Thursday, June 29, 2006

Akademi Al-Quran (AQ)

Akademi Al-Quran (AQ), suatu rancangan realiti TV muncul dalam suasana pro dan kontra samada ianya patut diadakan atau tidak kerana ianya amat dekat dengan aspek keagamaan, apatah lagi Al-Quran itu sendiri adalah kitab paling agung, susunan firman Allah SWT. Tambahan pula AQ ini muncul dalam keghairahan rancangan realiti TV berbentuk hiburan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan Mentor yang jelas menyimpang dari nilai-nilai ketimuran apatah lagi nilai-nilai keagamaan. Tidak hairanlah para pencinta Islam bimbang fenomena rancangan hiburan berkenaan akan mendominasi AQ.
Usaha TV9, saluran ke-4 Media Prima Berhad ini nampaknya mula digemari ramai. Dikatakan seramai 1,500 peserta dalam usia 15 hingga 25 tahun telah menghadiri sesi uji bakat yang diadakan di seluruh negara mulai 6 Februari hingga 1 Mac untuk mencuba nasib sebagai Qari dan Qariah Remaja. Rancangan 14 episod yang mula dikeudarakan pada akhir April 2006 akan memilih hanya 12 peserta untuk ke peringkat akhir. Tak dinafikan hadiah utamanya agak lumayan iaitu RM30,000 untuk tempat pertama, diikuti RM20,000 (tempat kedua) dan RM10,000 (tempat ketiga). Akan tetapi bukan itu yang sepatutnya menjadi matlamat tetapi proses perkongsian pembelajaran dan penghayatan Al-Quran bersama penonton yang seharusnya diharapkan. Menurut penerbitnya, En Shukri Ibrahim,
"Program itu menampilkan kelainan dari segi format kehakiman dan pengisian bukan sahaja kepada para peserta tetapi penonton yang mengikutinya. Secara tidak langsung penonton dapat berkongsi dan mendalami ilmu bacaan al-Quran bersama tenaga pengajarnya di mana mereka akan mendapat pendedahan yang mendalam tentang Al-Quran dan teknik bacaan yang betul".
Sabda Rasulullah s.a.w., “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Riwayat Muslim)

Ikuti komentar menarik kutipan dari salah satu media massa tanah air.

Penghakiman program Akademi Al-Quran tertumpu kepada tiga aspek iaitu tajwid (40 peratus), qiraat dan fasahah (30 peratus) selain suara dan lagu (30 peratus). Lebih istimewa, istilah-istilah dalam bacaan al-Quran akan dipamerkan di kaca televisyen dengan tujuan untuk mendidik penonton. Peserta juga akan diminta membaca surah-surah tertentu secara spontan di hadapan juri.

Sementara itu, juri yang terlibat sepanjang uji bakat berlangsung berpendapat, para peserta AQ perlu memperbaiki banyak kelemahan terutama dari segi tajwid dan makhraj. Bagaimanapun, keyakinan dan kemampuan peserta memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran wajar mendapat pujian. Menurut Pensyarah Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Darul Quran, Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin, makhraj dan tajwid yang betul amat penting dalam bacaan al-Quran kerana kesilapan sebutan akan membawa maksud yang lain.

“Kebanyakan peserta yang datang tidak mempunyai pendidikan secara formal khusus untuk bacaan al-Quran. Walaupun sebutan mereka betul tetapi banyak yang perlu diperbaiki. Inilah tujuan utama program ini diadakan untuk mendidik mereka dan para penonton agar sama-sama mendalami ilmu al-Quran,” katanya yang mengadili aspek tajwid, fasahah dan tarannum.

Dalam bacaan al-Quran qiraat juga amat dititikberatkan. Secara dasarnya qiraat adalah bacaan al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. melalui malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. Terdapat tujuh jenis qiraat iaitu Nafi’, Ibnu Khatir, Abu Amru, Ibnu A’mir, A’sim, Hamzah dan Kisaie. Pensyarah al-Quran di Darul Quran, Mohd. Nazri Abdullah pula bertanggungjawab untuk mengadili peserta dari segi qiraat. Katanya, semasa sesi uji bakat dijalankan, terdapat peserta yang tidak pernah mengenali ketujuh-tujuh jenis bacaan tersebut tetapi mampu membaca al-Quran dengan baik.

“Mereka yang terpilih akan didedahkan dengan kesemua jenis qiraat. Di sinilah terletaknya keistimewaan program realiti ini. Selain format yang berbeza, peserta juga perlu mendalami ilmu al-Quran dengan baik,” ujarnya

8) Moga Al-Quran bertakhta di hati pendengarnya

MRR2 Lenggang Kerana Piala Dunia?

Semenjak hampir sebulan yang lalu memandu di MRR2 di sebelah pagi terasa agak selesa, keadaannya agak lenggang sama seperti sewaktu cuti persekolahan. Kenderaan kelihatan berkurangan daripada biasa dan masalah kesesakan tidak ketara. Sekiranya tiada halangan di jalanraya seperti kemalangan atau kenderaan rosak, perjalanan ke pejabat hanya mengambil masa kira-kira 30 - 40 minit sahaja walaupun keluar lewat daripada biasa berbanding kebiasaannya hampir 1 jam. Akan tetapi perjalanan balik kesesakannya tidak menentu. Kenapa ya? Mungkinkah kerana penangan Piala Dunia, ramai yang dapat flexible hours licence untuk keluar lewat dan balik mengikut cita rasa? Ataupun kerana harga bahan bakar kenderaan naik maka ramai yang guna kaedah pool car atau naik LRT/ komuter sahaja? Ataupun sememangnya pengguna MRR2 dah berkurangan disebabkan ada lencongan baru? Atau kerana apa?
Tak kisah le apa alasannya, moga keselesaan di jalanraya ini akan berterusan dan al-kisah terperangkap dalam kesesakan teruk jalanraya akan hanya tinggal kenangan sahaja.
8) Moga-moga. Amiin.

Wednesday, June 28, 2006

Piala Dunia Dah Hampir Ke Kemuncak

Kemenangan 3-1 Perancis ke atas Sepanyol pagi tadi mengakhiri pertembungan 16 pasukan dalam Pusingan Ke-2 yang bermula 24hb lalu yang dijalankan secara kalah mati. Kini tumpuan semua beralih kepada 8 pasukan yang layak ke suku akhir; Jerman, England, Argentina, Portugal, Itali, Brazil, Perancis dan Ukraine (Nampaknya kesemuanya mewakili setiap kumpulan di Pusingan Pertama) yang dijadualkan pada 30/06 & 01/07. Aturan perlawanan juga secara kalah mati seperti jadual di bawah :-
30/06 - Jerman vs Argentina
30/06 - Italy vs Ukraine
01/07 - England vs Portugal
01/07 - Brazil vs Perancis
Malam tadi aku berhasrat menonton perlawanan antara Brazil dengan pendatang baru, Ghana yang dilangsungkan jam 11:00 malam tapi tiada siaran di TV, hanya ada di Astro (kat rumah tiada Astro) di mana keputusannya Brazil menang 3-0. Tang Brazil ni aku bukannya fanatik atau minat sangat tapi sekadar terhibur menyaksikan lenggok permainan cantik pemainnya dan kawalan bolanya yang dikatakan berentak Samba.
Tetapi apa yang pasti kehangatan dan keghairahan peminat bola sepak akan lebih teruja kerana semakin lama semakin hampir ke penghujungnya. Yang tinggal hanyalah pasukan yang mempunyai kemahiran permainan yang tinggi dan semangat berpasukan yang kental. Setiap pasukan sudah pasti cuba mempamirkan permainan yang terbaik demi meraih kemenangan dengan matlamat mengucup piala terulung bolasepak dunia yang bertatahkan emas, Piala Dunia.
8) Tunggu perlawanan seterusnya...

Monday, June 26, 2006

Hujung Minggu di Wad Paediatrik HUKM

Sabtu malam Ahad aku tidur di Wad Paediatrik, HUKM kerana anak ke-tiga, Nur Solehah diserang asma yang lebih teruk dari biasa. Petangnya kami bawa beliau ke A & E HUKM untuk dapatkan nebulizer (pam gas) tapi tak nampak perubahan walaupun setelah diberikan 2 kali pam. Setelah diperiksa oleh on-call doctor dari Wad Paediatrik, Le'ah dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Jadi, malam tu Le'ah bermalam di Wad Paediatrik 1 Katil no. 6, wad yang sama di mana anak ke-4 ku, Imran pernah ditahan akhir tahun lepas kerana terkena sawan tarik.
Penyakit asma ni dah lama dihidapinya sejak 2 tahun lepas. Biasanya dalam setahun adalah 3-4 kali penyakit ni datang bersekali dengan demam dan batuk. Tanda2 Le'ah diserang asma dah nampak sejak pagi lagi tapi tak ketara. Paginya dia berserta abang dan kakaknya pergi ke Little Khalifah Shop di Wangsa Maju untuk mengikuti program hujung minggu. Sewaktu ambil tengaharinya, nampak Le'ah agak keletihan dan tak bermaya. Di rumah aku bagi Inhaler (thru' chamber) tetapi nampaknya kurang berkesan. Setelah ibunya balik dari IELTS Exam (persediaan ke Australia), keadaannya masih lagi tak bermaya. Jadi petangnya, kira2 jam 04:30 pm terus dibawa ke HUKM dan dimasukkan ke wad kira2 jam 06:00 pm.
Di wad, Le'ah menangis ketakutan bila tangannya dicucuk untuk ambil darah (macam aku jugak, takutkan jarum..8) dan pasang sesalur glukos. Di katil, di samping sesalur glukos yang dipasang, ibu jari tangannya dipasang klip Oximeter, begitu juga sesalur O2 di hidungnya yang juga di sambung ke Oximeter. Jadi, ada 3 wayar yang dipasang, ini membuatkan Le'ah rasa tak selesa dam sering merungut terutama salur di hidungnya yang dikatakan menyakitkan (menekan lelangit hidung).
Malamnya tidurku kerap terganggu dek kehadiran nurse untuk berikan Le'ah nebulizer, Oximeter error kerana ibu jari Le'ah terkeluar dari klip, bangun untuk betulkan dan juga kerana tangisan bayi yang turut sama ditahan di wad tersebut. Nebulizer mula diberikan jam 11:20 pm, diikuti jam 12:00 t/mlm. Menurut nurse, setiap 2 jam sekali perlu diberikan nebulizer - tapi jam 04:00 am tiada (mungkin nurse tertidur kepenatan - dapat le aku tidur sikit), diikuti jam 06:00 am barulah sekali lagi diberikan. Jam 11:20 pm, Le'ah membantah kerana tidurnya terganggu. Jam 12:00 am, OK aje (sambil tidur). Jam 02:00 am, dia membantah lagi. Jam 06:00 am, OK aje - waktu tu aku pergi solat Subuh.
Pagi Ahad, Le'ah dah nampak resah dan boring. Asyik bertanya bila ibunya nak datang dan tak ada buku yang nak dibaca/ dibelek. Nasib baik le ada pelajar perubatan tahun akhir (perempuan) yang dok melayannya dengan pelbagai permainan - cepat betul Le'ah ni mesra dengan orang. Pelajar ni sebenarnya dah ambil kes ni (dengan pelbagai soalan) sejak dari Le'ah di A & E lagi. Di sambung soal-jawabnya setelah dinaikkan ke wad dan di sambung pula pagi Ahad tu dan seterusnya sesi soal jawab dengan ibunya pulak pagi tu. Tujuannya untuk bentangkan kes pada pensyarahnya pada hari Isnin nanti.
Menjelang tengahari, aku balik rumah tidur kerana keletihan dan mengantuk. Menjelang waktu Asar, aku dan anak2 yang lain ke hospital untuk melawat Le'ah. Dari perkembangan semasa, asmanya masih memerlukan pemerhatian lanjut, maksudnya masih kena tahan di wad. Le'ah asyik menangis dan memberontak minta dibawa pulang. Ibunya nak balik tidak dibenarkan. Jadi terpaksa le minta keluar dengan risiko sendiri. Harap2 asma Le'ah tak terus berkurangan dan sembuh segera. Kesian kat pelajar perubatan tu, bila datang pagi Isnin nanti pesakitnya dah tak ada, terpaksa le present tanpa pesakit, boleh le kelentong sikit.
Bercadang ke Pusat Perubatan An-Nur, Bangi untuk pinjam nebulizer dari kawan isteriku di sana tapi dah kesuntukan masa. Puncanya dok menunggu ubat sahaja (sekadar 1 unit inhaler) mengambil masa sejam. Farmasi A & E kata tunggu doktor Wad Paediatrik masukkan senarai ubat dalam sistem. Nurse di wad pulak kata tunggu doktor pergi solat Asar. Lepas 1/2 jam dimaklumkan kena naik ke Wad Paediatrik balik. Rupa2nya inhaler tu ubat bawah kawalan, tiada di Farmasi A & E - special delivery, nurse pergi turun ambil kat stor ubat - naik angin jugak aku kerana 1 unit inhaler kena tunggu lama. Lepas tu terus balik rumah aje. Sampai rumah dah nak masuk Maghrib. Penat lagi memenatkan, malamnya tidur lena tanpa gangguan nurse, tangisan bayi dan oximeter "merengek" error.
Isnin - mak mertuaku pula yang ditahan di Wad Perubatan 2, HUKM, juga kerana asma. Pagi tersebut beliau ke A & E HUKM untuk ambil nebulizer setelah asmanya tak nak kebah dengan inhaler. Setelah 2 kali pam gas, keadaannya masih tak berubah, jadi terus ditolak naik ke wad.
Selasa - birasku, Suraya pula dimaklumkan anak sulung yang dikandungnya meninggal - Pagi Rabu akan dikeluarkan. Kesian dia, setelah sekian lama menunggu hamil, kini keguguran pula. Bersabarlah, semuanya itu dugaan dariNya.
8) Moga asma Le'ah tidak berulang lagi. Amiin.

Friday, June 23, 2006

Warga KL Biadap? Renungilah...

Warga KL dikatakan antara penduduk bandaraya paling biadap di dunia. Bukan sahaja "orang KL" yang terasa tetapi seluruh negara turut sama terasa bahangnya hingga TPM sendiri pun turut sama mempertikaikannya. Semuanya ini berpunca dari hasil kajian majalah Readers' Digest edisi terbaru ke atas 66 sample manusia yang tinggal di KL yang meletakkan KL di tangga ke 32 dari 35 bandaraya. Asas kajian adalah terhadap 3 sikap iaitu :-
1. Kesediaan membuka pintu kepada orang luar.
2. Kesediaan mengutip kertas yang terjatuh dari tangan orang lain.
3. Kesediaan menguntumkan senyuman kepada orang lain.
Persoalannya apakah adil ketiga-tiga elemen sikap tersebut dijadikan petunjuk akan tahap kebiadapan warga KL, tambahan pula perbezaan sosio budaya antara setiap bandaraya tersebut adalah amat jauh bezanya? Sebagai perbandingan, perlakuan tidak senonoh (cth. berkucupan, berpelukan dll) di sebuah bandaraya dianggap sebagai sebahagian daripada budaya sedangkan di KL ianya dianggap tidak bermoral/ amat biadap. Begitu juga tatasusila tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang luar masuk ke rumah di KL amat dititik-berat di samping atas faktor keselamatan tetapi mungkin ianya sesuatu yang biasa dilakukan di bandaraya lain.
Itu pandangan kontra tetapi ada juga yang bersetuju kiranya dilihat sikap warga KL dalam aspek kesopanan dan kesusilaan secara menyeluruh. Sering kali ditemui, anak-anak muda yang enak duduk di kerusi buat endah tak endah kepada warga tua dan insan lemah yang terpaksa berdiri samada di dalam bas dan LRT, juga di tempat-tempat menunggu lainnya. Sering kali juga dilihat para pemandu merasakan jalanraya adalah hak mereka dan tidak menghormati pengguna2 lain. Juga sering kali dilihat putong rokok dan sisa bakarannya bertaburan di merata tempat terutama di tempat2 awam. Dan pelbagai lagi kerenah warga KL yang amat memalukan yang mempunyai sikap pentingkan diri sendiri (selfish) yang sudah pasti boleh dikategorikan biadap. Kepada yang biasa berkunjung ke luar negara, terutama ke negara2 Barat/Timur akan dapat melihat perbezaan sikap ini.
Justeru itu marilah kita renung dan fikirkan di manakah kita dan masyarakat kita yang kononnya kaya dengan adat ketimuran sebenarnya. Sesuatu yang negatif bukan bermaksud mencari keburukan dan menunding jari tak tentu hala, manakala yang baik pula bukan bermakna kita perlu mendabik dada. Fikirkanlah secara positif (positive thinking) agar yang buruk menjadi pendorong kearah sikap yang baik dan yang baik pula menjadi perangsang untuk mempertingkatkan darjah kebaikannya. Berubahlah, moga kebaikan sahaja yang akan menghiasi diri kita dan masyarakat sekeliling kita.
8) Berubahlah, anda mampu mengubahnya.

Thursday, June 22, 2006

DBP Jubli Emas - Bahasa Melayu Cemas

Selamat Menyambut Ulangtahun Ke-50 pada hari ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelajaran yang ditubuhkan hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada 16-21 September, 1956. Fungsi utamanya adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Persoalannya, apakah ianya berjaya? Jawapannya ada pada persekitaran kita.
Secara kasarnya tanpa melakukan kajian terperinci jelas di hadapan mata kita sendiri Bahasa Melayu telah dipinggirkan sehinggakan ada insan berstatus warganegara Malaysia langsung tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa yang dahulunya menjadi bahasa lingua franca. Malah dalam kehidupan seharian, Bahasa Inggeris pula seolah-olah menjadi bahasa rasmi negara. Ahli2 politik, ahli2 perniagaan, para cendekiawan dan dalam segala urusan rasmi dan tidak rasmi mereka lebih senang dan megah berbicara dalam bahasa tersebut. Malah lebih mendukacitakan lagi telah lahir rasa rendah diri sekiranya tidak mampu berinteraksi dalam Bahasa Inggeris, apatah lagi ianya kini telah menjadi keutamaan untuk mendapatkan pekerjaan termasuk dalam agensi kerajaan.
Menurut Presiden Linguistik Malaysia, Prof. Dr. Awang Sariyan, punca usaha pemartabatan ini tidak berjaya adalah disebabkan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sendiri telah tidak dihormati. Akta yang diluluskan oleh Parlimen ini mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal dalam segala urusan rasmi dan pengurusan negara. Kerajaan sendiri dalam hal ini nampaknya tiada kesungguhan untuk memartabatkan Bahasa Melayu, antaranya menukarkan sistem pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah2 daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, terdapat IPTA/IPTS menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajian, penggunaan Bahasa Inggeris berleluasa dalam iklan dan urusan rasmi dll.
Dalam hal ini nampaknya fungsi DBP sekarang perlu diubah dari sekadar sebagai badan pemantau dan penasihat kepada agensi penguatkuasa yang berkuasa menguatkuasakan penyalahgunaan bahasa. Perkara ini sebenarnya pernah diutarakan kepada pihak kerajaan tetapi setakat ini jawapannya masih lagi negatif. Nampaknya usaha yang berterusan perlu dilakukan semata-mata untuk memastikan pada suatu hari nanti Bahasa Melayu bakal bersinar bukan sahaja di bumi Malaysia tetapi benar-benar menjadi bahasa lingua franca yang diterima di seluruh dunia.
Bernama 11/07/2006 - KeKKWA dan Kem Pelajaran akan mengusahakan agar Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) dipinda akhir tahun ini bagi membolehkan agensi itu mendakwa semua pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan secara tidak betulterutama dari aspek tatabahasa.
8) Bahasa Jiwa Bangsa

Tuesday, June 20, 2006

Gula Kena Catu...

Itulah yang terjadi sekarang ini. Hujung minggu baru2 ni aku dan isteri ke Giant Taman Permata - tertera di rak gula "2 packs only per transaction" - yang ada cuma timbangan 1 kg/bungkus. Setiap minggu biasanya kami beli 4 kg - 1 kg untuk buat air, 1 kg untuk masak dan 2 kg untuk buat air sirap. 4 kg seminggu tu ramai kata banyak, apa taknya kat rumah tu penghuninya ramai, 12 orang. Jadi semalam terpaksa le aku beli 2 kg dulu letak kereta dan bersama-sama barang2 dapur lain beli lagi 2 kg. Mungkin lepas ni kena kurangkan penggunaan gula, antaranya tiada lagi masak sirap dan kurangkan gula dalam minuman, mungkin tukar pakai creamer aje atau lebihkan minum air masak.
Fenomena catuan gula ini telah berlarutan hampir sebulan yang lalu. Pelbagai pihak mengeluh gula susah nak dapat. Ada pekedai yang meletakkan syarat, beli barang RM10.00 baru boleh beli gula 1 kg. Pemborong gula mendakwa biasanya diaorang senang dapat tapi kini hanya 2, 3 guni sahaja yang dapat, itu pun terpaksa catu jualannya agar ramai orang dapat. Sewaktu balik kampung di Terengganu cuti sekolah baru2 ini, orang tuaku yang mengusahakan kedai runcit pun turut mengadu, susah benar dapatkan bekalan gula. Malah MB Terengganu sendiri "duduk cokoh atas lori kecil" jual gula depan Wisma Daruliman (entah le apa motif sebenarnya..?).
Diberitakan banyak pihak, terutama pemborong dikatakan telah menyorok gula kerana ada ura-ura harga gula akan dinaikkan menjangkau 30 sen sekg berbanding harga runcit sekarang RM 1.40. Dalam akhbar minggu lalu diberitakan kerajaan tidak akan menaikkan harga gula sehingga tahun 2008. Ianya seolah-olah satu bentuk diplomasi memaksa pihak penyorok gula mengeluarkan gula yang disimpan. Setelah seminggu berlalu, tiada sebarang kesannya malah kekeringan gula di pasaran dilihat lebih meruncing sehinggakan cafeteria tempat kerjaku isytiharkan tiada air "O" kerana gula kehabisan gula. Kerajaan juga terpaksa mengeluarkan arahan pihak industri yang menggunakan gula sebagai bahan mentah dimestikan mendapatkan bekalan di pasaran bukannya terus dari pengilang.
Rakyat baru sahaja dibebani kenaikan 30 sen seliter minyak petrol & gas memasak, lepas tu kenaikan tarif elektrik. Sewaktu ke pasar tani 2, 3 minggu lepas tak sangka hampir semua kuih terkena badinya, samada harga lebih mahal ataupun bilangan/ saiznya makin kurang/kecil. Bayangkan sekiranya bahan mentah utama kebanyakan kuih (yakni gula) naik harga, pasti perkara yang sama akan terjadi. Kata orang ekonomi, kadar inflasi sedia ada akan makin meningkat. Siapa yang sengsara...? Fikirkanlah...
Itulah bahana bahan perisa yang telah membarah dalam masyarakat. Elok le diadakan kempen kurangkan pengambilan gula secara lebih serius, bukan saja menghasilkan kesihatan yang lebih baik tetapi turut sama memaniskan kehidupan seharian.
8) Maniskan senyuman tanpa gula (sebab terhindar penyakit)

Monday, June 19, 2006

Kongsi Raya Haram?

Majlis Mufti Malaysia dalam Muzakarah Ulama 2006 hari Selasa yang lalu di Perak telah mengeluarkan 23 resolusi di mana salah satu isu yang disarankan adalah meminta kerajaan mengkaji semula akan amalan kongsi raya dan rumah terbuka yang sering diwar-warkan apabila lebih dari satu perayaan keagamaan dirayakan secara serentak. Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga telah mewartakan amalan berkenaan adalah menyalahi akidah Islam dan boleh menjuruskan kepada syirik.
Menurut sejarahnya, idea ini telah dipelopori pada tahun 2004 oleh Datuk Fadzir Sheikh Fadzil, Menteri Pelancongan ketika itu dan telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara. Kini ianya telah diletakkan di bawah seliaan Kem. Keseniaan, Kebudayaan dan Warisan (KeKWa). Menteri KeKWa, Datuk Rais Yatim telah mempertikaikan saranan tersebut dan akan tetap melaksanakannya. Yang menariknya, PM pun turut sama mempertikaikannya dan menggambarkan tiada sebarang unsur yang boleh merosakkan keimanan seseorang.
Peliknya, hitam putih resolusi berkenaan pun belum lagi dihantar oleh urusetia Majlis Mufti Malaysia. Sepatutnya tengok le dulu apa amalan yang dikatakan boleh menyalahi akidah, kalau tak faham bawak bermuzakarah, seterusnya baru boleh komen. Kalau mufti yang dianggap tinggi ilmu keagamaannya dipertikaikan, siapa lagi yang nak kita harapkan. Takkan Tok Samy pulak kot...!
Datuk Seri Harussani menyatakan, sekiranya setakat berkunjung untuk mengeratkan hubungan kejiranan dan seumpamanya tiada salahnya tetapi sekiranya turut sama meraikan upacara keagamaan itu adalah jelas salah di sisi agama Islam.
8) Jangan kuah lebih dari sudu dah le...

Artis - Sensasi Kahwin dan Cerai

Benda ni seolah2 bermusim. Hujung minggu baru2 ini diberitakan pasangan yang dikatakan paling ideal dan perkahwinannya pernah di-VCD-kan serta diisytiharkan Wedding of the Year (2003), Erra dan Yusry telah bercerai pada 26/04/2006 lalu setelah sekian lama hidup berasingan. Sebabnya tidak ditemui titik persefahaman. Begitu juga pada bulan lepas, pasangan yang diwar-warkan bahagia, Norman Hakim dan Abby Abadi bercerai di lokasi pergambaran kerana dikatakan berpunca dari orang ketiga. Akhirnya kembali rujuk. Keluar juga berita Khatijah Ibrahim memohon cerai taklik setelah ditinggalkan sendirian selama 5 tahun tanpa nafkah dan khabar berita oleh suaminya, warga Tunisia.
Satu hal lagi, sekarang ni masih lagi digembar-gemburkan kisah cinta & penetapan tarikh kahwin penyanyi No. 1 Negara, Siti Nurhaliza dengan duda, Datuk K (Khalid Mohd Jiwa). Pihak terbabit masih lagi berselindung dengan bicara berlapik. Kot2 nanti... tup, tup kahwinnya dengan orang lain... terganggalah semua orang terutama yang dok galak buat pelbagai spekulasi. Terbaru, diberitakan Datuk K dan wakilnya telah berkunjung ke rumah Siti di Pahang hari Jumaat (24/06/06) untuk merisik dan menetapkan tarikh. Siti menafikannya. Menurutnya kedatangan mereka tanpa pengetahuannya dan sekadar menziarahi keluarganya.
Itulah resam susur kehidupan para artis. Sebagai ikon selebriti pasti tak dapat lari dari perhatian masyarakat, kehidupan peribadi mereka juga menjadi milik masyarakat. Itulah, sedari awal sepatutnya tidak usahlah diwar-warkan sebagai pasangan paling bahagia, paling ideal dan pelbagai paling lagi... Yang paling penting adalah ikatan perkahwinan seharusnya berpaksikan kehidupan beragama. Apa yang dilarang dihindarkan, apa yang disuruh dilaksanakan dengan patuh... Insya Allah kebahagian akan berkekalan.
8) Moga perkahwinanku kini diberkati Allah dan dikurniakan kebahagian selamanya. Amiin.

Friday, June 16, 2006

Mahathir vs Pak Lah - Episod I

Polemik kelantangan suara mantan PM, Tun Dr. Mahathir melahirkan ketidakpuasan hatinya atas tindak tanduk kerajaan sekarang yang diterajui Pak Lah masih berlarutan. Bermula dengan persoalan anugerah AP yang berleluasa, diikuti kes pemberhentian kontrak Tengku Mahalel sebagai CEO Proton, penjualan saham/ ekuiti MV Agusta dalam Proton pada harga 1 Euro dan pemberhentian mengejut pembinaan Jambatan Indah (@ Bengkok) merentasi Selat Teberau.
Isu terbaru yang ditimbulkan oleh beliau sehingga menyentuh soal peribadi adalah rasa bersalahnya kerana memilih Pak Lah sebagai penggantinya sedangkan ranking utamanya dahulu adalah Datuk Seri Najib dan juga merasakan beliau telah dikhianati sehingga menggambarkan beliau boros berbelanja. Akhbar-akhbar utama menyiarkan secara meluas ulasan dan pandangan dari para ahli kabinet/ parlimen, bekas2 menteri, kelab2 kerajaan dll. Malah diulas dan diserang pula oleh para pentadbir akhbar2 berkenaan. Ini membuatkan beliau lebih terasa hati kerana mereka yang dahulunya naik ke tampuk sekarang atas ihsan beliau kini dianggap telah menikam beliau dari belakang.
Yang peliknya ketika Che Det di takhta pemerintahan, hampir tiada seorang pun termasuk yang menentang beliau sekarang menunjukkan sikap seumpamanya. Pada waktu itu beliau adalah yang terbaik malah dianugerahkan dengan pelbagai gelaran yang tinggi, antaranya Wira Dunia Ketiga dll, malah pantang disentuh maka juak-juaknya akan mula mempertahankannya hatta menumpahkan darah sekalipun. Mungkin itulah sikap bermuka-muka yang sinonim dalam parti tertua Malaysia - yang bertakhta dihati adalah yang sedang bertakhta di tampuk pemerintahan. Kesian Che Det...
Ramai yang beranggapan, langkah yang diambil oleh Tun adalah tidak betul dan menyalahi apa yang telah dijanjikannya dahulu untuk tidak menggangu pentadbiran kerajaan selepas bersara. Tun Musa Hitam menganggap beliau telah diserang sindrom selepas persaraan yang merasakan cara beliau sahaja betul. Walau apa pun pandangannya, pelbagai isu yang ditimbulkan telah diketahui umum dan yang pasti semua orang inginkan kepastian dan penjelasan atas segala isu tersebut. Seharusnyalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjelaskannya dengan fakta-fakta yang konkrit dan telus. Dan inilah yang telah dimaklumkan oleh Pak Lah dalam sehari dua ini. Kita tunggu dan lihat, adakah mantan PM berpuas hati.
Pengerusi Proton, Datuk Azlan buat penjelasan tentang penjualan MV Agusta - tak sanggup menanggung kerugian berterusan kerana syarikat berkenaan (Agusta) masih mengalami kerugian. Manakala Datuk Seri Rafidah, Menteri MITI mengatakan cukuplah maklumat tentang AP yang telah dibentangkan di Parlimen baru2 ini, tiada lagi penjelasan lanjut.
24/06 - Dialog di Century Paradise anjuran Badan2 NGO + Media Alternatif - Che Det anggap PM lemah, ada pihak ketiga (anak-menantu) uruskan negara. Tak puas hati penerangan, tidak menjawab isu sebenar.
27/06 - BH - Nazri isytihar perang pada Che Det dan saran keluar dari UMNO sebagai jantan, senang untuk dihentam.
28/06 - Jemaah Menteri sepakat untuk menjawab segala kritikan Tun. Pak Lah tak payah jawab & telah berlepas ke Australia untuk bercuti 10 hari.
8/ Tunggu...

Monday, June 12, 2006

Main Air di Desa Water Park

Sabtu lepas (10/06/2006), JPK-HUKM telah mengadakan Family Day (lebih dikenali Sanggar Kerja) di Desa Water Park, Cheras. Tiket masuknya, dewasa RM18.00 dan kanak2 RM12.00. Kami masuk free atas pakej Family Day. TK JPK-HUKM. Acara pembukaannya (jam 09:00 am) dirasmikan oleh orang rumahku. Seterusnya selepas makan pagi (nasi lemak - anak2 tak habis - banyak sangat), diadakan acara telematch kanak2 - Giant Jigsaw Puzzle dan Musical Ball. Iddin dan Niesha masuk kedua-dua acara tetapi Le'ah tak nak - mungkin malu dan takut kerana kenalannya tak dikenali.
Dalam Jigsaw Puzzle, Iddin dan Niesha terpisah kepada 2 kumpulan dari 3 kumpulan yang dikumpulkan - yang menariknya bukannya anak2 yang sibuk tapi mak-bapak mereka yang lebih excited - mengarah itu dan ini untuk anak2 siapkan cantuman gambar Bug Bunny. Kumpulan Niesha muncul pemenang, diikuti kumpulan Iddin tempat kedua. Yang penting bagi kanak2 adalah dapat hadiah.
Seterusnya Musical Ball, 21 kanak2 dalam satu bulatan dengan 3 bola digerakkan dari tangan ke tangan dengan diiringi alunan muzik. Siapa yang pegang bola sewaktu musik diberhentikan akan dibasahkan dan secara automatik terkeluar. Kira2 tinggal 10 orang lagi, Niesha terkeluar dan Iddin pula terkeluar dalam lingkungan 5 orang. Nampaknya mereka berdua betul2 seronok sehingga terlonjak2 kot2 bola singgah di tangan. Acara seterusnya adalah telematch dewasa.. terompah gergasi (kering) dan 3 games dalam air. Anak2 apa lagi, terus terjun kolam le... Untuk telematch, hanya game dalam air aku sertai mewakili Orange Group. 2 games juara dan 1 tempat kedua... Yahooo....
Selepas acara pembahagian hadiah dan makan tengahari adalah acara bebas. Iddin, Niesha, Le'ah dan Imran apa lagi berkampung dalam kolam le. Terdapat 5 kolam utama tetapi untuk anak2 hanya 3 kolam yang aku bawa. Lagi 2 kolam tak sesuai untuk kanak2. Mereka juga dibawa menaiki pelampung melalui terusan. Boleh guna pelampung sendiri tapi kami sewa Double Float RM7:00. (Trick di lain kali, bayar separuh pada orang yang nak hantar balik). Kami hanya sempat 1 1/2 pusingan sahaja kerana tak dibenarkan oleh pengawal kolam disebabkan membawa anak kecil (Imran) dan pada satu peringkat airnya agak laju. Menjelang 4:00 petang hujan lebat mulai turun disertai kilat dan guruh. Siren amaran dibunyikan dan kesemua pengunjung diminta meninggalkan kolam sehingga keadaan kembali normal. Pada waktu tu kami telah bersiap2 untuk keluar. Terima kasih kepada pengawal kolam yang memayungkan kami dengan payung besar ke pintu keluar. Walaupun agak penat tapi very enjoyable - tak rugi kalau datang lagi.
8) Very nice place including surau facilities (but not comfortable).

Demam Piala Dunia

Tanggal 09/06/2006, rasmilah Piala Dunia 2006 (FIFA 2006) mula dilangsungkan di bumi Germany. 32 pasukan ternama (Jerman, Brazil, England, Italy dll) dan pasukan kecil2 cili padi (Jepun, Trinidad n Tobago, Togo, Serbia dll) bertanding atas maruah negara masing2 untuk meraih piala bolasepak paling berprestij di dunia. TV berbayar, ASTRO (Channel 93) menjadi saluran utama tumpuan para hantu bola disamping beberapa perlawanan pilihan disiarkan secara langsung (juga perlawanan tertangguh) oleh RTM dan NTV7. Dari jadual perlawanan, setiap hari ada 3 - 5 perlawanan pada 3 masa yang berbeza, (waktu tempatan) jam 09:00 mlm, 12:00 t/mlm & 03:00 pagi.
Di kalangan ahli keluarga isteriku (terutama lelaki) termasuklah aku tiada yang gila bola tetapi anak sulungku, Iddin bukan main lagi. Kat rumah memang tak de ASTRO, jadi harapkan saluran yang ada aje. Perlawanan pembukaan antara Jerman dan Costa Rica jam 12:00 malam pun ditungguinya. Malam berikutnya dengar khabar NTV7 akan siarkan perlawanan antara England dan Paraguay... ditungguinya juga... wajahnya nampak sugul, katanya, "NTV7 tipu...". Rupa2nya tiada siaran langsung di TV tak berbayar. Sebagai sokongan, aku belikan suratkhabar dan majalah khas Piala Dunia 2006 sambil memberi nasihat, "Tak apa le tak boleh tengok siaran langsung, yang penting sekolah jangan ponteng".
Apa taknya, di mana2 saja khalayak ramai membicarakan tentang bola... makan bola, minum bola, tidur pun bola. Sanggup diaorang berjaga sehingga tengah malam dan bangun jam 03:00 pagi semata2 kerana bola. Kalau bangun tahajjud alangkah bagusnya. Yang parahnya hari keesokan harinya, nampak mereka ni mengantuk, ada yang ambil MC dan ada yang terus tak muncul kat opis tanpa khabar. Jelas dilihat hari ni, Isnin, hari pertama kerja selepas acara perasmian. Tambahan pula kebanyakan perlawanan membabitkan pasukan ternama dilangsungkan jam 03:00 pagi. Ini baru perlawanan awal dalam kumpulan, bayangkan hari2 berikutnya apabila dah masuk quarter dan semi final, lebih parah lagi.
Betul juga pendapat ulama yang aku dengar, "Tak susah nak jadikan orang Islam gila/lalai, campak aje sebiji bola di tengah padang, mereka akan lupa segala-galanya". Lihat sahaja apa jadi bila ada perlawanan bola sepak terutama di stadium pada waktu malam, mereka sanggup masuk seawal jam 04:00 petang... dipercayai majoritinya sanggup tinggalkan solat Asar, Maghrib dan mungkin juga Isyak. Apa taknya, solat itukan tiang agama, jika rumah (iman) salah satu tiangnya dah roboh, tak susah untuk robohkan rumah itu keseluruhannnya.
Bagi aku, demam bola boleh merosakkan segala perancangan dan merudumkan prestasi kerja. Ramai yang sanggup menipu hanya kerana bola... sebab malu nak bagi alasan kerana tak larat tengok bola atau dah ada temujanji dengan ASTRO. Itu belum masuk kes kaki judi bola... Itulah bola, kerananya hidup boleh jadi porak peranda.
8) AlhamduliLlah... aku setakat minat tengok bola masuk gol aje.

Friday, June 02, 2006

Darul Quran KKB

Foto Darul Quran Layout dari laman web JAKIM.
Pagi Jumaat (26/05/2006) aku & Kak Long sekeluarga bertolak ke Kuala Kubu Baru untuk urusan pendaftaran masuk anaknya, Muhammad Sopiyuddin ke Darul Quran (JAKIM), Diploma Tahfiz wal Qiraat. TAHNIAH Sopi. Kak Long dan keluarga (Abg Ya, Sopi, Alia, Aida, Ammar & Amalina) serta Ima dan anaknya, Nawwarah tiba dari Terengganu malam tadi, menjelang waktu Isyak.
Kami bertolak dari Hulu Klang kira2 jam 09:00 pagi melalui Selayang - Rawang - Serendah - KKB. AlhamduliLlah, perjalanan lancar dan mengambil masa hampir 1 jam setengah. Menjengah masuk ke kawasan Darul Quran terasa begitu tenang dengan pemandangan yang menyejukkan mata... bangunan2 bercirikan rekabentuk Islam, termasuk masjid yang tersergam indah (dirasmikan Oktober 2005) dengan air kolam beralun lembut di bahagian hadapannya. Yang lebih menyejukkan mata, kelihatan para pelajarnya lengkap berpakaian seragam, lelakinya berbaju Raihan dan berkopiah putih, manakala perempuannya tampak lembut berjubah coklat terang dan bertudung labuh.
Urusan pendaftaran mengambil masa yang agak panjang kerana pelbagai borang perlu diisi terlebih dahulu, sijil2 perlu dibuat salinan dan lain2 hal yang perlu dibereskan. Ini disebabkan panggilan masuknya hanya melalui telefon (panggilan kedua). Hampir jam 12:00 t/hari baru selesai, terus ke asrama sementara di Blok A. Kak Long, Ima & anak2 tinggal di bilik Sopi sementara yang lelaki ke masjid bersolat Jumaat.
Di Darul Quran ni sebenarnya telah ada anak kenalan Kak Long yang sedang belajar di sini di semester 5, Abdul Rahman dan telah ditemui pada pagi itu. Kebetulan sepupu kepada isteriku juga ada belajar di semester 3, Fauzi Samian, aku temui selepas solat Jumaat di Masjid Darul Quran.
Sesuatu yang menarik dari pemerhatianku :-
1. Majoriti pelajar lelaki menggunakan basikal (ala basikal lumba), tiada pelajar yang menaiki motorsikal (rupa2nya tidak dibenarkan atas sebab2 keselamatan).
2. Rata2 pelajar yang ditemui (lelaki dan perempuan) mempunyai handphone (sederhana). Yang menariknya hampir semua mempamirkan satu gaya yang sama - handphone sentiasa di tangan walaupun ada poket yang boleh dimasukkan. Kenapa ya...?
Secara ringkas sejarah Darul Quran, dipetik dari laman web JAKIM (maklumatnya dah ketinggalan - tak update).
DARUL QURAN dahulunya dikenali dengan nama Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran wa al-Qiraat. Ditubuhkan pada 1 Mac 1966. Mula beroperasi sebagai Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara Kuala Lumpur. Ia kemudiannya diletakkan di bawah Cawangan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH). Pada tahun 1984 ia menjadi salah satu cawangan di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Mulai 1 Januari 1997 ia mendapat nama baru iaitu Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM).
Darul Quran merupakan institusi pendidikan tinggi tertua di Malaysia yang menawarkan program Diploma dalam dua bidang iaitu Pengajian al-Quran dan Pengajian Islam dan Bahasa bagi melahirkan hafiz dan hafizah berkebolehan dan berkemampuan dalam bidang al-Quran seperti tafsir, tajwid, Qiraat dan ilmu yang berkaitan dengannya. Diplomanya setaraf institusi pengajian tempatan dan diiktiraf oleh kerajaan dan Universiti al-Azhar, Mesir.
Buat masa ini Darul Quran beroperasi di kompleks barunya yang terletak di Jalan Hamzah, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, dengan pelajar seramai 165 orang. Kompleks ini seluas 87 hektar telah siap dibina bernilai RM20 juta bagi fasa pertama. Ia mengandungi blok pentadbiran dan akademik, blok asrama, rumah kakitangan, rumah pensyarah dan rumah pengetua. Pembangunan fasa kedua akan melibatkan pembinaan masjid bermuatan 1500 jemaah, blok asrama puteri, kompleks sukan dan dewan utama bernilai RM30 juta yang mampu menampung 1000 pelajar pada satu masa. Buat masa ini Darul Quran mempunyai 10 pensyarah tetap dan 21 pensyarah jemputan.
8) Sopi... moga berjaya sebagai seorang Hafiz. Amiin.

Thursday, June 01, 2006

Tragedi Tanah Runtuh di Hulu Klang

Foto Berita Harian (01/06/2006) - Kelihatan runtuhan tanah.
Petang semalam (Rabu), sekitar jam 05:15 pm, aku baru sahaja kira2 15 minit tiba dari Terengganu, tiba-tiba dikejutkan bunyi siren bomba yang bersilih ganti, bukan sebuah tapi lebih dari itu. Dari loteng rumah kelihatan asap tebal dari arah Kg. Pasir (arah Zoo Negara) - mungkin ada kebakaran. Waktu tu cuaca redup. Bunyi siren bomba terus berlarutan hinggalah ke malam. Pelik... apa sebenarnya yang berlaku. Berita TV jam 08:00 mlm baru tahu, rupa2nya kejadian tanah runtuh di tempat berkenaan, di lereng bukit bersebelahan projek perumahan Ukay Bestari. Diberitakan 3 blok rumah panjang (setinggan) yang diduduki kira-kira 200 penghuni, majoritinya warga Indonesia tertimbus dek runtuhan tembok penghadang tanah projek berkenaan berserta tanah merah. Dikatakan 4 mangsa sekeluarga meninggal, 1 warga emas 70 tahun, 1 cucu perempuannya 24 tahun serta cicitnya berusia 4 dan 3 tahun. Fakta baru - Sehingga 01/06 hanya warga emas, Suri Sinon, 72 thn dan cucunya, Siti Ridilia, 4 1/2 thn ditemui. Jam 08:45 am (02/06), mayat Hayati, 24 & anaknya, Herlina, 3 thn ditemui.
Teringat aku kisah 13 tahun dulu (Disember 1993), juga di Hulu Klang, satu blok 12 tingkat Highland Towers (kondo mewah) runtuh menyembah bumi mengorbankan 48 orang, antara yang meninggal adalah anak dan menantu Tan Sri Musa Hitam. Kemudian beberapa tahun lepas banglo Jen (B) Tan Sri Ismail Omar dihempap tanah lereng bukit di Taman Hillview, Sri Ukay, Hulu Klang di mana 8 nyawa terkorban. Dari kes2 yang berlaku, pihak JKR dan jurutera pernah memperakui struktur tanah bukit (granit) di Hulu Klang berada dalam keadaan tak stabil, tambahan pula dengan projek pembukaan tanah serta perlencongan aliran air secara besar2an, menambah parah lagi keadaannya. Semuanya itu tak diendahkan... projek2 perumahan di Hulu Klang terus mencacak naik bagaikan cendawan selepas hujan, antaranya Ukay Perdana di puncak bukit, di lereng2nya pula Andaman Ukay, Beverly Heights, Sering Ukay dan Ukay Bestari.
Mantan PM, Tun Dr. Mahathir lewat pemerintahannya pernah mengarahkan kerja2 penarahan bukit di Hulu Klang diberhentikan serta merta kerana terkejut melihat pemandangan dari udara keadaan bukitnya yang digondol teruk. Semuanya itu akhirnya tidak diendahkan juga...
Jadi dalam hal ini siapakah yang sepatutnya dipersalahkan. Rentetan dari tragedi di Kg. Pasir ini terdapat beberapa perkara menarik, antaranya :-
1. Dato' MB menyalahkan pihak kontraktor/pemaju yang tidak mempedulikan arahan kerajaan negeri sejak setahun lalu. Tembok penghadang pun kononnya baru seminggu dibina tetapi hanya secara sambil lewa. Jadi, kenapa tindakan tidak diambil sedari awal?
2. MPAJ cuba berlepas tangan, kononnya tidak menyedari adanya penempatan di lereng bukit tersebut. Sedangkan penghuninya mendakwa telah 10 tahun mereka tinggal di rumah panjang tersebut. Betul ke... atau ada udang di sebalik mee?
3. Dalam mewar-warkan Setinggan Sifar 2005 sehinggakan "setinggan bandar" Batu 8 Hulu Klang dipaksa merobohkan rumah pada 31/12/2005, rupa-rupanya tanpa disedari masih ramai setinggan di pinggir2 bandar.
PM sendiri pun nampaknya naik jelak atas sikap bangau oh bangau ni... sekadar memberi amaran tanpa mengambil tindakan tegas... Dahulu kes penarahan bukit berleluasa di sekitar Taman Puncak Cahaya Alam sehingga kerajaan pusat terpaksa mengambil alih pengurusannya. Kemudian teguran2 seumpamanya, antaranya di Selayang, Shah Alam & Rawang. Semuanya bagai mencurah air ke daun keladi dan masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
8( Itulah Selangor Maju 2005 - buat kerja ala kadar sahaja.