Friday, January 20, 2006

Handphone vs Pelajar Sekolah

Seminggu yang lalu Kementerian Pelajaran melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahamad Sipon telah membenarkan penggunaan telefon bimbit di sekolah2 oleh para pelajar meliputi sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh. Ianya adalah lanjutan daripada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 11/2005 - Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah yang telah dikeluarkan pada 23/12/2005 lalu yang berkuatkuasa untuk 3 waktu sahaja iaitu waktu sebelum persekolahan, waktu rehat dan selepas waktu persekolahan.
Maka riuh rendah le seluruh Malaysia pro & kontranya, bukan sahaja diperkatakan oleh para ibu bapa tetapi turut sama diulas atas nama pertubuhan, persatuan dan parti politik. Jika parlimen sedang bersidang pastinya akan disentuh sama oleh para perwakilan. Maka hari ini Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Tun Hussein mewar-warkan keputusannya, kebenaran penggunaannya ditarik balik berkuatkuasa serta merta dan pihak sekolah dibenarkan merampasnya dari murid sekiranya kedapatan yang melanggar arahan.
Secara peribadi aku menyokong penuh larangan tersebut, malah aku berpendapat surat pekeliling dan garis panduan yang disebut di atas tak perlu pun dikeluarkan. Natijah buruk kebenaran penggunaannya lebih tinggi berbanding natijah baiknya terutama dalam meningkatkan martabat pendidikan para pelajar. Antaranya, penyalahgunaan untuk tujuan yang tidak baik apatah lagi teknologinya agak cepat, melahirkan sifat menunjuk-nunjuk dan iri hati, tekanan kepada ibu bapa tak berkemampuan, masalah kecurian, disiplin pelajar, bebanan tugas sekolah untuk menguatkuasakan garis panduannya serta mendedahkan pelajar kepada jenayah ragut dan peras ugut.
Sememangnya kerap dilihat anak-anak sekolah termasuk di peringkat sekolah rendah dengan megahnya mempamirkan handphone mereka tergantung di leher, adakalanya dari jenis yang tidak mampu untuk kita sendiri yang bekerja memilikinya. Pernah seorang pakcik menyatakan ketika bersenam di taman, seorang kanak-kanak datang kearahnya dan menunjukkan aksinya bersenam dengan handphone berkameranya.
Akan tetapi aku pasti ramai ibu bapa yang tidak berpuas hati terutama di kalangan yang berada, alasannya anak2 sukar untuk dihubungi atau sebaliknya terutama selepas waktu persekolahan. Dan yang pastinya juga, penguatkuasaan berkenaan tidak akan diendahkan samada oleh ibu bapa, para pelajar malah pihak pengurusan sekolah sendiri. Jadi, apakah jalan penyelesaiaannya... buat dono aje le, pandai buat pandailah simpan, jika terjadi apa2 pandai2lah selesaikan sendiri.
8) .. bagai menarik rambut dalam tepung...

Friday, January 13, 2006

Rempuhan Maut di Mina

Seminggu lepas kita dikejutkan dengan runtuhan bangunan berdekatan Masjidil Haram yang mengorbankan 76 jemaah termasuk 4 orang dari Malaysia. Semalam, pada hari yang sama dan waktu yang agak sama (Khamis, jam 1:00 pm - 2:00 pm waktu Arab Saudi, selepas waktu Zohor), tragedi rempuhan jemaah sewaktu ibadah melontar di Jamratul Ula dilaporkan telah mengorbankan 345 orang jemaah dan lebih 1,000 orang tercedera (moga dirahmati Allah swt.. Amiin). Dilaporkan korbannya mencecah 370 orang.
Puncanya bagai yang dijangka, terdapat jemaah yang terjatuh dan jemaah dari belakang bagaikan arus deras tetap juga meluru kehadapan. Maka berjatuhanlah para jemaah menghempas dan menghimpit jemaah demi jemaah sehingga mereka kelemasan. Dilaporkan penyebab utama adalah kedapatan para jemaah yang tidak mengikut peraturan untuk tidak mebawa beg pakaian, tidak mengikut arahan pihak keselamatan, sikap kasar dan ingin cepat menyelesaikan ibadah melontar. Jika diterjemahkan, maksudnya terdapat jemaah bersifat self fish - sifat yang dilarang oleh Allah swt apatah lagi ketika sama-sama mengerjakan ibadah padaNya.
Nak salahkan mereka 100% pun tak boleh juga sebab mereka tu orang asing di negara orang dengan pelbagai pegangan mazhabnya. Mungkin kerana mengejar sesuatu yang lebih afdhal (lebih besar pahalanya) mereka terpaksa melakukannya juga apatah lagi secara berkumpulan. Dalam hal ni dicadangkan kesemua ulama mazhab perlu bersepakat, mungkin boleh dilakukan ibadah melontar secara bergilir mengikut negara. Umpamanya Malaysia mengarahkan para jemaah melontar selepas pukul 6:00 petang (waktu Arab Saudi) atau selepas waktu tengah malam kerana di waktu itu jemaah yang melontar tidak ramai.
Lanjutan daripada itu, difahamkan pihak berkuasa Arab Saudi telah mengambil langkah segera menaik tarafkan kawasan melontar agar lebih luas dan selesa. Bagi aku, tugas ini sepatutnya dipikul oleh kesemua negara2 (umat) Islam terutama yang berkemampuan, samada dari segi pembiayaan, kepakaran malah guna tenaga buruh untuk sama2 membangunkan tanah suci dalam Islam ini. Yang paling penting sumbangan yang diberikan bukan kerana mengharapkan imbuhan di dunia semata-mata tetapi adalah untuk mendapatkan keredhaan Illahi agar negara2 Islam dirahmatiNya.
Teringat aku akan mertua & ahli keluarganya yang sedang mengerjakan haji. Beberapa kali cuba dihubungi tetapi tak dapat, sekadar mengharapkan berita melalui radio dan TV. AlhamduliLlah setakat ini tiada kedengaran jemaah Malaysia dalam tragedi tersebut. (Malam Sabtu @ Ahad, mertuaku ada telefon... menurutnya semuanya selamat. AlhamduliLlah).
8) Moga dikurniakan haji mabrur

Thursday, January 12, 2006

Hartawan Kanser

Sabtu 07/01/2005, Malaysia digemparkan dengan hasrat seorang "hartawan Muslim", warganegara Britain dari Lubnan, Dr Elie Youssef Najem, 45, telah berhasrat menyumbang RM1.03 billion (AS$275 juta) bagi membina pusat penyelidikan dan rawatan kanser dan hospital untuk kanak-kanak di negara ini. Dikatakan beliau penghidap barah otak yang masih lagi menjalani rawatan dan merasa terkesan mengenangkan anaknya yang menghidap leukemia sehingga membawa kepada kematiannya. Sumbangan itu dijangka akan diserahkan kepada Presiden Majlis Kanser Nasional (Makna), Datuk Mohd Farid Ariffin dalam masa terdekat.
Elie mendakwa memiliki kekayaan bernilai AS$46 bilion (RM175 bilion), mengatasi kekayaan tokoh pelaburan Warren Buffett adalah waris kepada pengasas Columbia Pictures dan Columbia Records. Beliau mahu pusat itu dibina di kawasan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Tak disangka-sangka, pengumuman beliau itu telah mengundang pelbagai cerita dan berita yang juga tak disangka-sangka terutama dilibatkan dengan penipuan dan pecah amanah. 5 laporan polis telah dilakukan oleh "mereka yang terkena" dan beberapa kenyataan media juga telah dikeluarkan oleh mereka. Ramai yang meragui betulkah beliau seorang hartawan & jutawan. Bagi mempertahankan dirinya, Elie telah mendakwa mempunyai simpanan sebanyak RM4 billion di bank tempatan, mempunyai tunai RM25 juta untuk membeli tanah untuk pusat tersebut, memiliki 95 syarikat di Malaysia termasuk 17 yang masing-masing mempunyai modal berbayar RM5 juta. Malah turut sama memiliki enam unit kondominium dan tiga rumah mewah yang dibeli secara tunai.
Berita dari Bukit Aman pula mengesahkan Dr Elie dikehendaki Interpol kerana didakwa terbabit dalam kes menipu dan pemalsuan cek di tiga negara - Lubnan, Cyprus dan Kanada. Elie juga dikatakan mempunyai masalah dengan pihak berkuasa di Ottawa, Ontario dan Edmonton. Malah pihak Imigresen melaporkan pasport beliau telahpun tamat tempoh pada 21/09/2005 lalu. Malah pihak Jabatan Agama Islam Kedah JAIK) pun meragui status agama Elie dan juga status perkahwinannya dengan Farinnie Mohd Farid, 19 pada Oktober tahun lalu kerana surat nikah yang dikeluarkan bukannya dari JAIK. (Elie mendakwa beliau telah memeluk Islam pada tahun 2001 di Lubnan dan pernah berkahwin dengan wanita Yahudi).
Entah le... aku jadi keliru kerana terlalu banyak dakwaan yang dikeluarkan, malah polis sendiri turut keliru. Begitu juga dengan Datuk Farid Ariffin. Malah diberitakan mertuanya juga turut jadi keliru. Kita tunggu dan lihat sahajalah... apakah ending kepada satu sketsa kehidupan seorang insan bernama Elie Youssef Najem ini. Apa yang diharapkan ianya tidak menjadi haru biru dan dikaitkan dengan Islam.
Terkini :-
15/01 - Elie ditahan reman polis untuk kes penipuan.
20/01 - Elie dilanjutkan tahanan reman lagi 5 hari.
8) Tangganilah secara professional

Wednesday, January 11, 2006

10 Zulhijjah - Selamat Berkorban

Tanggal 10 Zulhijjah, Hari Raya Korban setiap tahun meraih kemeriahan yang berbeza daripada Hari Raya Puasa. Eidil Fitri dirayakan sebagai simbolik kejayaan umat Islam bermujahadah selama sebulan Ramadhan bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi turut sama membanteras segala kemaksiatan dalam diri dari sifat2 mazmumah kepada sifat2 mahmudah. Manakala Eidil Adha disambut sebagai manifestasi pengorbanan sifat2 mazmumah dalam diri terutama dari hasutan syaitan dan iblis dengan melahirkan ketaqwaan hanya padaNYA sekaligus melahirkan keikhlasan. Renungi peristiwa penyembelihan Nabi Ismail as oleh bapanya Nabi Ibrahim as yang digantikan dengan kibasy, akhirnya menjadi satu kewajiban dalam masyarakat Islam. Justeru itu disunatkan umat Islam menyembelih binatang dan diagih2kannya kepada fakir miskin untuk sama-sama mereka mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt.
Tahun ini seperti juga tahun lepas aku hanya wakilkan korbanku kepada penyelaras korban di Kemboja, Al Ameen untuk membantu saudara se Islam yang kehidupan mereka amat dhaif di tanah air mereka. Moga korbanku itu diterima oleh Allah. Amiin.
Berbicara tentang korban, teringat aku kaedah penyembelihan yang dilakukan di kebanyakan tempat di Pantai Barat ini dengan kaedah yang dilaksanakan di kampung2 di Terengganu. Di sini kita boleh wakilkan sahaja, cukup isi borang yang tersedia akadnya dan serahkan duit mengikut bahagian untuk diuruskan. Di kampung aku di Terengganu, peserta korban atau aqiqah mesti berada di tempat sembelihan, seterusnya sambil menyentuh haiwan sembelihan dilafazkan akad wakil sembelihan kepada penyembelih. Selepas itu barulah penyembelihan dilakukan dengan disaksikan oleh peserta.
Menurut bapaku, keenakan daging sembelihan ada kaitan rapat dengan penyembelih itu sendiri. Syarat utama ianya mestilah seorang yang alim dan seterusnya benar-benar arif dengan kaedah penyembelihan yang betul. Jika tidak, daging sembelihan akan hilang serinya dan boleh dirasai kelainannya apabila dimakan. Satu lagi cara potong daging pun penting juga di mana ianya tidak boleh selari dengan urat dan ulas daging, mesti bersilang. Itulah petua orang kampung - memang ada hikmahnya.
8) Selamat Berkorban...

Monday, January 09, 2006

Bye Bye Sharon

Hari Khamis, 05/01/2006, dunia dikejutkan dengan berita Perdana Menteri negara Yahudi Israel, Ariel Sharon, 77, telah dikejarkan ke Hospital Hadassah di Baitulmaqdis dan telah menjalani pembedahan menyedut keluar darah dari otaknya berpunca daripada angin ahmar yang menyerangnya kali kedua selepas 2 minggu. Menurut doktor yang merawatnya, pembedahan yang dijalani oleh Sharon berpotensi mengancam nyawa dan jika selamat sekali pun, Sharon akan lumpuh. Dengan kata lain, hidupnya ibarat patung bernyawa.
Sharon, yang digelar ‘Bulldozer’ oleh pihak Yahudi dan amat dibenci oleh umat Islam, dikenali sebagai ‘pembunuh Sabra dan Shatila’, peristiwa pembunuhan umat Islam yang amat menyayat hati oleh pelampau Kristian 24 tahun lalu (1982) di khemah pelarian Sabra & Shatila ketika beliau menjawat Menteri Pertahanan.
Sehingga kini, sekutunya seolah2 menyepi tetapi rakyat Palestin berpesta menyambut berita yang menggembirakan itu. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pula dengan lantang dan sinis mengharapkan Sharon cepat mati. Sesungguhnya berita ini amat menggembirakan umat Islam.. gembira kerana seorang penjenayah dan pembunuh umat Islam tiba-tiba dinazak dan dikomakan oleh Allah SWT... apakah perkiraan Allah terhadapnya, terserahlah pada ketentuanNya.
8) Allahu Akbar, sekelip mata yang berkuasa jatuh terjelepuk tidak berkutik

Labbaika Allahumma Labbaik

Hari ini kira-kira 2.5 juta para jemaah sedang berwukuf di Padang Arafah (26 ribu dari Malaysia) setelah bergerak dari Masjidil Haram sejauh 22 km, sebelum bergerak ke Muzdalifah, mengutip anak-anak batu untuk melontar jamrah di Mina, selain menyembelih binatang, seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan tawaf, saie dan bertahlul.
Dalam kesibukan jemaah yang berduyun-duyun mengejar pahalaNya, Khamis lepas kita dikejutkan berita bangunan asrama 4 tingkat di Dar Alghazzah, berhampiran Masjidil Haram Makkah yang menempatkan jemaah UAE runtuh mengakibatkan ramai jemaah yang meninggal (76 meninggal, 62 cedera) termasuk 4 orang rakyat Malaysia dari Sabah yang kebetulan melalui kawasan berkenaan selepas solat Zohor di Masjidil Haram (kira2 jam 1:00pm ~ 06:00pm waktu Malaysia) untuk kembali ke asrama penginapan (peringkat awal diberitakan hanya 5 orang tercedera). InnaliLlahiwa'innailahirajiuun... Terus aku teringatkan mertua dan rombongan saudara yang sedang mengerjakan ibadat haji tahun ini. Aku cuba contact handphone tapi tak dapat... Dari berita2 yang diterima, AlhamduliLlah mereka semua selamat.

Hampir setiap tahun kita mendengar berlaku pelbagai tragedi di Makkah mahupun di Madinah. Menurut BH, tragedi terburuk adalah pada 1990, seramai 1,426 orang terkorban. Hari terakhir musim haji pada 2004, 251 orang mati dipijak apabila ramai jemaah panik ketika melontar jamrah selepas beberapa jemaah terjatuh di laluan ke tempat melontar. Tiga tahun sebelumnya, 35 jemaah mati terpijak di lokasi yang sama.Pada 1994, 270 jemaah terbunuh kerana dipijak, juga ketika melontar jamrah. Pada 1987, 402 orang kebanyakannya jemaah Iran terbunuh dan 649 cedera dalam nahas pesawat Pakistan membawa jemaah haji dari Jeddah ke Riyadh. Moga roh mereka dirahmati Allah dan diterima ibadah haji mereka olehNya. Amiin.

Esok, 10 Zulhijjah adalah Hari Eidul Adha... inilah kemuncak perkumpulan para jemaah di Tanah Suci Mekah yang melambangkan kesatuan ummah atas kalimah tauhid yang satu dan sama... Tiada Tuhan Melainkan Allah... Antara kewajibannya adalah menyembelih binatang sebagai manefestasi pengorbanan jiwa raga semata2 mematuhi suruhanNya. Betapa kentalnya jiwa Nabi Ismail a.s. ketika bapanya Nabi Ibrahim a.s. membenamkan pisau tajam ke lehernya yang akhirnya digantikan dengan seekor kibasy. Renungilah...

8) Ya Allah, ikhlaskanlah ibadahku dan redhalah ia sebagai ibadah yang diterima olehMu. Amiin.

Thursday, January 05, 2006

Sekolah & Jam Sinonim

Mulai 03/01/2006, sekolah di negeri2 selain Kelantan, Terengganu & Kedah mula dibuka. Maka berduyun-duyun le anak2 ke sekolah, malah ibu-bapa pun turut sama ke sekolah. Hari pertama persekolahan cukup menyesakkan, bukan sahaja sekolah sesak dengan kehadiran penjaga datang mengiringi anak2 untuk membayar yuran dll (lebih2 lagi Pra Sekolah atau Tahun 1) tetapi jalanraya juga turut sama sesak, lebih2 lagi di persekitaran sekolah.
Sempena anak2 bersekolah balik (tiada baru masuk, cuma naik kelas aje), aku pun turut cuti. Nak pastikan anak2 faham dan tahu apa yang sepatutnya mereka uruskan. Si abang, Iddin dah naik Tahun 4 (sekolah kebangsaan pagi, petang ke sekolah agama) & Kakak Nisha naik Tahun 2 (pagi sekolah agama, petang sekolah kebangsaan). Manakala no.3, Leha masih di Tadika. Tahun lepas, si kakak bergantung pada si abang sebab waktu persekolahannya sama tapi sekarang kena uruskan diri sendiri. Sebelum ini balik sekolah agama diambil oleh datuknya, begitu juga Leha, biasanya dihantar oleh datuknya dan baliknya diambil oleh datuknya juga. Tapi sekarang, selama datuk & neneknya ke Mekah, abang & kakaknya kena pergi dan balik sekolah sendiri berjalan kaki menyusuri pinggir jalan. Manakala si adik pula pagi kena hantar dulu, baliknya diambil oleh datuk sepupunya yangmana sepupunya sama2 bersekolah di Tadika yang sama.
Sementelahan cuti, kedua2 hari ni aku ke bank & pejabat pos - tolong uruskan rutin datuknya jelaskan bil2 seperti lazimnya. Wow... 03hb. tu bank pun turut jam... tapi 04hb. kembali normal.
8) Woo... MRR2 kembali sesak... nasib baik sempat sampai.

Tuesday, January 03, 2006

Atap Bilik Mertua Bocor...

Sekembalinya dari Muar & Batu Pahat minggu lepas, adik ipar maklumkan siling tengah bilik tidur mertua bocor - air menitik membasahi hujung katil & sekaligus menyebabkan kipasnya shock. Ianya berlaku apabila hujan lebat. Kedua mertua sekarang ni berada di Tanah Suci mengerjakan haji. Adik ipar yang sedang berkerja di Terengganu (balik hujung minggu) kata puncanya timbunan sampah dedauan pokok bunga kertas yang merimbun atas bumbung bilik menyebabkan air hujan tersekat alirannya dan meresap masuk melalui atap.
So, pagi Sabtu bersama2 dengan adik ipar naik ke atas bumbung dan potong sebahagian dedahan pokok yamg merintang serta sapu sampah dedaunan 3/4 daripada kawasan bumbung bilik. Dari pemerhatian tiada tempat menunjukkan ianya bocor... entah le... nampaknya kena orang pro jugak yang tolong tengokkan. Satu hal lagi nak potong dedahan tu sebarangan pun takut jugak, kot2 mertua balik Haji nanti terkilan pulak orang tua tu tengok pokok kesayangannya dogol (tapi rasa2nya tak de masalah, cuma pangkas dahan, bukannya tebang pokok). Wow... tangan dan lengan bercalar balar dan luka dek terguris dan tercucuk duri pokok bunga tu (Petangnya ke Bagan Lalang, escort anak2 masuk laut - aduhai... pedihnya bila air masin terkena luka).
Bila hujan turun, air yang menitik makin laju... nampak gayanya bila sampah dibersihkan, air makin galak masuk... mungkin ada atap yang terjungkit atau pecah. Minta tolong jiran sebelah (tukang rumah) tolong tengokkan.. katanya tempat yang belum dipangkas perlu dipotong dan dibersihkan. OK le...
Dari apa yang dilihat, tiada lagi air hujan menitis masuk bilik bila hujan turun. AlhamduliLlah...Menurut adik ipar terdapat kepingan atap yang renggang dan telah pun dirapatkan oleh jiran pada hari pembersihan kali kedua tu... Itu le, nampaknya orang pro jugak yang tahu punca dan caranya.
8) Hanya Johari (jauhari) kenal Maniam (maknikam)...

Monday, January 02, 2006

Selamat Tahun Baru 2006

Selamat Menyambut Tahun Masihi Baru 2006 - dari laporan akhbar kebanyakan negeri tiada membuat sambutan meriah seperti konsert dan seumpamanya. MB Selangor dari Mekah meminta konsert yang bakal diadakan di Dataran Tasik dibatalkan disaat-saat akhir (dengar khabar atas nasihat Mufti). MB Nogori pun turut memaklumkan tiada sebarang konsert menjelang ambang 2006 - sambutan lebih meriah hanya akan diadakan sempena Awal Muharram nanti. Meneliti perkembangan ini amat menarik sekali... semenjak Tsunami melanda menjelang 2005 dahulu, seluruh negara seolah2 berkabung... Begitulah seeloknya, sebagai sebuah negara (umat) Islam, sebarang acara yang boleh membawa kepada kemudaratan dan kemaksiatan sewajibnya dihindarkan lebih2 dikuatkuasakan oleh mereka yang mempunyai kuasa di tangannya. Cukuplah sekadar kita mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yassin ataupun majlis kesyukuran dan doa selamat memohon limpahan rahmat darinya. Amiin.
Petang Sabtu (31/12/2005) aku dan keluarga balik kampung tak jauh dari Bagan Lalang, Sepang. Tengaharinya bersama keluarga serta adik ipar sekeluarga singgah berpiknik (makan bekal yang dibawa) di Bagan Lalang. Pengunjungnya kelihatan agak ramai. Menjelang lewat petang, kehadiran pengunjung bertambah ramai, siap didirikan khemah. Ada yang bersama keluarga, bersama rakan2 dan ada yang berpacaran. Dari cakap2 dengan mereka, rupa2nya mereka berkumpul menunggu jam 12:00 tengah malam untuk menyambut kehadiran Tahun 2006. Yang menghairankan yang pangkat pakcik & makcik pun turut serta. Pulak tu dah ada kawasan karaoke yang siap dipagari... Alahai...
Pagi 01/01/2006, sekitar jam 04:30 - 05:00 pagi, bertali arus deruman motorsikal melalui jalan kampung - suasana yang agak janggal dari biasa - telahan aku, orang2 muda baru balik dari menyambut tahun baru. Kata orang rumah, "Kita lari dari ribut tahun baru di KL, terjumpa ribut yang sama di kampung".
8( Sedih... majlis menuju mungkar ramai, majlis ma'aruf mamai..