DBP Jubli Emas - Bahasa Melayu Cemas
Selamat Menyambut Ulangtahun Ke-50 pada hari ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelajaran yang ditubuhkan hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada 16-21 September, 1956. Fungsi utamanya adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Persoalannya, apakah ianya berjaya? Jawapannya ada pada persekitaran kita.
Secara kasarnya tanpa melakukan kajian terperinci jelas di hadapan mata kita sendiri Bahasa Melayu telah dipinggirkan sehinggakan ada insan berstatus warganegara Malaysia langsung tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa yang dahulunya menjadi bahasa lingua franca. Malah dalam kehidupan seharian, Bahasa Inggeris pula seolah-olah menjadi bahasa rasmi negara. Ahli2 politik, ahli2 perniagaan, para cendekiawan dan dalam segala urusan rasmi dan tidak rasmi mereka lebih senang dan megah berbicara dalam bahasa tersebut. Malah lebih mendukacitakan lagi telah lahir rasa rendah diri sekiranya tidak mampu berinteraksi dalam Bahasa Inggeris, apatah lagi ianya kini telah menjadi keutamaan untuk mendapatkan pekerjaan termasuk dalam agensi kerajaan.
Menurut Presiden Linguistik Malaysia, Prof. Dr. Awang Sariyan, punca usaha pemartabatan ini tidak berjaya adalah disebabkan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sendiri telah tidak dihormati. Akta yang diluluskan oleh Parlimen ini mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal dalam segala urusan rasmi dan pengurusan negara. Kerajaan sendiri dalam hal ini nampaknya tiada kesungguhan untuk memartabatkan Bahasa Melayu, antaranya menukarkan sistem pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah2 daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, terdapat IPTA/IPTS menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajian, penggunaan Bahasa Inggeris berleluasa dalam iklan dan urusan rasmi dll.
Dalam hal ini nampaknya fungsi DBP sekarang perlu diubah dari sekadar sebagai badan pemantau dan penasihat kepada agensi penguatkuasa yang berkuasa menguatkuasakan penyalahgunaan bahasa. Perkara ini sebenarnya pernah diutarakan kepada pihak kerajaan tetapi setakat ini jawapannya masih lagi negatif. Nampaknya usaha yang berterusan perlu dilakukan semata-mata untuk memastikan pada suatu hari nanti Bahasa Melayu bakal bersinar bukan sahaja di bumi Malaysia tetapi benar-benar menjadi bahasa lingua franca yang diterima di seluruh dunia.
Bernama 11/07/2006 - KeKKWA dan Kem Pelajaran akan mengusahakan agar Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) dipinda akhir tahun ini bagi membolehkan agensi itu mendakwa semua pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan secara tidak betulterutama dari aspek tatabahasa.8) Bahasa Jiwa Bangsa
0 Comments:
Post a Comment
<< Home