Friday, July 14, 2006

Isu Serban - Analogi dan Sensasi Keterlaluan

Tanggal 12/07/2006 mencetuskan kegusaran di hati melihat Islam dan RasuluLlah saw sebegitu mudah dipermainkan oleh mereka yang jahil. Pada hari berkenaan, hakim Mahkamah Persekutuan telah memutuskan tindakan guru besar SK Felda Serting memberhentikan 3 pelajar sekolah berkenaan yang enggan menanggalkan serban di waktu persekolahan pada tahun 1997 melalui Peraturan Sekolah 1997 adalah tidak melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dalam bab kebebasan mengamalkan agama masing-masing.
Pada dasarnya saya bersetuju dengan keputusan hakim berkenaan kerana peraturan tersebut hanya melibatkan waktu persekolahan sahaja, boleh dipakai waktu solat atau selepas waktu persekolahan. Tambahan pula kedudukan hukumnya adalah sunat sahaja, berpahala jika memakainya (atas niat yang suci) dan tidak berdosa kiranya ditinggalkan. Mengambil kira soal suasana dan persekitaran sekolah bercirikan kebangsaan, maka tindakan guru besar berkenaan dianggap betul, molek lagi jika dibenarkan sahaja kerana tiada impak ke atas sistem pembelajaran.
Dalam hal ini terdapat 2 perkara yang nak ditekankan, pertamanya, butiran hujah penghakiman Datuk Abdul Hamid Mohamad yang menggunakan analogi yang agak keterlaluan lebih-lebih lagi mengaitkannya dengan RasuluLlah saw. Dan keduanya sensasi media massa (terutama akhbar) yang juga agak keterlaluan seolah-olah ianya isu yang amat besar dengan nada yang kurang enak dibaca.
Utusan Malaysia melaporkan hujah hakim berkenaan, "Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi. Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda?"
Beliau berhujah lagi, "Arab Jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah (saw) yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian".
Lihatlah betapa dangkalnya analogi yang diutarakan oleh hakim semata-mata untuk membenar dan mengukuhkan hujah penghakiman beliau sehingga sanggup merendah-rendahkan martabat RasuluLlah saw. Itulah jadinya bila menggunakan logik akal tanpa meletakkan asas agama sebagai paksinya. Pesan orang-orang alim (betulkan saya jika ianya salah - moga dijauhkan Allah) - setiap perkataan, perbuatan dan perlakuan RasuluLlah saw adalah bayangan Al-Quran. Jadi usahlah kita persoalkan sunnahnya walaupun ianya telah ketinggalan zaman. Mana yang boleh dipraktikkan, laksanakanlah dengan penuh ikhlas dengan mengharapkan redhaNya dan jika tidak berkemampuan, cukuplah sekadar diam sahaja.
Dari sudut pemberitaan pula, nampaknya kesemua akhbar utama menjadikan ianya berita utama iaitu di muka hadapan dengan pelbagai tajuk yang adakalanya mengundang maksud yang kurang baik. Dimengertikan cara penyiaran sedemikian seolah-olah satu konspirasi untuk merendah-rendahkan nilai-nilai murni dalam Islam sehingga tersasar dari isu sebenar iaitu soal berserban di sekolah, contohnya tajuk berita dari The Star, Islam is not about turban and beard. Dimanakah rasionalnya, sedangkan masih banyak isu-isu sejagat lain yang boleh diketengahkan.
Justeru itu, diharapkan para hakim dan juga mereka yang tiada asas dan pengetahuan tentang Islam, usahlah pandai-pandai mengeluarkan pandangan dan pendapat kerana di dalam Islam jelas meletakkan martabat keilmuan itulah paling diutamakan. Kiranya bicara kita tentang Islam dalam keadaan jahil walaupun butir bicara itu menepati ketetapan hukum Islam, maka ianya dianggap berdosa. Moga-moga dijauhi Allah. Amiin.
8) Indahnya Islam jika dipraktikkan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home