Wednesday, January 11, 2006

10 Zulhijjah - Selamat Berkorban

Tanggal 10 Zulhijjah, Hari Raya Korban setiap tahun meraih kemeriahan yang berbeza daripada Hari Raya Puasa. Eidil Fitri dirayakan sebagai simbolik kejayaan umat Islam bermujahadah selama sebulan Ramadhan bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi turut sama membanteras segala kemaksiatan dalam diri dari sifat2 mazmumah kepada sifat2 mahmudah. Manakala Eidil Adha disambut sebagai manifestasi pengorbanan sifat2 mazmumah dalam diri terutama dari hasutan syaitan dan iblis dengan melahirkan ketaqwaan hanya padaNYA sekaligus melahirkan keikhlasan. Renungi peristiwa penyembelihan Nabi Ismail as oleh bapanya Nabi Ibrahim as yang digantikan dengan kibasy, akhirnya menjadi satu kewajiban dalam masyarakat Islam. Justeru itu disunatkan umat Islam menyembelih binatang dan diagih2kannya kepada fakir miskin untuk sama-sama mereka mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt.
Tahun ini seperti juga tahun lepas aku hanya wakilkan korbanku kepada penyelaras korban di Kemboja, Al Ameen untuk membantu saudara se Islam yang kehidupan mereka amat dhaif di tanah air mereka. Moga korbanku itu diterima oleh Allah. Amiin.
Berbicara tentang korban, teringat aku kaedah penyembelihan yang dilakukan di kebanyakan tempat di Pantai Barat ini dengan kaedah yang dilaksanakan di kampung2 di Terengganu. Di sini kita boleh wakilkan sahaja, cukup isi borang yang tersedia akadnya dan serahkan duit mengikut bahagian untuk diuruskan. Di kampung aku di Terengganu, peserta korban atau aqiqah mesti berada di tempat sembelihan, seterusnya sambil menyentuh haiwan sembelihan dilafazkan akad wakil sembelihan kepada penyembelih. Selepas itu barulah penyembelihan dilakukan dengan disaksikan oleh peserta.
Menurut bapaku, keenakan daging sembelihan ada kaitan rapat dengan penyembelih itu sendiri. Syarat utama ianya mestilah seorang yang alim dan seterusnya benar-benar arif dengan kaedah penyembelihan yang betul. Jika tidak, daging sembelihan akan hilang serinya dan boleh dirasai kelainannya apabila dimakan. Satu lagi cara potong daging pun penting juga di mana ianya tidak boleh selari dengan urat dan ulas daging, mesti bersilang. Itulah petua orang kampung - memang ada hikmahnya.
8) Selamat Berkorban...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home