, cukup mudah untuk mendapatkan title Datuk kiranya berduit. Akhirnya pingat Datuk (juga Tan Sri) menjadikan ianya tidak dihormati dan tidak terkejut kiranya di suatu hari nanti tiada nilainya di mata masyarakat kerana yang bergelar Datuk dah bersepah di merata tempat.
8) Datuk bercucu lebih dihormati

Wednesday, July 19, 2006

Rogol Isteri - Penjara 5 Tahun

Berikut adalah sedutan Berita Harian semalam tentang pindaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan yang menyentuh soal penderaan ke atas isteri kiranya permintaan hubungan intim mengakibatkan stress samada secara fizikal atau mental. Ada pro dan kontranya di sini. Kenapa kita tidak merujuk sahaja ketetapan yang telah digariskan dalam Islam dalam bab hubungan antara suami dan isteri - tak perlulah diperincikan, dibimbangi membuka ruang kepada pihak yang memusuhi Islam atas nama hak-hak asasi atau liberalisme.
KUALA LUMPUR 18 Julai – Seorang suami yang mencederakan isterinya, walaupun hanya dari segi mental, termasuk menyebabkan stress atau tekanan, bagi mendapatkan hubungan seks, boleh didakwa dan dipenjara tidak melebihi lima tahun.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata tindakan terhadap suami itu boleh diambil mengikut Seksyen 375A iaitu satu seksyen baru yang diperkenalkan dalam Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004.
“Peruntukan ini menitik beratkan kecederaan yang dialami oleh isteri akibat perbuatan suaminya...ia lebih mudah dibuktikan berbanding dengan marital rape atau hubungan seksual suami isteri tanpa kerelaan.
“Kesan kesalahan ini serupa dengan marital rape...hanya di sini ditekankan kecederaan terhadap isteri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004, pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Seksyen itu menyebut jika seorang suami melakukan kecederaan pada isterinya atau meletakkan isterinya atau orang lain dalam ketakutan kematian atau kecederaan dengan tujuan mengadakan hubungan seks, dia melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.
Beliau berkata peruntukan itu adalah satu peruntukan yang unik dan tidak terdapat di mana-mana negara lain dan ia tidak bertentangan dengan mana-mana prinsip agama, budaya dan kepercayaan rakyat di negara ini. Beliau berkata kesalahan itu dimasukkan dalam kategori yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat kerana perbuatan itu merupakan kesalahan serius kerana ia bertujuan menimbulkan kesakitan dan kecederaan mangsa.
Mengenai deskripsi rogol yang baru mengikut Seksyen 375 iaitu mendapat keizinan dengan menggunakan kuasanya terhadap seorang wanita seperti antara majikan dan pekerja wanita, Radzi berkata ia menjadi satu kesalahan jika membabitkan penyalahgunaan kuasa. Beliau berkata setiap kes yang dilaporkan akan hanya didakwa jika terdapat bukti-bukti kukuh dan pihak pendakwa perlu membuktikan bahawa perhubungan seks antara majikan dan pekerja itu disebabkan kuasa.
8) Moga bermanafaat untuk semua

Tuesday, July 18, 2006

LRT - Pengalaman & Pemandangan

STAR LRT dan PUTRA LRT adalah 2 perkhidmatan keretapi moden yang telah mendominasi kebanyakan laluan utama di Lembah Klang menjadi pengangkutan awam alternatif kepada pengangkutan awam konservatif (bas, teksi dan kereta). Lain-lain perkhidmatan seumpamanya adalah KL Monorail yang hanya bergerak di tengah Bandaraya Kuala Lumpur dari Titiwangsa ke KL Sentral, KTM Komuter menggantikan keretapi lama dari Rawang hingga ke Port Klang dan Seremban, serta ERL yang cuma menyambungkan KLIA dengan KL Sentral.
STAR LRT mula beroperasi September 1998 yang menyambungkan Jln Sultan Ismail ke Sri Petaling dan juga dari Jln Sultan Ismail ke Sentul Timur pada Disember 1998 merangkumi jarak 27 km dengan 25 stesyen keseluruhannya. Manakala PUTRA LRT pula mula beroperasi September 1998 dari Subang Depot hingga ke Pasar Seni dan pada Jun 1999 dari Pasar Seni ke Gombak, merangkumi jarak 29 km dengan 24 stesyen. Pada akhir tahun 2004, kedua-dua LRT ini telah diambil alih kerajaan (kerana mengalami kerugian) dan diletakkan di bawah syarikat kerajaan (GLC), Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RAPID KL)bersama-sama dengan perkhidmatan Rapid Bus, dulunya Intra Kota dan City Liner.
STAR Line kini dikenali dengan Ampang Line dan Sri Petaling Line, manakala PUTRA Line pula dikenali dengan Kelana Jaya Line.
Dalam seminggu dua ni aku berkesempatan menggunakan kedua-dua perkhidmatan ini kerana kebetulan ada urusan di Jln Sultan, Petaling Jaya dan sekitar tengah bandaraya KL. Untuk urusan di Jln Sultan (Life Care Diagnosis S/B - online medical check up untuk isteri dan Imran yang akan ke Adelaide), kami letak kereta di Stesyen LRT Setiawangsa (tol : RM2.00) & menaiki LRT (Putra) ke Taman Jaya, PJ, tambangnya RM4.90 (2-way/head). Waktu tu jam 1:00 t/hari, orang tak ramai, dapatlah tempat duduk. Sebelum tiba di setiap stesyen, dengan jelas dimaklumkan "Stesyen Berikutnya/ Next Station ..." yang diumumkan secara elektronik. Solehah yang turut serta amat seronok sekali, mungkin selepas ini kena bawa anak-anak yang lain merasainya. Sampai di Ampang Park, LRT mula melalui terowong bawah tanah melalui KLCC, Kg Baru dan muncul di Masjid Jamek dan terus melalui rel atas sehinggalah kami turun di Stesyen Taman Jaya, mengambil masa kira2 30 minit.
Sewaktu balik dari Taman Jaya, waktu menunjukkan jam 06:00 petang, penumpang LRT padat tetapi masih ada yang berhemah memberikan tempat duduk kepadaku yang sedang mendukung Imran. Terima kasih, Brother. Dari pemerhatianku, di setiap stesyen kebanyakkannya ramai yang sedang menunggu LRT tetapi dalam keadaan penuh sopan berbaris mengikut giliran terutama di Masjid Jamek dan KLCC. Jika tak dapat naik tunggulah LRT berikutnya kira-kira 10 minit lagi. Kami tiba di Stesyen Setiawangsa kira2 jam 06:30 petang, terus pulang ke rumah.
Minggu berikutnya aku dan isteri berjanji berjumpa di Stesyen Masjid Jamek untuk urusan pengesahan dokumen oleh Oath Commisioner. Aku keluar dari pejabat jam 12:00 t/hari terus ke Stesyen Bukit Jalil (STAR). Platform menunggu agak lenggang, mungkin kerana waktu tengahari dan kedudukan stesyen yang kedua hujung sebelum Terminal Sri Petaling. Menunggu kira2 15 minit, di dalam LRT agak lenggang dan agak mudah mendapat tempat. Sempat berbual2 dengan seorang eksekutif RAPID KL yang mempunyai kenalan di MIMOS Berhad. Pemandangan luar agak menarik dengan pepohonan menghijau dan rumah-rumah kampung, seterusnya memasuki persekitaran bandar di Salak Selatan sehinggalah tiba di Masjid Jamek. Pengumuman setiap stesyen agak perlahan dan tidak jelas, dilakukan secara manual oleh pemandu. Rasanya pihak RAPID KL perlu buat perubahan menyamai konsep PUTRA Line.
Selepas urusan, kira2 jam 03:30 petang, aku dan isteri menaiki LRT bersama menuju ke destanasi masing2 iaitu aku perlu turun di Stesyen Bukit Jalil, manakala isteriku di Stesyen Cheras untuk ke HUKM. Tempat duduk semuanya penuh, terpaksalah kami berdiri sambil berbual dan melihat pemandangan luar. Tak disangka kami terlajak hingga ke Stesyen Maluri yang mana LRT akan terus menuju ke Sentul Timur, kami sepatutnya turun transit di Stesyen Chan Sow Lin, seterusnya menaiki LRT ke Sri Petaling. Itulah ghalib sangat pulak tu pengumuman yang dilakukan tidak disedari kerana tidak jelas. Nasib baik kami dibenarkan berpindah platform ke Chan Sow Lin - terima kasih. Isteriku turun di Stesyen Cheras dan aku terus ke Stesyen Bukit Jalil.
Hujung minggu baru2 ini (Ahad) kami sempat menbawa anak-anak menaiki LRT dari Stesyen Jelatek ke Masjid Jamek kerana ada hal di Sarafalina's Winter Shop di Jln Tunku Abdul Rahman. Kami menaiki LRT kira2 jam 02:30 petang dan tiba di Stesyen Masjid Jamek kira2 20 minit selepasnya. Anak-anak tampak agak seronok. Itulah pengalaman baru mereka.
Begitulah sedikit sebanyak pengalamanku menaiki LRT RAPID KL - taklah susah sangat tapi kena tahu dan beringat di mana nak turun, dengan kata lain tahu arah perjalanannya. Dengan perjalanan yang lancar dan cepat, tak hairanlah tempat letak kereta di kebanyakan tempat penuh terutama dari tempat luar bandar menuju ke pusat bandar KL.
8) Seronok dan menjimatkan

Tsunami Melanda Selatan Pulau Jawa

Tsunami datang lagi. Petang semalam (17/06/2006) Pantai Pangadaran di daerah Ciamis, Jawa Barat dan Pantai Petanahan di Cilacap, daerah Kabumen, Jawa Tengah tiba-tiba dilanda gelombang setinggi 2 - 4 meter menjangkau 200 - 400 meter ke daratan. Banyak rumah, gerai dan bangunan rosak dan diseret ombak menyebabkan ribuan penduduk panik dan melarikan diri ke tempat tinggi dan masjid untuk menyelamatkan diri. Jangkaan awal seramai 86 orang terkorban dan ratusan lagi dikhuatiri hilang diseret gelombang. Angka ini biasanya akan bertambah apabila operasi menyelamat dimulakan.
18/07 > 340 terkorban - 160 hilang - 600 cedera - 52,700 hilang kediaman
19/07 > 550 terkorban - 275 hilang - 544 hilang kediaman
23/07 > 596 terkorban
Sebanyak 3 gempa bumi di dasar Lautan Hindi dikesan dalam masa sejam, berpusat kira-kira 620 kilometer di selatan Bandung. Menurut Badan Meteorologi Geofizik (BMG), gempa pertama berkekuatan 6.8 skala Richter berlaku pukul 3.19 petang (4.19 petang waktu Malaysia) diikuti gempa kedua pukul 4.18 petang (5.5 skala Richter) dan ketiga pada pukul 4.19 petang (6.1 skala Richter). Gempa bumi selama 30 saat itu juga menggoncang Jakarta, Bandung, Ciamis, Sukabumi dan sebahagian bandar di bahagian selatan Jawa Barat dan Jawa Tengah serta dirasai hingga ke Surabaya di Jawa Timur.
Agensi Gempa Bumi Amerika Syarikat memaklumkan gempa pertama berukuran 7.2 skala Ritchter dan ada juga laporan mengatakan 7.7 skala Richter. Pusat Amaran Tsunami Pasifik dan Agensi Gempa Bumi Jepun telah pun memaklumkan 45 minit lebih awal akan kemungkinan Tsunami besar di Jawa Barat tetapi sistem amaran awal masih belum dipasang di kawasan berkenaan, hanya dimaklumkan dari mulut ke mulut.
Pemandangan kesan kerosakan akibat Tsunami di Pantai Pangadaran, Jawa Barat - Reuters.
Indonesia pernah dilanda beberapa tragedi yang menyayat hati sebelum ini, antaranya :-
- 26-Dis-2004 : Tsunami yang dahsyat berpunca dari gempa bumi 9.15 skala Ritchter di Aceh Barat yang mengorbankan kira-kira 170,000 orang atau 230,000 orang di keseluruhan rantau Lautan Hindi tersebut.
- 28-Mac-2005 : Gempa bumi 8.7 skala Ritchter di Gunungsitoli, Nias, Sumatera Barat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang .
- 27-Mei-2006 : Tanah Runtuh akibat gempa bumi sekuat 6.2 skala Richter telah meranapkan ribuan rumah di Daerah Istimewa Yogyakarta dan sebahagian Jawa Tengah mengorbankan lebih 5,000 orang (Ianya berlaku dalam keresahan penduduk menunggu Gunung Merapi memuntahkan larvanya).
Kesan tragedi-tragedi berkenaan amat menyayat hati, sehingga kini kesan trauma dan penderitaan penduduk yang mengalaminya serta kerosakan infrastrukturnya masih jelas kelihatan.
Sementara itu, Bahagian Seismologi, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Malaysia yang memantau perkembangan itu, mengeluarkan kenyataan yang dikemas kini setiap 30 minit memberitahu, ‘‘Oleh kerana gempa bumi dan gegaran susulannya adalah agak jauh dari Malaysia (lebih 1,000 kilometer), gegaran-gegaran itu tiada kesan kepada infrastruktur di Malaysia.’’ Sehingga 9.45 malam 17/06/2006, bahagian itu mencatatkan sembilan gegaran susulan berskala 4.6 ke 6 Richter di selatan Pulau Jawa.
Dari pelbagai bencana yang berlaku, apakah tiada petunjuk atau isyarat dari Allah SWT yang boleh dibaca atau adakah ianya sekadar bencana alam yang berlaku tanpa kaitan dengan Allah SWT. Sebagai orang Islam, seharusnyalah kita berfikir berpandukan iman - setiap yang berlaku ada hikmahnya dan tidak terjadinya sesuatu itu tanpa sebab-musababnya. Tidak mustahil ianya adalah isyarat dari Allah SWT yang mentadbir alam ini, mungkin bumi dalam kepanasan dengan pelbagai maksiat dan kedurjanaan yang bermaharajalela, malah lebih menyedihkan kesyumulan Islam sendiri mula dipertikaikan oleh insan yang mengaku Islam.
20/07 - Diberitakan ratusan gerai, cafe dan warung yang menyediakan perkhidmatan seks dan arak habis disapu gelombang tsunami. Mungkin itulah amaran dari Allah SWT.
23/07 - Ajaibnya, 2 masjid yang berada kira-kira 100 meter dari pantai masih tegak sedangkan rumah dan gerai di sekitarnya habis ranap dilanda tsunami. Begitu juga anak kecil berusia 2 hari terdampar di atas longgokan sampah dengan sedikit cedera di dahi dan pelipis - ianya dinamakan Sarah Tsunami - sarah dlm bhs Sunda bernaksud sampah. Allahuakbar.
24/07 - Penjaga Taman Wisata Alam dan Cagar Alam Pagandaran di Pantai Timur menyedari tiada seekor pun binatang berkeliaran di tempat2 rendah, kesemuanya berada di tanah tinggi seawal tengaharinya - tiada binatang cedera sedangkan penjaganya ramai tercedera. Terdapat 150 ekor rusa dan 5 kelompok monyet yang sering bermain2 di kawasan rendah.
8) Allah Maha Besar...
p/s. Sumber BMG - Pusat gempa terletak pada 9.41 di garis Lintang Selatan dan 107.19 Bujur Timur berada di Selatan Pulau Jawa dan berlaku pada kedalaman 33 kilometer di dasar laut.
20/07 - Pakar geologi menjangkakan gempa lebih besar melebihi 8.0 pada skala Ritchter mungkin akan berlaku di kawasan yang sama dalam masa terdekat. Ini kerana proses gelinciran pelantar bumi masih berlaku sehingga bertemu dengan titik keseimbangan. Hujung gelincirin kini berada 200 km di bawah Pelabuhan Ratu, selatan Pulau Jawa.
23/07 - Gempa sekuat 6.6 pada skala Ritchter mengegarkan pantai utara Pulau Sulawesi kira2 jam 3.32 petang tapi tiada tsunami.

Monday, July 17, 2006

Sah... Siti dan Datuk K

Siti dan Datuk K tampak ceria sewaktu sidang akhbar di Hotel Zon On The Park - Foto Berita Harian.
Begitulah berita terkini yang telah disiarkan secara langsung oleh TV3 dan RTM serta Radio HotFM tengahari tadi. Termaktub dalam Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS) buat pertama kali pengisytiharan dilakukan secara langsung, tak pernah dibuat dek orang. Ye... le... nak kata apa... kalau dah cerita selebriti no. 1 tanah air pasti disensasikan, itukan sumber berita...
Sidang akhbar yang diadakan di Hotel Zon On The Park, Jln Ampang, Kuala Lumpur yang mana Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) adalah salah seorang daripada ahli Lembaga Pengarahnya turut dihadiri oleh ibu-bapa Siti serta ibu dan anak ketiga Datuk K berusia 14 tahun. Menurut perancangannya, mereka akan diakad-nikahkan selepas solat Zohor pada Isnin 21 Ogos ini (bersamaan Ma'al Hijrah) di Masjid Wilayah Persekutuan, diikuti majlis persandingannya pada hari Isnin minggu berikutnya, 28 Ogos (ulangtahun ke-38 ibu-bapa Siti) bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Dengan pengumuman ini, maka tamatlah pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka berdua yang dikatakan bermula selepas konsert solo Siti di Royal Albert Hall di London pada April 2005. Ramai peminat Siti yang merasa kecewa kerana memilih pasangan yang agak berusia, 20 tahun lebih tua dan berstatus duda pula. Tak kisah le, Siti... semuanya itu ketentuan Illahi. Yang penting, moga itu pilihan yang terbaik yang dilakukan (dengan izinNya).
Kita tunggu pula akan janji Siti untuk mengubah penampilan dari tidak bertudung kepada bertudung selepas berkahwin. Sebaiknya Siti meninggalkan terus bidang nyanyian dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada suami.
8) Moga bahagia selamanya. Amiin.

Friday, July 14, 2006

Isu Serban - Analogi dan Sensasi Keterlaluan

Tanggal 12/07/2006 mencetuskan kegusaran di hati melihat Islam dan RasuluLlah saw sebegitu mudah dipermainkan oleh mereka yang jahil. Pada hari berkenaan, hakim Mahkamah Persekutuan telah memutuskan tindakan guru besar SK Felda Serting memberhentikan 3 pelajar sekolah berkenaan yang enggan menanggalkan serban di waktu persekolahan pada tahun 1997 melalui Peraturan Sekolah 1997 adalah tidak melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dalam bab kebebasan mengamalkan agama masing-masing.
Pada dasarnya saya bersetuju dengan keputusan hakim berkenaan kerana peraturan tersebut hanya melibatkan waktu persekolahan sahaja, boleh dipakai waktu solat atau selepas waktu persekolahan. Tambahan pula kedudukan hukumnya adalah sunat sahaja, berpahala jika memakainya (atas niat yang suci) dan tidak berdosa kiranya ditinggalkan. Mengambil kira soal suasana dan persekitaran sekolah bercirikan kebangsaan, maka tindakan guru besar berkenaan dianggap betul, molek lagi jika dibenarkan sahaja kerana tiada impak ke atas sistem pembelajaran.
Dalam hal ini terdapat 2 perkara yang nak ditekankan, pertamanya, butiran hujah penghakiman Datuk Abdul Hamid Mohamad yang menggunakan analogi yang agak keterlaluan lebih-lebih lagi mengaitkannya dengan RasuluLlah saw. Dan keduanya sensasi media massa (terutama akhbar) yang juga agak keterlaluan seolah-olah ianya isu yang amat besar dengan nada yang kurang enak dibaca.
Utusan Malaysia melaporkan hujah hakim berkenaan, "Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi. Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda?"
Beliau berhujah lagi, "Arab Jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah (saw) yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian".
Lihatlah betapa dangkalnya analogi yang diutarakan oleh hakim semata-mata untuk membenar dan mengukuhkan hujah penghakiman beliau sehingga sanggup merendah-rendahkan martabat RasuluLlah saw. Itulah jadinya bila menggunakan logik akal tanpa meletakkan asas agama sebagai paksinya. Pesan orang-orang alim (betulkan saya jika ianya salah - moga dijauhkan Allah) - setiap perkataan, perbuatan dan perlakuan RasuluLlah saw adalah bayangan Al-Quran. Jadi usahlah kita persoalkan sunnahnya walaupun ianya telah ketinggalan zaman. Mana yang boleh dipraktikkan, laksanakanlah dengan penuh ikhlas dengan mengharapkan redhaNya dan jika tidak berkemampuan, cukuplah sekadar diam sahaja.
Dari sudut pemberitaan pula, nampaknya kesemua akhbar utama menjadikan ianya berita utama iaitu di muka hadapan dengan pelbagai tajuk yang adakalanya mengundang maksud yang kurang baik. Dimengertikan cara penyiaran sedemikian seolah-olah satu konspirasi untuk merendah-rendahkan nilai-nilai murni dalam Islam sehingga tersasar dari isu sebenar iaitu soal berserban di sekolah, contohnya tajuk berita dari The Star, Islam is not about turban and beard. Dimanakah rasionalnya, sedangkan masih banyak isu-isu sejagat lain yang boleh diketengahkan.
Justeru itu, diharapkan para hakim dan juga mereka yang tiada asas dan pengetahuan tentang Islam, usahlah pandai-pandai mengeluarkan pandangan dan pendapat kerana di dalam Islam jelas meletakkan martabat keilmuan itulah paling diutamakan. Kiranya bicara kita tentang Islam dalam keadaan jahil walaupun butir bicara itu menepati ketetapan hukum Islam, maka ianya dianggap berdosa. Moga-moga dijauhi Allah. Amiin.
8) Indahnya Islam jika dipraktikkan

Rakyat Malaysia Pengotor

Beberapa minggu lalu rakyat Malaysia (khususnya di kota raya Kuala Lumpur) menyingga di atas laporan negatif Reader's Digest kononnya warga KL adalah antara yang paling "tak baik hati/ biadap" setelah berada di tempat ke-32 dari 35 kota raya yang dilakukan "polite test". Kelmarin satu lagi laporan negatif melibatkan rakyat Malaysia di mana dikatakan tidak tahu membasuh tangan dengan betul atau dengan kata lain rakyat Malaysia agak pengotor. Kajian terbaru ini dilakukan oleh Hygiene Council ke atas lebih 1,000 responden di seluruh negara.
Prof. John Oxford dari Queen Mary‘s School of Medicine and Dentistry London yang menjalankan kajian tersebut berkata, kebanyakan rakyat Malaysia membasuh tangan secara ala kadar sahaja.
‘‘Kebanyakan mereka membasuh tangan kerana prosedur. Jika mereka memahami tangan yang bersih dapat mencegah penyebaran penyakit, tentunya tabiat membasuh tangan dengan betul dapat diterapkan secara efektif,” katanya.
Berikut adalah butiran dari kajian tersebut :-
- 30% bersetuju membasuh tangan boleh mencegah penyebaran kuman.
- 34% mengakui tidak membasuh tangan dengan betul sebelum dan selepas makan.
- 29% mengakui tidak membasuh tangan selepas ke tandas.
- 18% mengakui tidak membasuh tangan selepas bersin atau batuk.
Susulan daripadanya pelbagai pihak telah ditanya dan yang pasti ramai yang tidak bersetuju. Masing-masing mengutarakan pandangan dan pendapat masing2 tetapi dari pemerhatian sepintas lalu, kebanyakannya menjawab dalam skop yang amat terhad dan menyimpang dari isu sebenar, seolah-olah ada benarnya hasil kajian tersebut. Sehingga saat ini masih belum kedengaran ulasan dari pihak pemimpin dan Kementerian Kesihatan sendiri, agaknya mereka bersetuju...8)
Tinggalkan segala prasangka buruk dan rasa emosi, cuba lihat di sekeliling kita dan pada diri kita sendiri. Adakah kita amat berdisiplin dalam membasuh tangan dan adakah kaedah yang kita praktikkan adalah betul? Jawablah secara jujur... Secara peribadi rata-rata daripada kita kurang memberi perhatian terhadapnya malah sering mengabaikannnya. Sekiranya kita membasuh tangan pun cukup sekadar gosok-gosok sahaja ataupun adakalanya sekadar menjiruskan air ke tangan sahaja. Kita sebagai umat Islam sepatutnya terkehadapan dalam soal penjagaan kebersihan ini selari dengan penekanan yang ada di dalam Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
Menurut Prof. Oxford, "Pelbagai jenis virus merebak dengan mudah melalui sentuhan seperti influenza yang menyebabkan penyakit selesema, Hepatitis A (radang hati), jangkitan usus dan cirit-birit. Kesemua virus ini, mudah tersebar melalui tangan yang tercemar. Untuk mengelakkan jangkitan, perkara asas boleh dilakukan ialah cuci tangan anda dengan bersih,” Tambah beliau lagi, "Sikap buruk rakyat Malaysia ini akhirnya akan membawa padah".
8) Bersih dalam, Insya Allah akan bersih luarnya.

Israel Mengganas di Beirut

Tentera Yahudi Israel mengganas lagi, selepas Semenanjung Gaza kini Beirut, Lubnan pula yang diserang bertubi-tubi menggunakan kereta kebal dan jet-jet pejuang. Diberitakan lebih 50 orang telah terkorban termasuk 15 kanak-kanak dan lebih 100 orang tercedera. Lapangan terbang Rafik Hariri, lebih 20 jambatan dan stesyen televisyem al-Manar milik Hizbullah telah dibedil teruk menyebabkan beberapa orang terkorban. Pejuang Hizbullah membalasnya dengan 60 serangan roket ke utara Israel mengakibatkan 2 orang penduduk Yahudi terkorban dan puluhan pula tercedera.
Sehingga hari ke-7 (18/06/2006) - 230 terkorban di Lubnan, majoritinya penduduk awam. Semalam sahaja meragut 26 penduduk Lubnan. Manakala 24 Yahudi terkorban di Israel, 12 daripadanya penduduk awam. Israel bertekad meluaskan serangan melalui darat dengan kerahan tenaga askar simpanannya. PBB pula sering menangguhkan usaha gencatan senjata segera, kononnya mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang, secara tak langsung memberi ruang dan peluang lebih luas untuk Israel bermaharajalela.
Serangan ke atas Beirut atas alasan sebagai tindakan balas pembunuhan 8 askar Yahudi dan penawanan 2 orang tenteranya kelmarin. Malah Israel juga meletakkan matlamat membunuh pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah. Seperti lazimnya, dunia mengutuknya tapi dengan nada yang berbeza. Perancis dan Russia menyalahkan Israel kerana menyemarakkan konflik tersebut. Manakala PBB, USA, Britain, Jepun dan EU menyalahkan Hizbullah yang memulakannya. Liga Arab pula baru nak adakan perbincangan. OIC... entah le.
Amat memilukan hati. Di mana-mana sahaja umat Islam ditindas tanpa pembelaan sewajarnya dari negara-negara umat Islam lain. Nak mengharapkan PBB atau negara kuasa besar lain jangan haraplah. Walaupun dalam banyak kes, Russia, Perancis, China dan Jerman sering tidak sependapat dengan negara-negara kuasa besar lain tetapi semuanya itu atas kepentingan tersendiri. Sekiranya diletakkan Islam di hadapan pasti mereka akan bersatu menentangnya.
Justeru itu yang tinggal hanyalah perpaduan/ solidariti umat Islam di seluruh dunia. Bak kata Rasulullah saw, umat Islam di akhir zaman ibarat buih di lautan, hanyut mengikut bawaan arus dan ombak. Akan tetapi Rasulullah saw juga berpesan agar umat Islam berpegang akan 2 tinggalannya, Al-Quran dan As-Sunnah, Insya Allah kita semua akan selamat.
Kesimpulannya penindasan ke atas umat Islam kini samada di Palestine, Lubnan, Iraq, Afghanistan, Chennya, Kashmir, Filipina, Selatan Thai (sekadar beberapa contoh) mahupun di bumi Malaysia hanya mampu dibendung dan kembali dihormati seperti di zaman keagungan tamadun Islam dengan kesatuan ummah yang berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Walaupun kita jauh dari medan konflik, kita masih ada senjata yang lebih ampuh, berdoalah pada Allah (SWT) moga Islam dan umat Islam dikurniakan kejayaan dan kafirin serta munafikin dikurniakan kehinaan dan kekalahan. Yakinlah bahawa Allah (SWT) Maha Berkuasa... Sebagaimana tentera bergajah Abrahah dihancurkan, begitulah juga diharapkan ke atas Yahudi Israel.
8( Ya Allah, pertolonganMu yang kudambakan. Amiin.

Thursday, July 13, 2006

Yahudi Israel Mengganas di Palestin

Isu umat Islam di bumi Palestine yang sering ditindas oleh rejim Zionis Israel tidak pernah padam semenjak penaklukan Israel pada tahun 1948. Kekejaman Yahudi Israel ini menyaksikan kebangkitan Intifadah yang maha hebat dari rakyat Palestine yang mana telah ribuan nyawa melayang kerananya. Peristiwa pembunuhan di perkhemahan Shabra dan Shatila serta peristiwa Dier Yasser terus segar di ingatan rakyat Palestine. Ramai pemimpin-pemimpin utama kebangkitan rakyat telah gugur syahid, antaranya As-Syahid Sheikh Yassin (ulama buta yang lumpuh) dan As-Syahid Ar-Ranniri.
Setelah kerajaan di bawah parti Nasionalis Fatah dikalahkan dalam pilihanraya tahun lepas oleh parti Islam Hamas, kerajaan Israel dan sekutunya, Amerika dan negara2 blok Barat secara terbuka tidak memperakuinya dan seterusnya membekukan sumber kewangan yang sepatutnya menjadi hak kerajaan yang memerintah Palestine. Israel sentiasa mencari jalan untuk memerangi umat Islam dan yang pasti berusaha membunuh saf kepimpinan kerajaan Hamas yang terkenal lantang memusuhi Israel, seterusnya melumpuhkan kerajaan Palestine.
Peluang ini tiba-tiba terserlah setelah seorang askarnya, Koperal Ghalit telah diculik oleh salah satu kumpulan pejuang kira-kira 2 minggu lalu. Atas alasan pembebasan seorang rakyatnya, hampir setiap hari Semenanjung Gaza dibedil dan diserang yang mengakibat puluhan nyawa awam terkorban dan ramai pemimpin dan pejuang Palestine yang ditawan. Lihatlah... betapa kejamnya Yahudi Israel. Benarlah apa yang difirmankan Allah (SWT) dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 mafhumnya,
"Tiada redha orang-orang Yahudi dan Nasrani ke atas kamu sehingga kamu mengikut agama/ jalan/ perancangan mereka..."
Seluruh dunia sekadar mengutuk termasuklah Setiausaha PBB, Kofi Annan serta OIC. Begitulah yang berlaku setiap kali keganasan dilancarkan oleh kafirin ke atas umat Islam, kemudian senyap menyepi. OIC sendiri nampaknya tidak berfungsi sebagaimana yang seharusnya dalam menanggani kemelut yang melanda umat Islam. OIC ibarat ayam jantan kampung, hanya gah berkokok di dalam reban tetapi kecut untuk masuk ke gelanggang. Lihatlah... apa yang terjadi sewaktu umat Islam Bosnia Herzegovina diperkosa dan dibunuh oleh regim Serbia sekitar tahun 1992-1993 dahulu, tidak banyak yang mampu dilakukan. Walaupun kebanyakan negara-negara OIC terdiri daripada negara yang kaya-raya tetapi pengecut dalam tindakan yang boleh menyusahkan mereka kerana mereka terikat dengan kuasa-kuasa kuffar yang menjadi tempat pergantungan. Benar juga apa yang dikatakan, OIC timbul hanya untuk bersidang sesuai dengan namanya Organisation of Islamic Conference.
8) OIC... Ooo I See

Wednesday, July 12, 2006

Suara Mufti Dipertikaikan

Itulah yang terjadi akhir-akhir ini. Minggu lepas, Mufti Perak, Sahibul Samahah Datuk Hj Harussani mengeluarkan 2 kenyataan tentang betapa parahnya umat Islam di Malaysia sekarang. Kenyataan tersebut bukannya sesedap mulut beliau sahaja tetapi berpandukan kajian sekumpulan profesional yang melakukan kajian terhadap masyarakat Islam dan sosial ekonomi mereka (buat sementara waktu beliau terpaksa rahsiakan untuk mengelakkan kajian-kajian lain yang berkaitan tergendala). Sebelum itu pun beliau pernah menyentuh 22 resolusi hasil Muzakarah Ulama 2006 di Ipoh termasuk isu kongsi raya, pluralisme, liberalisme dll, itupun dipertikaikan oleh banyak pihak termasuklah PM sendiri. Juga isu program Sure Heboh (kini Jom Heboh) tajaan TV3 yang dikatakan haram, juga dipertikaikan oleh para menteri dan pemimpin negara.
Kenyataan pertama - 100,000 orang Islam telah murtad
Isu murtad adalah isu lama yang kian membarah dalam masyarakat Islam di mana tiada peruntukan dalam Undang-undang Islam, apatah lagi dalam Undang-undang Sivil untuk mendakwa mereka. Masih segar dalam ingatan kita akan kes Aisyah Bukhari yang menganut Kristian, Harlina Kamaruddin bertukar kepada agama Hindu, orang Melayu yang berbondong2 ke Gereja Jln Gasing dan yang terbaru al-kisah Lina Joy dan "Ustazah" Kamariah (pengikut Ayah Pin) sedang hangat dibicarakan di mahkamah.
Sekiranya dibuka kitab-kitab berkaitan Aqidah, terdapat banyak sebab untuk menjadikan seseorang itu murtad sekiranya dilakukan dengan sengaja/ dalam keadaan sedar samada melalui perkataan, perbuatan dan i'tikad, antaranya dalam perlaksanaan kewajiban kepada Allah atau ketetapan yang telah ditetapkanNya. Adakah ini juga termasuk dalam 100,000 orang Islam yang dikatakan oleh Datuk Mufti?
Kenyataan kedua - RM4 billion dibelanjakan untuk arak (RM 1 billion) dan judi (RM 3 billion)
Kenyataan ini bukan sahaja dipertikaikan oleh Menteri Di JPM, Datuk Abdullah Md Zain (dengan angkuhnya atas ketinggian jawatannya meminta Mufti jumpa beliau) malah turut sama dipertikaikan oleh NGO Islam lain, antaranya Persatuan Peguam Syarie' Malaysia dan ABIM.
Apa yang dipertikaikan hanyalah RM 4 billion, kata mereka satu jumlah yang terlalu besar dan boleh menimbulkan pandangan serong masyarakat bukan Islam. Secara peribadi, jumlah berkenaan rasanya tidak mustahil kerana dalam keadaan tiada penguatkuasaan yang ketat terhadap pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat perjudian, terlalu mudah untuk melihat orang-orang Islam menghabiskan duit untuk tujuan berkenaan.
Najis arak (diibaratkan air kencing syaitan) dijual berleluasa secara terbuka di pasar-pasar raya dan 7 Eleven, malah diiklankan secara besar-besaran di dalam media massa dengan penuh ghairah. Setiap tahun kilang Carlsberg di Shah Alam (dikatakan terbesar di Asia Tenggara) mengumumkan keuntungan yang berganda. Dalam kes judi pula, lihat sahaja kes bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam yang berhutang jutaan ringgit di pusat judi terkenal dunia, The Ritz. Kedai Sport Toto dan Magnum (sbg cth) dibuka setiap hari dan dengan mudah dikunjungi oleh orang Islam. Malah dalam akhbar harian setiap hari menyiarkan keputusan cabutan nombor ekor termasuk akhbar berbahasa Melayu yang sudah pasti pembaca utamanya orang Melayu (sinonim beragama Islam).
Di dalam Al-Quran sendiri jelas menyatakan bahawa arak dan judi ini adalah antara perkara keji dan menjijikkan yang semestinya dijauhi oleh umat Islam. Malangnya di negara kita, kedua-dua ibu maksiat ini tidak ditegah dan dibendung dengan kuasa yang ada menyebabkan gejala sosial di kalangan orang Islam semakin meruncing sehinggakan mereka terikut dengan keseronokan hidup cara Barat. Tidak mustahil dari sinilah salah satu punca yang mendorong kepada gejala murtad.
Justeru itu, usahlah kita pertikaikan bicara para mufti kerana dengan ilmu agama yang mereka pelajari dan imami lebih2 lagi atas isu yang sedia terang lagi bersuluh. Seharusnya setiap orang (terutama yang ada kuasa) mengambil langkah segera untuk membendungnya dari terus membarah dalam masyarakat. Kenali dan matikan punca kepada setiap gejala tersebut dan pertingkatkan usaha yang berfaedah kearah melahirkan masyarakat yang mempunyai rohani yang bersih.
8) Ummati... ummati... ummati... Kasihanilah RasuluLlah (saw) yang sentiasa mengasihani kita.

Monday, July 10, 2006

Piala Dunia 2006 Tamat

Dua permandangan berbeza, pemain2 Itali meraikan kejayaan mereka, manakala pemain2 Perancis sekadar tercegat hampa -REUTERS.
Pagi tadi (09/07/06 - tarikh di Jerman) dengan rasminya Piala Dunia 2006 melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang penuh bergemerlapan, diakhiri dengan perlawanan akhir antara pasukan Itali bertemu pasukan Perancis. Keputusannya Itali mengatasi Perancis 5-3 melalui sepakan penalti penentuan setelah kedua-duanya terikat 1-1.
Pada awalnya aku berhajat nak bangun tapi tak jadi... ngantuk dan ingat keesokan harinya nak kerja. Iddin seperti pagi semalam ketika perlawanan menentukan tempat ke-3 & ke-4 dia bangun penuh semangat. Pagi tadi sebelum jam 02:00 am dia dah bangun kerana dalam akhbar tulis perlawanan jam 02:00 am. Rupa2nya diadakan acara penutup dan perlawanan dilangsungkan selepas itu. Suara sorakan jelas kedengaran dari rumah-rumah jiran. Bila teringatkan Iddin yang menonton sendirian tanpa teman adakalanya terasa kesian juga tapi apa nak buat, minatku tak seberapa, cuma sokongan yang boleh diberikan dengan membenarkan dia bangun di awal pagi. Tak apalah... Piala Dunia pun dah sampai ke penghujungnya. Satu hal yang aku angkat tabik kat anak aku ni, walaupun bangun awal pagi tapi tak ponteng sekolah hari tu, paginya ke sekolah kebangsaan dan petangnya ke sekolah agama tapi malamnya selepas maghrib terus terlelap...8)
Tentang perlawanan akhir tersebut, yang menyedihkan adalah Zinadine Zidane yang telah berhasrat untuk bersara selepas musim Piala Dunia 2006 ini telah dilayangkan kad merah setelah dikatakan menanduk dada pemain Itali, Marco Materazzi yang diberitakan telah melakukan provokasi sensitif terhadap beliau. Walaupun begitu beliau telah memenangi anugerah Pemain Terbaik Piala Dunia 2006.
ZURICH 20/07/2006 - FIFA menggantung Zinedine Zidane 3 perlawanan, didenda 7,500 Swiss Franc (RM22,198). Materazi pula digantung 2 perlawanan dan denda 5,000 Swiss Franc (RM14,797). Jurucakap FIFA, Andreas Herren berkata : “Memandangkan Zidane sudah bersara, jawatankuasa tatatertib mengarahkannya menyertai aktiviti kemanusiaan FIFA dengan kanak-kanak dan remaja.’’ Zidane pernah mendakwa kejadian hantukan itu disebabkan Materazzi mencaci ibu dan adik perempuannya. Pemain Itali itu bagaimanapun menafikannya. FIFA juga mengesahkan, komen Materazzi yang mendorong hantukan Zidane itu berunsur penghinaan tetapi tidak berbau perkauman - AFP
Selamat tinggal Piala Dunia 2006 di Jerman, ketemu lagi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Dah Dah La Tu... Siti & Mawi

Akhir2 ini berita sensasi tentang 2 artis tersohor tanah air sering menjadi rebutan media massa - kisah cinta dan kahwin tanpa noktah Cik Siti Nurhaliza & Datuk K (Khalid Mohd Jiwa) dan kisah sedih putus tunang anak-anak Felda, Mawi dan Cik Nordiana.
Kisah Siti Nurhaliza yang dikhabarkan akan mengakhiri zaman bujangnya dengan si-duda, Datuk K masih lagi menjadi tanda tanya kerana masing-masing seolah-olah menyembunyikan tahap keintiman perhubungan mereka. Kisah mereka telah dikorek oleh wartawan sejak tahun lepas lagi ketika Siti menyertai pertandingan persembahan di London, komen beliau ketika itu sekadar rakan perniagaan. Beberapa bulan lalu, Siti menyatakan hatinya kini telah dipunyai... makan bertambah galak le para wartawan mengorek rahsia mereka. Tak disangka-sangka, penulis buku firasat politik, SH Al-Attas @ Pak Habib pun turut menulis buku tentang mereka. Sehingga kini tak diketahui apakah ianya bakal menjadi kenyataan dalam bulan Ogos ini atau benarkah mereka pasangan yang diwar-warkan? Kita tunggu dan lihat...
Manakala kisah Mawi putus tunang dengan tunangannnya, Ina juga menjadi bahan pemberitaan panas. Tak cukup mengacau Mawi yang baru kematian bapanya, Pak Atan (InnaliLlah...), bekas tunangnya pun turut dikejar dan dikorek rahsianya. Maka yang timbul berita seolah-olah saling tuduh menuduh antara satu sama lain termasuk melibatkan ahli keluarga dan pengurus artis Mawi, Maestro. Entah lah...
10/07/2006 - Sah pertunangan diputuskan setelah keluarga Mawi mengunjungi keluarga Ina.
Begitulah kalau dah dinamakan artis, berita tentang mereka walaupun agak peribadi sudah pasti menjadi bahan berita. Siapa yang untung...? Yang pasti adalah syarikat media massa kerana dapat meningkatkan jualan media mereka. Siapa yang rugi...? Rasa-rasanya mereka dan keluarga mereka le... silap2 boleh porak peranda dan malu besar terutama dalam kes Mawi vs Ina.
Pandangan aku, baik semuanya tutup mulut aje. Untuk Siti dan Datuk K, kalau dah ditakdirkan bersama... Tahniah diucapkan. Yang tak naknya, kisah luka lara pula yang timbul di kemudian hari, macam kisah gempak Wedding of The Year 2003, Erra & Yusry yang bercerai selepas 3 tahun bersama. Untuk Mawi dan Ina, usahlah dilayan lagi wartawan, usahakan agar segala keruh yang timbul dijernihkan, tak kisah le samada diakhiri dengan perkahwinan atau tidak...
8) Buangkan yang keruh, ambil yang jernih

Thursday, July 06, 2006

Separuh Akhir Piala Dunia - Jerman Pasrah

PENJAGA gol Jerman, Jens Lehmann melayangkan badannya untuk menampan bola rembatan pemain Itali, Fabio Grosso, (tiada dalam gambar) namun gagal menyekatnya daripada menerjah gawang - AFP
Pagi semalam merupakan mimpi buruk bagi pasukan tuan rumah, Jerman setelah impian ke perlawanan akhir dinafikan oleh pasukan Itali dengan jaringan 2-0. Gol jaringan Itali dalam masa tambahan menerusi Fabio Grosso dan pemain gantian Alessandro Del Piero benar-benar merentap semangat pasukan di bawah jurulatih Juergen Klinsmann. Kekalahan itu terus meleburkan impian tinggi Jerman untuk melakar satu lagi sejarah merangkul kejuaraan buat kali keempat selepas melakukannya pada 1954, 1974 dan 1990.
Manakala dalam satu perlawanan pagi tadi, Perancis berjaya menundukkan pasukan underdog, Portugal menerusi jaringan ketua pasukannya, Zinadine Zidane seterusnya menempah tempat ke perlawanan akhir pada 10/07/2006 di Berlin bertemu dengan pasukan Itali.
Untuk perlawanan Jerman vs Itali, tak disangka-sangka rumah jiran yang paling dekat dengan bilik tidurku riuh rendah dengan suara sorakan. Sebelum ini tak pernah pulak diaorang bangun pagi tengok bola, malah perlawanan jam 11:00 mlm pun rasanya tak pernah dengar sorakan dari rumah berkenaan. Entah apa mimpi diaorang tu...
Macam mana perlawanan akhir nanti, nak tengok ke tak... rasanya tak sebab perlawanannya jam 03:00 pagi, pulak tu pagi Isnin... hari berkerja. Tapi kebenaran telah aku berikan pada anak sulungku, Iddin, peminat setia bola sepak, cuma minta dia tidur awal sikit agar tak mengantuk bila ke sekolah pada siang harinya.
8) Bola.. bola.. jugak, kerja jangan tergadai.

Monday, July 03, 2006

Mahathir vs Pak Lah - Episod II

Tanggal 24hb. Jun, 2006 bertempat di Century Paradise Club, Taman Melawati, Hulu Kelang menempa sejarah baru di mana Che' Det dengan penuh semangat dan konsisten (tak padan dengan usianya 81 tahun) terus mengasak Pak Lah dengan isu yang sama, mempersoalkan kredibiliti Pak Lah sebagai PM. Antara isu yang ditimbulkan :-
1. Jambatan Bengkok - kenapa timbul isu ruang udara & jualan pasir sedangkan jambatan yang dicadangkan di daerah kita - tercalar maruah kita.
2. AP - kenapa bagi pada bekas pegawai MITI yang tak ada pun show room.
3. Proton - kenapa jual MV Agusta dengan 1 Euro yang merugikan.
4. Orang Ketiga - orang di Tkt 4 PWTC (KJ) lebih berkuasa dari orang di Tkt 5 PWTC (PM).
5. Kualiti pemimpin dipertikaikan, rupa2nya sokongan atas elemen siapa yang berkuasa.
6. Kerajaan tak boleh dikritik.
Apa yang menariknya majlis terbuka anjuran 32 NGO dan media alternatif, Malaysia-today.net ini mendapat sambutan amat menggalakkan, dikatakan lebih 2,000 orang memohon tapi hanya 500 orang sahaja dibenarkan masuk, antaranya jelas di barisan hadapan beberapa orang besar PAS, DAP dan PKR turut serta.
Pihak media telah memanipulasikan majlis ini, kononnya Che' Det telah bersengkokol dengan pembangkang dalam agenda menyerang kerajaan. Dijawab oleh Che' Det, beliau hanya memenuhi jemputan, siapa yang datang bukan urusannya. Betul juga, tambahan pula pembangkang yang datang pun hanya beberapa kerat aje, yang lain2 tu majoritinya masih lagi ahli UMNO dan hadir mereka pun kerana nak dengar sendiri butir bicara dari mulut Che' Det sendiri sebab akhbar utama nampaknya cuba menyembunyikan isu sebenar.
Nazri Aziz, Menteri JPM beberapa hari selepas itu telah mencabar Che' Det jadi "jantan" dengan keluar dari UMNO agar senang untuk dihentam. Keceluparan beliau ini telah disanggah oleh orang UMNO sendiri, antaranya Wanita UMNO Kubang Pasu telah mengusulkan agar beliau dikenakan tindakan tata tertib. Intonasi dalaman UMNO sendiri samada peringkat bawahan mahupun pimpinan nampaknya tidak sekata tapi apa yang pasti, para menteri sudah pasti melahirkan sokongan jitu hanya pada Pak Lah (kerana dia PM sekarang).
Jemaah Menteri juga telah sepakat, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab setiap isu yang ditimbulkan bukannya Pak Lah (selepas mesyuarat Pak Lah terus terbang ke Perth, bercuti 10 hari). Setakat ini hanya suara Pengerusi Proton, Menteri MITI dan Menteri Luar sahaja yang menjawab. Proton mengatakan tak sanggup tanggung rugi MV Agusta. Menteri MITI pulak tak nak jawab apa-apa, cukup apa yang telah ditimbulkan dalam Parlimen masa mula-mula ditimbulkan AP dulu. Manakala Menteri Luar pula mengatakan soal penjualan pasir & penggunaan ruang udara telah timbul sejak zaman Che' Det lagi. Semuanya dinafikan oleh Che' Det dan ada yang langsung tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan.
Sekarang ni timbul pula konflik baru antara Pengerusi NSTP, Datuk Kalimullah (orang Pak Lah) dengan Mathias Chang (bekas S/U sulit Che' Det) dan pelbagai watak baru muncul dalam sandiwara ini yang dikorek oleh media yang lebih menjurus kepada memburukkan Che' Det, antaranya kisah aduan rasuah dalam kehakiman oleh ex-hakim, Syed Aidid, arahan IPP (penyedia elektrik persendirian) oleh ex-TNB Chairman, Ani Arope dan yang terbaru saman ex-MAS Chairman, Tajuddin Ramli atas paksaan membeli saham MAS oleh Naluri Corp.
Hai, itulah politik sekarang, siapa yang berada di atas kita sokong tapi bila dah tak ada kuasa kita tolak tepi aje...
8) Politik asalnya bersih, manusia yang mengotorkannya

Sunday, July 02, 2006

Suku Akhir Piala Dunia Penuh Tragis

Keputusan perlawanan suku akhir benar-benar menyentap keghairahan peminat-peminat Piala Dunia terutama perlawanan yang dilangsungkan malam tadi di mana England kecundang kepada Portugal 1-3 hasil sepakan penalti penentuan setelah terikat tanpa jaringan selama 90 minit perlawanan. Yang lebih parah lagi dalam perlawanan kedua jam 03:00 pagi, juara bertahan, Samba Brazil dikecewakan oleh Le Bleus Perancis 1-0. "Pasukan pesara" yand diketuai oleh Zinadine Zidane berjaya membolosi jaring Brazil oleh Thierry Henry melalui sepakan percuma oleh Zidane. Ini bermakna dalam perlawanan separuh akhir pada 06/07/2006, Portugal akan bertemu dengan Perancis untuk percaturan ke peringkat akhir pada 10/07/2006 nanti.
Manakala dalam perlawanan suku akhir malam kelmarin, bagai yang dijangka Jerman mara ke pusingan separuh akhir setelah mengalahkan Argentina 4-2 juga melalui sepakan penalti penentuan setelah kedudukan terikat 1-1 sepanjang perlawanan. Insiden pergaduhan tercetus di tengah padang sejurus selepas perlawanan dikatakan dimulakan oleh pemain Argentina. Dalam perlawanan kedua pula, Itali menang bergaya ke atas Ukraine 3-0 seterusnya akan bertemu Jerman dalam perlawanan separuh akhir nanti pada 05/07/2006.
Untuk perlawanan jam 03:00 pagi antara Itali vs Ukraine dan Brazil vs Perancis disiarkan secara langsung melalui TV. Untuk kedua-dua perlawanan tersebut, Iddin bangun penuh semangat terutama untuk perlawanan antara Brazil dan Perancis. Tak sangka kerana Brazil kalah, Iddin merajuk dan tidur di sofa luar sebelum disuruh tidur kat bilik. Apabila ditanya keesokan harinya apa keputusan malam tadi, jawabnya selamba, "Abang tak tengok sampai habis...". Malah di mana-mana orang memperkatakannya termasuk di Pasar Tani Tmn Melati yang aku pergi pagi tadi.
Lakaran secara kasar di atas kertas, percaturan akhir nanti dijangkakan antara Jerman dan Perancis. Walau apa pun, perlu diingat bola itu bulat berserta semangat kental pasukan masing2 segala jangkaan boleh jadi meleset, siapa tahu tiba2 Itali dan Portugal akan berentap di peringkat akhir.
8) Tunggu...