Wednesday, July 12, 2006

Suara Mufti Dipertikaikan

Itulah yang terjadi akhir-akhir ini. Minggu lepas, Mufti Perak, Sahibul Samahah Datuk Hj Harussani mengeluarkan 2 kenyataan tentang betapa parahnya umat Islam di Malaysia sekarang. Kenyataan tersebut bukannya sesedap mulut beliau sahaja tetapi berpandukan kajian sekumpulan profesional yang melakukan kajian terhadap masyarakat Islam dan sosial ekonomi mereka (buat sementara waktu beliau terpaksa rahsiakan untuk mengelakkan kajian-kajian lain yang berkaitan tergendala). Sebelum itu pun beliau pernah menyentuh 22 resolusi hasil Muzakarah Ulama 2006 di Ipoh termasuk isu kongsi raya, pluralisme, liberalisme dll, itupun dipertikaikan oleh banyak pihak termasuklah PM sendiri. Juga isu program Sure Heboh (kini Jom Heboh) tajaan TV3 yang dikatakan haram, juga dipertikaikan oleh para menteri dan pemimpin negara.
Kenyataan pertama - 100,000 orang Islam telah murtad
Isu murtad adalah isu lama yang kian membarah dalam masyarakat Islam di mana tiada peruntukan dalam Undang-undang Islam, apatah lagi dalam Undang-undang Sivil untuk mendakwa mereka. Masih segar dalam ingatan kita akan kes Aisyah Bukhari yang menganut Kristian, Harlina Kamaruddin bertukar kepada agama Hindu, orang Melayu yang berbondong2 ke Gereja Jln Gasing dan yang terbaru al-kisah Lina Joy dan "Ustazah" Kamariah (pengikut Ayah Pin) sedang hangat dibicarakan di mahkamah.
Sekiranya dibuka kitab-kitab berkaitan Aqidah, terdapat banyak sebab untuk menjadikan seseorang itu murtad sekiranya dilakukan dengan sengaja/ dalam keadaan sedar samada melalui perkataan, perbuatan dan i'tikad, antaranya dalam perlaksanaan kewajiban kepada Allah atau ketetapan yang telah ditetapkanNya. Adakah ini juga termasuk dalam 100,000 orang Islam yang dikatakan oleh Datuk Mufti?
Kenyataan kedua - RM4 billion dibelanjakan untuk arak (RM 1 billion) dan judi (RM 3 billion)
Kenyataan ini bukan sahaja dipertikaikan oleh Menteri Di JPM, Datuk Abdullah Md Zain (dengan angkuhnya atas ketinggian jawatannya meminta Mufti jumpa beliau) malah turut sama dipertikaikan oleh NGO Islam lain, antaranya Persatuan Peguam Syarie' Malaysia dan ABIM.
Apa yang dipertikaikan hanyalah RM 4 billion, kata mereka satu jumlah yang terlalu besar dan boleh menimbulkan pandangan serong masyarakat bukan Islam. Secara peribadi, jumlah berkenaan rasanya tidak mustahil kerana dalam keadaan tiada penguatkuasaan yang ketat terhadap pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat perjudian, terlalu mudah untuk melihat orang-orang Islam menghabiskan duit untuk tujuan berkenaan.
Najis arak (diibaratkan air kencing syaitan) dijual berleluasa secara terbuka di pasar-pasar raya dan 7 Eleven, malah diiklankan secara besar-besaran di dalam media massa dengan penuh ghairah. Setiap tahun kilang Carlsberg di Shah Alam (dikatakan terbesar di Asia Tenggara) mengumumkan keuntungan yang berganda. Dalam kes judi pula, lihat sahaja kes bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam yang berhutang jutaan ringgit di pusat judi terkenal dunia, The Ritz. Kedai Sport Toto dan Magnum (sbg cth) dibuka setiap hari dan dengan mudah dikunjungi oleh orang Islam. Malah dalam akhbar harian setiap hari menyiarkan keputusan cabutan nombor ekor termasuk akhbar berbahasa Melayu yang sudah pasti pembaca utamanya orang Melayu (sinonim beragama Islam).
Di dalam Al-Quran sendiri jelas menyatakan bahawa arak dan judi ini adalah antara perkara keji dan menjijikkan yang semestinya dijauhi oleh umat Islam. Malangnya di negara kita, kedua-dua ibu maksiat ini tidak ditegah dan dibendung dengan kuasa yang ada menyebabkan gejala sosial di kalangan orang Islam semakin meruncing sehinggakan mereka terikut dengan keseronokan hidup cara Barat. Tidak mustahil dari sinilah salah satu punca yang mendorong kepada gejala murtad.
Justeru itu, usahlah kita pertikaikan bicara para mufti kerana dengan ilmu agama yang mereka pelajari dan imami lebih2 lagi atas isu yang sedia terang lagi bersuluh. Seharusnya setiap orang (terutama yang ada kuasa) mengambil langkah segera untuk membendungnya dari terus membarah dalam masyarakat. Kenali dan matikan punca kepada setiap gejala tersebut dan pertingkatkan usaha yang berfaedah kearah melahirkan masyarakat yang mempunyai rohani yang bersih.
8) Ummati... ummati... ummati... Kasihanilah RasuluLlah (saw) yang sentiasa mengasihani kita.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home